ISU Rohingya bagaikan tiada penyelesaian, malah etnik itu dilihat berani mengganggu gugat keharmonian hingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital mahu isu Rohingya ini diambil peduli kerana mereka telah banyak mengundang pelbagai masalah sosial termasuk menggunakan kenderaan tanpa lesen memandu yang mana tindakan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob bersama Mohd Noor Helmy bagi mengulas mengenai isu pelarian tersebut di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dan isu-isu semasa.
SINAR HARIAN: Yang Berhormat (YB) antara ADUN yang lantang dan berani bersuara tentang masalah etnik Rohingya di negara ini. Apakah tindakan yang perlu dilakukan kerajaan dalam menangani isu yang sekian lama?
MOHD NOOR HELMY: Umum tahu isu Rohingya ini bukan perkara baharu di Malaysia dan ia telah berlanjutan sekian lama. Oleh itu kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dengan mengubah pendekatan terhadap pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dengan merangka kerja perundangan atau pentadbiran bagi mengawal status dan hak pelarian di negara ini.
Ia termasuk mengkaji semula pemberian kad (UNCHR) kerana kita tidak boleh memberi ruang kepada mereka ini mendapatkan kad itu dengan mudah, sedangkan mereka masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen.
Selain itu, saya menggesa agar kerajaan mengubah dasar dari menerima mereka sebagai pelarian, jadikan mereka berstatus sebagai pendatang tanpa izin (PATI) kerana baharu kita ada kawalan dan penguat kuasa ataupun jabatan berkaitan boleh mengambil sebarang tindakan. Maka di sini, pentingnya untuk daftarkan mereka, buat kawalan dan kuatkuasakan undang-undang.
Kerajaan perlu ubah pendekatan dan bersikap lebih tegas dalam isu ini. Jika selama-lamanya begini, mereka akan berleluasa dan sekiranya berterusan etnik ini tidak dikawal tidak mustahil kita akan mendapat bahana nanti.
Mereka seharusnya mempunyai tempoh masa tertentu untuk tinggal di negara ini dan bukan selamanya dibenarkan tinggal di sini bagi menggelakkan perkara-perkara tidak diingini menimpa penduduk tempatan.
SH: Di Melaka apakah tindakan yang telah YB lakukan untuk memastikan isu Rohingya ini sentiasa diberikan perhatian?
Sebagai wakil rakyat di Duyong, saya telah menggunakan semua saluran yang ada termasuk menggunakan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Agama Islam (JAIM) untuk membuat operasi di kawasan 'perkampungan Rohingya' selain menyuarakan kegusaran yang dihadapi penduduk tempatan terhadap tingkah laku warga itu dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu.
Seperti di DUN Duyong, etnik Rohingya ini seolah-olah mempunyai perkampungan sendiri. Bermacam perilaku mereka pernah dilihat seperti sering bergaduh bersenjatakan parang, mabuk dan berniaga tanpa lesen. Di peringkat ini, saya telah bertegas, menangani isu ini dan perubahan dapat kita lihat, isu warga Rohingya khususnya dalam DUN ini semakin berkurangan.
Memang kita menggunakan kaedah ketegasan, namun belum sehingga menggunakan kekerasan.
Cadangan saya pendekatan ini harus digunakan oleh semua ADUN-ADUN di negara ini agar suara kesepakatan dalam isu ini boleh dibawa ke peringkat Parlimen. Seterusnya daripada Parlimen disuarakan kepada kerajaan supaya dasar sebelum ini dapat diubah.
Tidak terkecuali rakyat pun harus mainkan peranan, jangan bersubahat dan mengambil jalan mudah untuk memberikan mereka menggunakan nama kenderaan dan membenarkan mereka menyewa rumah demi wang ringgit semata-mata.
Kita sama-sama kena satu suara kena usahakan dengan syarat masing-masing memainkan peranan.
SH: Sebagai Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, bagaimana YB mahu membantu rakyat mampu meraih pendapatan melalui teknologi digital?
Pertamanya saya akan sentiasa menyokong penuh dan memberikan bantuan dan khidmat kepada Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Fairul Nizam Roslan termasuk dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Sudah tentu agenda membudayakan teknologi digital dalam kalangan rakyat terutama penjaja dan peniaga tidak tidak akan dipinggirkan.
Kita akan memastikan golongan itu dapat memanfaatkan teknologi itu untuk menjana dan meraih pendapatan sekali gus mentransformasikan mereka.
Apa yang saya harapkan dapat menyediakan perkhidmatan dan meningkatkan usaha untuk membangunkan serta meluaskan kawasan liputan kemudahan jalur lebar terutama di kawasan luar bandar. Ini penting agar lebih ramai mendapat manfaat daripada teknologi itu.
SH: Selepas diberikan mandat sebagai ADUN Duyong sejak hampir dua tahun, apakah yang menjadi tumpuan YB di kawasan DUN ini?
Dengan kelebihan 200 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, bermakna kemenangan itu memberi peluang untuk saya mentadbir dan memegang mandat di DUN Duyong.
Tiga perkara yang saya berikan tumpuan iaitu menyelesaikan isu tertunggak seperti infrastruktur, isu jalan raya selamat dan isu banjir.
Ini merupakan isu yang kita warisi sejak dahulu untuk kita selesaikan tanpa menyalahkan sesiapa. Apa yang ada hari ini, kita teruskan usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada.
Setakat hari ini ada usaha telah dibuat, ada yang memberikan kesan serta merta ada hanya sedikit memberi kesan dan ada yang langsung tidak memberikan kesan.
Namun kita di pihak kerajaan akan meneruskan usaha tanpa membelakangkan siapa pun pemohonnya, bila permohonannya dan siapkan yang mendapat manfaat daripadanya.
Perkara kedua tentang isu 'perut' rakyat, bagaimana untuk kita pastikan di DUN ini mudah untuk penduduk mencari makan seperti peniaga, penaja dan orang yang berurus niaga serta mereka yang mempunyai kehidupan di Duyong.
Ketiganya, kebajikan rakyat terpelihara di kawasan Duyong dengan memastikan usaha kebajikan rakyat sentiasa mendapat sasaran dari masa ke semasa dan mengurangkan kes-kes keciciran daripada menerima bantuan.
Ini termasuk anak-anak yatim dijaga, ibu tunggal dipelihara dan bapa-bapa tunggal kita santuni sentiasa.
PROFIL
Noor Helmy Abdul Halem
Asal: Duyong, Melaka
Status: Berkahwin dan mempunyai empat orang anak
Umur: 40 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, UiTM
Jawatan:
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka
Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka
Ketua UMNO Cawangan Seri Duyong
Klik di sini untuk terus membaca