KADAR tukaran satu mata wang dengan mata wang yang lain umpama jongkang-jongket. Satu naik, satu turun bergantung kepada banyak faktor. Jarang sekali seimbang. Ambil contoh, ringgit kita dengan dolar Amerika. Apabila kita memerlukan banyak... Klik di sini untuk terus membaca

KADAR tukaran satu mata wang dengan mata wang yang lain umpama jongkang-jongket. Satu naik, satu turun bergantung kepada banyak faktor. Jarang sekali seimbang.

Ambil contoh, ringgit kita dengan dolar Amerika. Apabila kita memerlukan banyak mata wang ringgit untuk membeli satu unit mata wang dolar, itu ertinya nilai ringgit jatuh. Tetapi, jika kita memerlukan sedikit sahaja ringgit untuk membeli dolar, itu bermakna nilai duit kita naik.

Kalau ikut laporan media massa, banyak juga berita baik mengenai ekonomi kita yang sepatutnya mengukuhkan nilai ringgit, namun ringgit terus lemah berbanding mata wang utama dunia dan mata wang negara-negara serantau.

Misalnya, pada 24 November 2022 iaitu hari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, untuk beli satu dolar Amerika kita perlukan RM4.56.

Bagaimanapun, pada 24 Mei lalu iaitu genap enam bulan beliau jadi Perdana Menteri, untuk beli satu dolar kita kena bayar RM4.58. Pada hari Jumaat, ringgit jatuh lagi hingga 4.63.

Kita kena faham pergerakan satu atau dua sen apabila melibatkan pertukaran ratusan juta ringgit setiap hari menjadikan kesannya cukup besar. Sebagai perbandingan, pada Mac lalu, jumlah perdagangan luar kita (eksport dan import) bernilai RM232.7 bilion. Semua itu melibatkan tukaran mata wang.

Logiknya apabila ekonomi kukuh, nilai ringgit naik. Untuk import lebih banyak barang dari Malaysia, pengimport kena beli ringgit. Apabila ramai orang beli ringgit, nilainya naik. Ia kesan biasa permintaan dan bekalan (demand and supply).

Ekonomi kita boleh dikira baik. Pada 2022, ia berkembang 8.7 peratus berbanding Amerika 2.6 peratus dan Singapura berkembang 3.6 peratus sahaja tetapi kenapa nilai duit kita jatuh berbanding dolar Amerika serta Singapura?

Bukan sahaja pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita positif, malah banyak petunjuk ekonomi lain pun baik juga.

Apabila ditanya mengapa termasuk di Parlimen, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kata bukan salah mereka. Sebaliknya, mereka menyalahkan faktor luar seperti kadar faedah di Amerika yang tinggi dan perang Ukraine.

Serentak itu, mereka kata kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan mengukuhkan nilai ringgit dan mengawal inflasi. Namun, inflasi bagi Februari lalu kekal pada kadar 3.7 peratus, manakala inflasi makanan dan minuman bukan arak naik tujuh peratus.

Jika betul kelemahan ringgit disebabkan faktor luaran, kenapa nilai rupiah naik mencanak dan dolar Singapura terus mengatasi kita? Sepanjang lima bulan tahun ini, rupiah telah meningkat lima peratus dan dolar Singapura 2.7 peratus.

Jawapannya, kita menderita masalah keyakinan yang kronik. Contohnya, laporan Barometer Kepercayaan Edelman (Edelman Trust Barometer) pada 24 Januari lalu mengatakan hanya 35 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik percaya bahawa mereka dan keluarga akan menikmati taraf ekonomi lebih baik dalam masa lima tahun akan datang.

Kajian tahunan firma perhubungan awam antarabangsa itu juga mendapati keyakinan rakyat Malaysia terhadap ekonomi merosot 20 peratus mata (percentage point) sejak laporan 2022. Ia adalah tahap kepercayaan paling rendah bagi Malaysia.

Kemudian, pada 25 Mei, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan Indeks Pelopor (leading index (LI)) merosot 1.2 peratus kepada 110.1 mata pada Mac daripada 111.4 mata setahun lalu.

LI ialah penunjuk arah jangka pendek pergerakan ekonomi. Kejatuhannya memberi bayangan bahawa ekonomi Malaysia mungkin berkembang pada kadar lebih perlahan bagi suku ketiga tahun ini.

Kesimpulannya, apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi kekangan dan ketidakharmonian dalam persepsi serta reaksi terhadap ekonomi negara ini?

Apatah lagi, apabila Perdana Menteri sendiri pada 22 Mei 2022 telah membuat catatan berikut dalam akaun media sosial beliau: "The ringgit dissipating value demonstrates that the world has lost confidence in Malaysia. Short term solutions and quick fixes, the leitmotif of this government, will simply not do.”

Terjemahannya ialah "nilai ringgit yang semakin menipis membuktikan dunia telah hilang keyakinan terhadap Malaysia. Penyelesaian jangka pendek dan langkah-langkah segera yang dilakukan berulang-ulang kali oleh kerajaan tidak berkesan lagi.”

Waktu itu beliau ialah Ketua Pembangkang. Hari ini sudah lebih enam bulan beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, malangnya nilai ringgit lebih rendah dari 22 Mei 2022.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca