ISU kalimah ALLAH muncul lagi apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat keputusan menarik semua rayuan kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman seorang wanita... Klik di sini untuk terus membaca

ISU kalimah ALLAH muncul lagi apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat keputusan menarik semua rayuan kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Dia memohon pengisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama tersebut.

Saifuddin mendakwa, keputusan itu dibuat atas pandangan Pejabat Peguam Negara kerana ia melibatkan isu pentadbiran, bukannya isu Perlembagaan.

Pada 2015, ketika itu Mahkamah Rayuan menolak permohonan Sidang Injil Borneo untuk menggunakan kalimah ALLAH sebagai kata ganti God dalam penerbitan bahan dakwah Kristian berbahasa Melayu.

Saya menulis dalam sebuah akhbar mencadangkan agar dicari penyelesaian lebih adil kepada kedua-dua pihak iaitu penganut Islam dan penganut Kristian.

Saya mencadangkan agar kerajaan meminta Institut Terjemahan Negara Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu Malaysia dengan bantuan Sidang Injil Borneo.

Melalui penterjemahan rasmi Bible bahasa Melayu, ia bukan sahaja boleh mengurangkan konflik antara Islam dan Kristian tetapi juga mengurangkan rasa tidak puas hati sebahagian orang Islam terhadap penganut Kristian.

Walaupun ramai bersetuju, namun tiada maklum balas jelas daripada pihak berkuasa.

Hampir 10 tahun kemudian, kita berdepan konflik yang sama dan sekali lagi kita akan berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan generasi muda penganut agama Kristian terhadap negara ini.

Bagi penganut agama Kristian terutama generasi muda, mereka harus sedar bahawa perkataan ALLAH bukan berasal daripada Bible yang menjadi rujukan Kristian di seluruh dunia.

Penyalahgunaan kalimah ALLAH dalam ajaran Kristian berpunca daripada kitab Bible bahasa Melayu yang dibawa masuk dari Indonesia. Ia tidak suci dan tulen. Perkataan ALLAH tidak diguna oleh ulama besar Kristian seperti Pope atau Bishop di Vatican.

Oleh sebab pertikaian itu bukan soal akidah tetapi bahasa, maka kita perlu balik kepada bahasa Melayu. Terjemahan tepat untuk God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan, bukan ALLAH.

ALLAH ialah perkataan pinjaman daripada Arab yang menjelaskan kedudukan Tuhan umat Islam yang tunggal (esa), tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Justeru, penggunaan perkataan ALLAH dalam konsep ‘trinity’ adalah salah dari segi terjemahan bahasa Melayu.

Bagi penganut Kristian, istilah Tuhan (God) atau ALLAH tiada beza, namun ia sangat penting kepada penganut agama Islam.

ALLAH dalam Islam bukan sekadar bahasa Arab. Ia sebahagian kesucian agama. Penganut Islam walau apa pun bahasa ibunda mereka tetap menggunakan perkataan ALLAH sebagai sebutan kepada Tuhan.

Sebenarnya sebagai orang Islam, saya tidaklah rasa terancam sangat dengan penggunaan nama ALLAH oleh penganut Kristian. Malah, membenarkan orang Kristian di negara ini terus menggunakan nama ALLAH menggantikan perkataan Tuhan atau God mungkin akan membuka peluang dakwah Islam yang lebih besar. Ia membuka peluang kepada perbahasan mengenai kesucian ALLAH yang sebenarnya.

Namun, dari perspektif keharmonian masyarakat, ia mungkin akan memberi kesan apabila polemik seperti ALLAH dalam Islam dan ALLAH dalam Kristian mula dibahaskan akibat daripada keengganan kerajaan serta pihak gereja membetulkan keadaan.

Justeru, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah berani menyelesaikan isu tersebut secara tuntas dengan mengharamkan semua Bible bahasa Melayu (dan bahasa Indonesia) dari luar negara.

Satu terjemahan Bible bahasa Melayu (Malaysia) diterbitkan untuk kegunaan penganut agama Kristian di negara ini. Walaupun ia mungkin akan mendapat cemuhan sebahagian orang Islam, ia dilihat cara terbaik membetulkan konflik ini.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca