SHAH ALAM - Mendedahkan anak kepada gajet dan media sosial seawal usia dua tahun berisiko menyebabkan mereka kurang berkomunikasi dengan orang lain di sekeliling sekali gus melahirkan generasi pasif pada masa akan datang.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, kanak-kanak terbabit bukan sahaja kurang kemahiran berinteraksi malah terjejas kesihatan sekiranya perkara tersebut tidak dibendung dari awal.
"Anak-anak berkenaan tidak bergaul dengan orang lain dan hubungan sesama manusia sangat kurang disebabkan mereka leka bermain telefon pintar.
"Dari segi kesihatan, ia memberi kesan kepada pertumbuhan minda untuk jangka panjang selain merosakkan mata kerana kerap guna gajet di tempat gelap dalam tempoh yang lama,” katanya kepada Sinar Harian.
Kira-kira 26.8 juta pengguna internet di Malaysia, termasuk kanak-kanak menghabiskan masa selama dua jam 47 minit sehari atau lebih 20 jam seminggu bagi melayari pelbagai platform media sosial, demikian menurut laporan Digital 2023 oleh Meltwater.
Mengulas lanjut, Noor Aziah berkata, terdapat ibu bapa muda yang tiada kemahiran keibubapaan selain tidak tahu cara berinteraksi dengan anak-anak kerana terlalu sibuk bekerja mencari rezeki.
"Ada ibu bapa berpendapat dengan hanya beri gajet kepada anak, ia akan memudahkan mereka untuk buat kerja rumah atau melakukan pelbagai urusan lain. Jadi anak tersebut sudah didedahkan dengan gajet, game dan menonton kartun sejak kecil.
"Ini menyebabkan mereka terbiasa dengan budaya seperti itu sehingga menjadikan mereka kerap duduk di bilik sendirian, kurang berinteraksi dengan masyarakat serta tidak suka beriadah di luar,” katanya.
Bagaimanapun Noor Aziah berkata, tidak mendedahkan langsung anak kepada gajet dan internet juga berisiko memberi kesan buruk kepada anak. Ini termasuklah mereka akan berasa rendah diri dan ketinggalan berbanding rakan-rakan sebaya yang lain di sekolah.
Beliau berkata, lebih memburukkan keadaan apabila anak berkenaan belajar menggunakan gajet dan internet daripada rakan-rakan dan bukannya dididik secara terus oleh ibu bapa sendiri.
"Apabila ibu bapa tidak berkomunikasi dengan anak kerana sibuk, maka anak ini belajar daripada kawan-kawan sekali gus menyebabkan lebih sukar untuk memantau dan mengawal aktiviti mereka di media sosial,” ujar beliau.
Justeru, Noor Aziah berpendapat peranan ibu bapa penting dalam membekalkan didikan awal kepada anak selain memberi kefahaman kepada mereka mengenai penggunaan gajet dan media sosial secara selamat.
Katanya, ibu bapa juga harus memantau setiap penggunaan gajet bagi mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini terutama jenayah seksual dalam talian yang melibatkan kanak-kanak.
"Penyelesaian bermula daripada ibu bapa tanpa mengira latar belakang, pekerjaan atau di mana mereka tinggal sama ada di bandar atau luar bandar dengan memberi didikan awal di rumah terutama didikan agama sebelum mengajar mereka apa yang betul serta apa yang salah.
"Pendidikan digital adalah sangat penting dan bagaimana ibu bapa memberi penerangan secara berkesan kepada anak ini sejak kecil bagi memastikan mereka dilindungi daripada sebarang perkara tidak baik,” ulas beliau.
Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini, kanak-kanak yang menghabiskan terlalu banyak masa dengan peranti digital boleh mendapat sakit kepala, sakit leher, jangkitan mata dan kekurangan zat makanan.
Selain itu, mereka juga terdedah kepada pembuli siber, kandungan dalam internet yang tidak sesuai dan juga boleh memusnahkan institusi kekeluargaan.
- Info
Akibat jika jadi hamba media sosial
1. Kes perceraian meningkat.
2. Komunikasi antara ahli keluarga kurang.
3. Hubungan antara individu tidak rapat.
4. Perselisihan faham mudah terjadi.
5. Anak-anak hilang fokus untuk belajar.
6. Senang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti dadah dan seks bebas.
7. Kurang kemahiran komunikasi.
8. Kurang berinteraksi dengan manusia.
9. Pasif dan tidak suka bercampur atau bersosial.
10. Beri kesan kepada pertumbuhan minda.
11. Merosakkan mata, sakit kepala dan sakit leher.
12. Kerap menyendiri dan terkurung di bilik sendiri.
13. Tidak suka beriadah dan kurang melakukan aktiviti luar.
14. Ketagihan terhadap media sosial.
15. Penyebaran fitnah di media sosial berleluasa.
16. Aktiviti-aktiviti berbahaya dan tidak bermoral dalam media sosial mempengaruhi atau menjadi ikutan masyarakat.
17. Membuka ruang kecaman atau ugutan terhadap masyarakat.
18. Penyebaran kandungan yang berunsur provokasi dan sensitif yang tidak ditapis.
19. Menggalakkan kes buli siber.
Klik di sini untuk terus membaca