SHAH ALAM - Peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS$) berbanding Ringgit Malaysia (RM) baru-baru ini disifatkan perkara biasa dalam pasaran pertukaran asing.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, ia berikutan tindak balas terhadap peningkatan kadar bunga di AS.
"Ringgit pernah menyusut nilai berbanding dolar AS sehingga sekitar RM4.70 pada bulan Oktober dan November tahun lepas dan meningkat sehingga sekitar RM4.20 pada Januari dan Februari 2023.
"Turun naik kadar pertukaran dalam jangka pendek adalah perkara biasa akibat tindak balas pasaran kepada petunjuk ekonomi dunia terutama kepada kadar bunga AS,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mohd Azlan berkata, nilai mata wang dolar AS berbanding negara ASEAN lain seperti Dolar Singapura, Thailand (Baht) dan Indonesia (Rupiah) juga menunjukkan trend naik turun yang biasa atau normal sejak Januari 2023.
Bagaimanapun katanya, ketika ini trend mata wang tempatan negara ASEAN berbanding dolar AS menunjukkan peningkatan.
"Selain itu, peningkatan RM atau dolar AS boleh memberi kesan kepada import dan eksport negara. Import menjadi semakin mahal menyebabkan pengimport terpaksa menanggung kos. Kesannya akan berlaku tekanan inflasi dalam negara.
"Namun, eksport Malaysia jadi semakin menarik dari pandangan rakyat asing kerana mereka boleh membeli barang dan perkhidmatan dengan harga yang lebih murah.
"Pelancong luar negara ke Malaysia akan meningkat manakala pelancong Malaysia akan kurang pergi ke luar negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr Ahmad Fadhly Arham menegaskan, kaedah untuk mengukuhkan kembali nilai ringgit adalah dengan menarik pelabur asing ke Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan semasa, ringgit disifatkan semakin lemah dan tidak dapat melihat dalam masa terdekat ini, ekonomi negara menjadi semakin kukuh.
"Dalam jangka masa yang panjang mungkin kita boleh tengok perubahan tetapi dalam keadaan semasa memang akan memberi lebih banyak kesan kepada orang Malaysia yang melancong ke Singapura.
"Saya rasa dengan kadar dasar semalam (OPR) yang semakin meningkat, orang akan lebih menyimpan. Rakyat akan mula berjimat dari segi perbelanjaan termasuk pelancongan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca