RAMAI bercakap mengenai undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Ramai juga tidak faham berkaitan dwi-sistem perundangan diamalkan di negara ini. Mengkritik perundangan jenayah syariah dan mencari kesalahan adalah mudah tetapi... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI bercakap mengenai undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Ramai juga tidak faham berkaitan dwi-sistem perundangan diamalkan di negara ini.

Mengkritik perundangan jenayah syariah dan mencari kesalahan adalah mudah tetapi membangunkannya bukanlah perkara yang mahu dilakukan semua orang.

Perkembangan perundangan jenayah syariah dari sudut undang-undangnya boleh dikatakan banyak pencapaian telah dilakukan seperti mempunyai undang-undang khusus dan berasingan, antaranya Undang-Undang Pentadbiran, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah serta Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah.

Ia bertujuan memberi fokus dan panduan lebih lengkap dalam sesuatu prosiding jenayah syariah. Undang-undang jenayah syariah bukanlah semberono. Ia lengkap dengan prosedur, kebanyakannya diambil daripada sistem sivil yang tidak melanggar hukum syarak.

Berbanding dahulu, semua undang-undang sama ada jenayah semuanya ditumpukan dalam satu undang-undang sahaja iaitu Undang-Undang Pentadbiran seperti Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Selangor) 1952.

Walaupun dari sudut ini pencapaiannya baik tetapi beberapa undang-undang lain mesti dibuat bagi menyesuaikannya dengan tuntutan semasa.

Namun, dari sudut hukuman pula, perundangan jenayah syariah masih di takuk lama sejak 1984. Hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah hanyalah tiga bulan penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan syariah.

Hal itu disebabkan Akta 355 menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah, yang mana hukumannya melebihi kadar disebut tadi.

Malah, Akta 355 hanya memberi kuasa membuat hukuman berbentuk tradisional (denda, penjara dan sebatan) menghalang bentuk-bentuk hukuman lain bersifat restoratif seperti kerja komuniti, khidmat masyarakat, hukuman berbentuk pengajaran dan banyak lagi. Selagi Akta 355 tidak dipinda, ia tidak memberi laluan kepada DUN lebih kreatif menyediakan bentuk hukuman lebih baik.

Sejak kebelakangan ini, beberapa undang-undang syariah termasuk undang-undang jenayah syariah diisytiharkan terbatal dan tidak sah oleh Mahkamah Sivil. Perkara itu perlu diperhalusi.

Pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sangatlah perlu bagi menggariskan parameter perundangan syariah yang lebih jelas agar tidak diisytiharkan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Sivil.

Selagi tiada pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan garisan pemisah tuntas kedua-dua bidang kuasa mahkamah itu, selagi itulah perundangan syariah akan terus diuji keabsahannya di Mahkamah Sivil.

Pada masa sama, pihak berwajib yang memainkan peranan dalam melestarikan perundangan jenayah syariah di Malaysia perlu lebih proaktif.

Isu tajassus (pengintipan) yang digembar-gemburkan dilakukan oleh penguat kuasa agama sebenarnya jauh tersasar daripada realiti tetapi tiada kaedah jelas menyanggah pandangan tersebut.

Menurut Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, tajassus tidak diabsahkan penggunaannya. Siasatan hanya dilakukan setelah penguat kuasa agama mendapat laporan kemungkinan berlaku suatu kesalahan jenayah syariah di sesuatu tempat tertentu.

Langsung tidak timbul isu penguat kuasa agama secara bermaharajalela memasuki mana-mana premis semata-mata ingin mengintip sama ada berlaku kesalahan jenayah syariah atau tidak.

Pada pandangan saya, perkara perlu diutamakan ialah latihan yang betul kepada pelaksana perundangan. Latihan dimaksudkan bukanlah latihan biasa tetapi latihan berimpak tinggi yang dapat menganjak minda, berinovasi serta mencari formula terbaik melaksanakan perundangan syariah.

Penguat kuasa agama juga perlu diwujudkan jabatan khusus. Dalam perundangan syariah, kita sudah ada jabatan pendakwaan syariah dan Mahkamah Syariah tetapi ‘polis syariah’ atau penguat kuasa agama masih diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Sudah sampai masanya kita mempunyai ‘polis syariah’ atau jabatan penguat kuasa agama yang khusus melaksanakan penguatkuasaan jenayah syariah.

Pada masa sama perlu digarap metodologi dari sudut pendidikannya agar umat Islam dapat menjiwai falsafah undang-undang jenayah syariah. Ia bukan hanya sekadar memastikan bentuk dan kadar hukuman tetapi menekankan aspek dakwah serta penghayatan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca