JOHOR BAHRU - Kenaikan nilai mata wang Dolar Singapura (SGD) berbanding Ringgit Malaysia (RM) memberi hikmah kepada rakyat negara ini yang bekerja di republik itu.
Dianggarkan hampir 400,000 rakyat Malaysia berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura untuk bekerja di negara jiran itu, sama ada merentasi Tambak Johor atau menerusi Laluan Kedua Malaysia - Singapura (Linkedua).
Rata-rata yang bekerja di Singapura meraih pendapatan bulanan sekitar SGD1,900 (RM6,095) hingga SGD3,000 (RM9,624) dan penurunan nilai mata wang RM menyebabkan kuasa beli mereka semakin melebar.
Tidak hairanlah, disebabkan mempunyai kuasa beli yang tinggi, kebanyakan warga Malaysia yang bekerja di Singapura sudah mampu membeli rumah berharga lebih RM300,000 di Johor.
Jurutera perkapalan, Ahmad Samion Ismail, 35, mengakui kuasa beli rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura semakin tinggi disebabkan faktor pertukaran mata wang ketika ini iaitu 1SGD bersamaan RM3.40.
Menurutnya, faktor tersebut memberi kelebihan kepada warga Malaysia walaupun sebenarnya pendapatan diterima itu adalah rendah jika dibandingkan dengan jawatan lain di negara berkenaan.
"Sebagai contoh, seorang pekerja pembersihan menerima gaji purata SGD1,500. Kalau ditukar dengan ringgit bersamaan RM5,100. Itu sudah menyamai pendapatan pengurus atau jurutera di Johor.
"Ini jelas telah meningkatkan kuasa beli dan taraf ekonomi mereka. Malah, ramai yang sudah mampu membeli rumah sendiri di Johor. Saya juga kini sedang menyimpan wang untuk membeli rumah di Johor.
"Malah, ramai juga yang mampu membeli motor berkuasa tinggi untuk berulang-alik dari Malaysia ke Singapura setiap hari,” katanya.
Dia yang mempunyai pengalaman bekerja di Singapura selama lima tahun kini berpendapatan kasar SGD3,000 (RM10,000) sebulan.
"Tapi terpulanglah...Tepuk dada tanya selera. Jika hendak gaji dalam bentuk dolar Singapura, ada pengorbanan yang perlu dilakukan. Perlu bangun seawal jam 4 pagi dan meredah kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua,” jelasnya.
Sementara itu, Siti Nur Amalina Omar, 37, yang bekerja sebagai penyelia pembersihan berkata, dia memiliki pendapatan bulanan SGD2,500 (RM7,500).
Menurutnya, gaji yang diperoleh selama lima tahun bekerja di sebuah hospital itu akan digunakan sebaiknya untuk membeli sebuah rumah di Johor Bahru kelak.
"Sememangnya dengan kuasa dolar Singapura yang tinggi, kuasa beli pekerja Malaysia di Singapura jauh lebih tinggi di Johor Bahru. Ramai juga yang membeli rumah sebagai pelaburan pada masa depan.
"Tapi bagi saya ia suatu pilihan. Kita perlu bijak antara kehendak dengan keperluan. Apa-apa pun saya bersyukur dengan pendapatan diperoleh bekerja di Singapura dapat membantu keluarga di Johor,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca