SHAH ALAM - Kerajaan perlu merancang secara bersepadu untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya golongan muda bagi mengurangkan kebergantungan terhadap media sosial yang semakin membimbangkan ketika ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, peranan penting itu perlu digerakkan melalui usaha semua pihak, termasuk ibu bapa dan anggota keluarga.
Ujar beliau, penyediaan ruang atau sudut bacaan di rumah, taman perumahan dan institusi juga boleh dilakukan sebagai salah satu langkah menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Selain itu di institusi pendidikan, perpustakaan atau pusat sumber bukan sahaja perlu menyediakan bahan bacaan pelbagai bidang bahkan perlu ada rancangan kegiatan seperti bicara buku, kuiz, sketsa dan lain-lain yang berasaskan bahan bacaan.
"Di kawasan sekolah, maktab dan universiti perlu ada sudut atau ruang santai untuk kegiatan membaca, selain perpustakaan.
"Di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah, Kuala Lipis, misalnya dibina Laman Ilmu Awang Sariyan yang menempatkan sejumlah bahan bacaan yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar pada waktu senggang,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, ujar Awang Sariyan, kegiatan membaca tidak wajar diukur berdasarkan jumlah buku, halaman dan kuantiti bahan berkenaan.
Menurutnya, perlu ada instrumen atau mekanisme lain untuk mengukur budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
"Kini bahan dan sumber bacaan berkembang dalam pelbagai bentuk atau media, seperti buku elektronik (e-book), buku audio dan bahan audio visual serta bahan lain, termasuk juga media sosial.
"Yang penting ialah kegiatan memanfaatkan segala bentuk atau media yang mempunyai nilai ilmiah dan maklumat yang berfaedah,” ujar beliau.
Ulasnya, ibu bapa, guru, rakan-rakan dapat menjadi penasihat atau pembimbing dalam memilih bahan bacaan yang bermutu.
"Baik buku mahupun media sosial ada sisi kelebihan dan kekurangannya walaupun mungkin benar kandungan media sosial lebih besar kemungkinan tidak sahih kerana tiada kawalan.
"Buku pun jika tiada kawalan kualiti oleh penerbit mungkin sahaja terdedah kepada kelemahan, apatah lagi kini penulis boleh menjadi penerbit bukunya sendiri, sama dengan penulisan media sosial.
"Yang penting ialah asuhan kepada anak dan pelajar agar memilih bahan bacaan yang baik, tidak kira buku atau sumber lain dalam bentuk terbitan elektronik dan lain-lain,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca