KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seramai 33 individu dengan nilai rampasan berjumlah RM6.8 juta membabitkan jenayah hidupan liar bagi tempoh empat bulan tahun ini setakat April.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, sepanjang tempoh itu, pihaknya telah membuka 700 kertas siasatan termasuk 29 dalam kategori jenayah.
Jelas beliau, seramai 33 pesalah termasuk dua wanita telah ditahan di mana 32 daripadanya terdiri daripada warganegara tempatan dan seorang warga asing.
"Nilai rampasan keseluruhan bagi tahun ini sehingga bulan April adalah sebanyak RM6.8 juta.
"Selain rampasan hidupan liar yang terdiri daripada pelbagai spesies dalam dan luar negara seperti harimau belang, spesies parrot, burung helang, kijang, rusa, pelanduk, murai batu, tenggiling dan pelbagai spesies reptilia termasuk ular, buaya dan biawak.
"Terdapat juga rampasan beberapa laras senjata api sama ada yang berlesen atau senjata api buatan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, selain kes yang melibatkan pemilikan hidupan liar, terdapat beberapa kes turut melibatkan aktiviti pemburuan dan penjualan haram.
Antara kes yang pernah dilaporkan ialah pemburuan harimau di Gua Musang, Kelantan dan perniagaan makanan eksotik di Pulau Pinang yang menjual hidangan buaya sebagai menu istimewa di restoran tersebut.
Abdul Kadir berkata, pada 10 Februari 2022, Parlimen telah meluluskan pindaan terhadap 63 seksyen di bawah Akta Pemuliharan Hidupan Liar (Akta 716).
Pindaan tersebut diselaraskan dengan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang menyaksikan penalti bagi kesalahan-kesalahan berkaitan hidupan liar ditingkatkan dengan denda maksimum sehingga RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun.
Jelas Abdul Kadir, pindaan itu bertujuan untuk memberikan mesej yang jelas tentang ketegasan negara dalam melindungi khazanah negara.
"Dengan pindaan terhadap akta ini telah menyaksikan pelbagai kejayaan operasi yang dijalankan sekali gus berjaya memberikan satu impak dan mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa Kerajaan Malaysia amat tegas dalam melindungi khazanah negara.
"Ini merupakan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram, aktiviti pencerobohan dan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah hidupan liar yang lain agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian dalam laporan eksklusif melaporkan mengenai pembabitan pemburu haram dalam kalangan warga tempatan yang bertindak agresif dengan merosakkan kamera perangkap yang dipasang Perhilitan dengan cara mencabut dan memecahkannya.
Sejak tahun 2020 dianggarkan lebih 20 kamera perangkap itu telah dirosakkan.
Selain itu, Perhilitan turut mengesan kumpulan warga Vietnam dan Kemboja yang mengambil kesempatan memburu hidupan liar dan menceroboh hutan selepas masuk ke Malaysia sebagai pelancong mahu pun pekerja.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan beri kerjasama dengan Perhilitan susulan pembabitan warga asing yang menyalahgunakan pas pelancong dan permit kerja untuk terlibat dalam jenayah pemburuan haram hidupan liar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya memandang serius isu pemburu haram warga asing.
Katanya, ternyata jelas mereka melakukan kesalahan kerana imigresen tidak pernah mengeluarkan sebarang pas untuk aktiviti pemburuan.
"Warga asing ini dipercayai melakukan kesalahan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial yang diberikan kepada mereka semasa memasuki negara sebagai pelancong,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca