BERDASARKAN pengelasan isi rumah pada tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, isi rumah yang berpendapatan bawah RM4,850 sebulan dikategorikan sebagai B40, isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,851 hingga RM10,970, manakala kumpulan isi rumah yang berpendapatan melebihi RM10,971 dikategorikan sebagai T20.
T20 pula dibahagikan kepada dua iaitu T1- RM10,971 hingga RM15,040 dan T2- RM15,041 dan ke atas.
Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebelum ini komponen pendapatan isi rumah dibahagikan kepada empat iaitu pendapatan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan dan pindahan semasa.
Peratusan komponen pendapatan bergaji adalah jauh lebih tinggi daripada komponen yang lain.
Mutakhir ini kerajaan telah mengumumkan tiada lagi subsidi tarif elektrik bagi kediaman yang menggunakan bekalan elektrik yang tinggi dan ianya akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Sebelum ini Tabung Haji telah menetapkan bayaran Haji 1444H berdasarkan kepada pengelasan pendapatan isi rumah.
Berdasarkan kepada beberapa situasi semasa, kemungkinan lebih banyak subsidi yang mungkin ditarik sebagai contoh melibatkan diesel dan RON95 buat kumpulan T20.
Namun, penulis berpandangan sebelum pelaksanaan subsidi bersasar dilaksanakan dan penarikan subsidi terhadap T20, amat penting untuk disemak semula pengelasan pendapatan isi rumah. Persoalan yang timbul, adakah semua T20 pada ketika ini tergolong dalam kelompok yang mewah dan kaya?
Sebagai contoh, di dalam sebuah rumah, hanya suami sahaja bekerja dengan pendapatan beliau sebanyak RM12,000. Beliau bekerja di sektor swasta dan tinggal di Kuala Lumpur serta menanggung perbelanjaan isi rumah yang melibatkan isteri dan 5 orang anak.
Mengikut pengkelasan semasa, beliau tergolong dalam pendapatan isi rumah T20. Sebenarnya berapakah anggaran baki pendapatan beliau setelah ditolak cukai pendapatan, KWSP dan Perkeso? Anggaran baki pendapatan adalah sebanyak antara RM9,000 ke RM10,000. Dengan baki ini, jika ditolak segala perbelanjaan wajibnya, baki adalah sekitar RM4,000 ke RM5,000.
Baki tersebut digunakan pula membeli barangan keperluan harian, perbelanjaan dan kos lima anak yang bersekolah dan nafkah.
Tidak mustahil baki di tangan tinggal beberapa ratus ataupun berkemungkinan defisit. Jika subsidi ditarik untuk pendapatan isi rumah sebagai contoh yang diberi ini, maka perbelanjaan akan bertambah.
Justeru, bukan semua T20 mewah dan berdasarkan pengelasan sedia ada, ramai juga kalangan T20 yang berpendapatan isi rumah antara RM11,000 ke RM15,000 yang sebenarnya hanya cukup-cukup makan sahaja. Hal ini sebabkan oleh pendapatan yang diperoleh termasuk kenaikan gaji tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga barangan yang berlaku pada ketika ini.
Bahkan terbaharu, kadar inflasi di Malaysia pada bulan April 2023 meningkat kepada 3.3 peratus. Melihat kepada perkembangan semasa, dengan Ringgit jatuh pada ketika ini dan ditambah pula dengan perubahan iklim berkemungkinan harga barangan makanan akan terus naik.
Oleh yang demikian, penulis berpandangan terdapat keperluan untuk mengkaji semula pengelasan pendapatan isi rumah agar ianya benar-benar selari dengan realiti yang sebenarnya berlaku di lapangan.
Kerajaan juga perlu mengambil kira pendapatan isi rumah yang bersesuaian berdasarkan kepada bilangan tanggungan khususnya anak yang masih bersekolah atau sedang belajar di institut pengajian tinggi.
Akhirnya, sebelum subsidi elektrik dan subsidi lain yang ditarik buat T20 maka penetapan siapa yang dikira berada di dalam kategori T20 ini wajar disemak semula agar penarikan subsidi ini hanya memberikan fokus dan penumpuan kepada mereka yang benar-benar kaya sahaja.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca