PELBAGAI reaksi timbul susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri United Kingdom, Suella Braverman baru-baru ini.Mulai Januari 2024, international student yang mengikuti pengajian sarjana bukan penyelidikan tidak boleh lagi membawa ahli... Klik di sini untuk terus membaca

PELBAGAI reaksi timbul susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri United Kingdom, Suella Braverman baru-baru ini.

Mulai Januari 2024, international student yang mengikuti pengajian sarjana bukan penyelidikan tidak boleh lagi membawa ahli keluarga atau dependant untuk tinggal di United Kingdom (UK) bersama-sama sepanjang pengajian.

Ini satu dasar yang amat mengejutkan dan drastik serta kemungkinan besar UK adalah negara pertama melakukannya.

Dasar ini diambil susulan kenaikan jumlah pengeluaran visa dependant sebanyak lapan kali ganda, dari 16,000 pada tahun 2019 kepada 136,000 tahun lalu.

Umum mengetahui, sememangnya UK sudah terlalu lama dibanjiri imigran luar yang mengisi pelbagai sektor perniagaan dan pekerjaan mereka.

Hal ini katanya tidak disenangi orang tempatan. Imigran sepertinya telah merampas kemakmuran dan kekayaan negara dari rakyatnya sendiri.

Ia juga dijadikan selling point untuk mendapat sokongan rakyat terhadap Brexit suatu masa dahulu. Brexit diharap dapat mengekang peningkatan kedatangan pendatang asing terutamanya dari negara-negara Eropah lain ke UK.

Namun selepas Brexit, jumlah imigran melambung naik sehingga 700,000 setahun. Jauh dari sasaran asal untuk mengurangkannya kepada hanya 230,000 setahun.

Gagal masuk dengan tiket Kesatuan Eropah setelah Brexit, mereka menggunakan laluan masuk sebagai pelajar dan kemudian membawa masuk seluruh ahli keluarga untuk tinggal di UK. Ini belum termasuk mereka yang masuk dari negara di luar benua Eropah.

Bayangkan, hanya dengan 100 pelajar sarjana diterima belajar di UK, jumlah imigran yang berpotensi mengambil peluang kekal tinggal di UK bertambah tiga hingga empat kali ganda melalui visa dependant ini, menjadi 300 hingga 400 orang.

Desas-desus tentang dasar baru ini telah lama kedengaran. Namun setelah pengumuman dibuat, pihak universitilah yang paling ‘melompat’.

Pengarah Universities UK International, Jamie Arrowsmith, menyatakan dasar baharu ini nyata bercanggah dengan visi strategi pendidikan antarabangsa UK yang menyasarkan untuk menjadi lubuk bakat terkemuka dunia.

Kerajaan UK menawarkan visa siswazah (Graduate Visa) selama dua hingga tiga tahun setelah tamat pengajian yang bertujuan memudahkan pelajar ini bekerja di UK. Mereka ini dianggap sebagai aset penting kepada pembangunan UK.

Bukan itu sahaja, pelajar asing sebenarnya mendatangkan keuntungan ekonomi juga kepada negara ini. Satu kohort pelajar asing ke UK sahaja boleh menyumbang sehingga £9 bilion kepada ekonominya.

Untung menyeluruh yang dijana melalui mereka ini melangkau sehingga £41.9 bilion. Ini bukan suatu angka yang kecil.

Dasar baharu ini sepertinya memberi isyarat kepada pelajar dari seluruh dunia bahawa kedatangan mereka tidak lagi begitu dialu-alukan di UK. Tapi benarkah begitu?

Bancian Public First yang dilaksanakan universiti seluruh UK pada Mac lalu mendapati 64 peratus responden menyatakan kerajaan tidak perlu mengekang kemasukan pelajar asing ke UK. Hanya 9 peratus sahaja yang berasakan sebaliknya.

Ia langsung bercanggah dengan dakwaan Suella yang menyatakan dasar ini adalah apa yang rakyat UK mahukan. Mungkinkah dasar ini sekadar gula-gula politik parti memerintah?

Jika pun ditanya kepada 9 peratus yang tidak bersetuju ini, yang mereka tidak mahu masuk ke UK itu siapa sebenarnya?

Adakah pendirian mereka sama jika imigran itu datangnya dari German, Amerika Syarikat atau Perancis berbanding yang datang dari India, Afrika dan Filipina?

Dan benarkah keluarga pelajar asing dengan latar belakang pendidikan yang baik ini sedang membawa masalah kepada mereka?

Kalaupun yang dibimbangi itu adalah lambakan pekerja asing yang tidak berkemahiran seperti buruh dan tukang cuci, mungkin mereka boleh mula bertanya pada diri sendiri, benarkah UK akan terus makmur membangun tanpa tenaga orang asing?

Tidak mustahil, tetapi ia hanya akan berlaku jika rakyatnya sanggup kembali memegang mop untuk mencuci tandas, mengangkat sampah busuk masuk ke dalam lori, mencuci longkang, mengurus pesakit kronik di hospital atau mengguna tenaga empat kerat untuk membangunkan kondominium mewah buat si kaya.

Jika ini berlaku, bukan setakat pelajar, si buruh juga mungkin tidak lagi berminat datang bekerja di UK.

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca