SHAH ALAM - Penyebaran kandungan di platform media sosial secara meluas dan tidak ditapis boleh mencetuskan budaya ikutan dalam kalangan masyarakat masa kini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pengulangan kandungan yang dominan di media sosial boleh membentuk ingatan separa sedar dalam kalangan masyarakat seterusnya menetapkan pemikiran dan emosi tertentu mengikut kandungan yang dilihat itu.
"Kalau kandungan politik yang paling kerap kita tengok, kandungan politiklah yang akan bermain dalam otak kita dan akan membentuk emosi kita terhadap apa yang kita tengok tadi,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, ujar Siraj, kelonggaran dari segi kawalan sekatan serta kesedaran terhadap masalah media sosial menyebabkan banyak kandungan berunsur fitnah, negatif dan tidak ditapis makin tersebar luas.
Menurutnya, hal itu menyebabkan masyarakat mudah keliru dengan kesahihan dan kredibiliti kandungan yang ada di platform berkenaan.
"Antara contoh kesan buruk terhadap masyarakat adalah mereka keliru antara fakta atau auta sehinggakan kerajaan terpaksa mencipta laman sesawang Sebenarnya.my.
"Inisiatif itu bagus, tetapi kalau sudah sampai tahap kerajaan kena buat portal untuk sahkan maklumat, maksudnya terlampau banyak kandungan tidak benar dan merosakkan masyarakat.
"Ini bermakna masyarakat sudah rosak pemikiran mereka sehingga susah nak kenal pasti, keliru (mana yang benar) dan sehingga kini ada banyak tindakan (dikenakan),” ujarnya.
Sementara itu, ulas beliau, masyarakat terutama generasi muda perlu diberikan kesedaran awal melalui pendedahan atau silibus pendidikan berhubung isu itu di peringkat sekolah.
Jelasnya, peranan kerajaan dan ibu bapa penting dalam memastikan usaha itu dapat dijalankan dan secara langsung mengelakkan daripada penyalahgunaan platform media sosial.
"Jadi solusinya kerajaan perlu mewujudkan pendidikan kepenggunaan digital atau siber di peringkat terendah di dalam sistem di negara kita.
"Kita tidak boleh halang anak-anak daripada akses gajet atau telefon sebab kita akan merencatkan pemikiran mereka dari segi teknologi.
"Tetapi setiap kali mereka guna, kita nasihatkan dari segi hukum hakam, didik soal nilai moral dan kawal selia penggunaan mereka,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca