SHAH ALAM - Rakyat Malaysia didapati terus ketagih terhadap media sosial apabila kira-kira 26.8 juta pengguna internet di negara ini menghabiskan masa selama dua jam 47 minit sehari atau lebih 20 jam seminggu bagi melayari platform media sosial.
Dapatan itu adalah hasil laporan tahunan Digital 2023 yang dikeluarkan oleh Meltwater, peneraju global dalam maklumat media dan sosial serta We Are Social bagi Januari 2023. Laporan itu turut mendapati pengguna berusia 25 hingga 34 tahun adalah paling aktif.
Kajian berkenaan mendedahkan tiga alasan utama penggunaan internet di negara ini adalah untuk mencari maklumat (76.2 peratus), mengikuti berita semasa (65.8 peratus) dan kekal berhubung dengan rakan dan keluarga (64.2 peratus).
Selain itu, laporan tahunan tersebut mendapati tiga alasan utama penggunaan media sosial adalah untuk kekal berhubung dengan rakan dan keluarga (54.6 peratus), penuhi waktu terluang (52.7 peratus) dan membaca berita terkini (42.6 peratus).
Laporan sama turut mendapati, aplikasi WhatsApp merupakan media sosial paling banyak digunakan iaitu 89.3 peratus, Facebook (84.8 peratus) dan Instagram (74.3 peratus), manakala TikTok pada masa ini menjadi sangat popular di Malaysia, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
"WhatsApp paling banyak digunakan di negara ini kerana fungsinya yang mudah dan mampu menarik minat pengguna daripada pelbagai peringkat umur, Facebook mengekalkan kedudukannya sebagai platform pilihan disebabkan keupayaan membangun daripada rangkaian sosial kepada hab yang fleksibel untuk hiburan, berita dan jualan dalam talian.
"Sementara Instagram pula lebih kepada reka bentuk menarik dan tersusun terutamanya dari segi imej dan visual yang mampu menarik minat pengguna. TikTok pula semakin meraih populariti serta menjadi pilihan generasi muda kini,” ujar laporan itu.
Dalam pada itu, data menunjukkan lebih 44 juta sambungan mudah alih pada tahun 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan 1.2 juta atau 2.9 peratus daripada tahun sebelumnya.
Justeru, dengan peningkatan tersebut, dapat dirumuskan bahawa hampir semua rakyat di Malaysia boleh mengakses rangkaian selular selari dengan kepentingan penggunaan peranti itu dalam aspek komunikasi, hiburan, perniagaan dan sebagainya.
"Ia jelas dapat dilihat apabila dua daripada tiga rakyat di negara ini membeli barangan secara dalam talian melalui telefon mudah alih masing-masing,” jelas laporan tersebut.
Laporan itu turut mendapati perbelanjaan iklan media digital di Malaysia juga bertambah dengan pelaburan sejumlah AS$747.5 juta (RM3.4 bilion iaitu meningkat 18.6 peratus daripada tahun lepas.
Faktor utama pertambahan itu didorong oleh jumlah pengguna media sosial yang semakin meningkat dan kepercayaan tinggi dalam pelbagai urusan termasuk pembelian secara dalam talian.
Secara keseluruhan, laporan tersebut menunjukkan purata penggunaan media sosial menurun apabila purata pengguna di Malaysia berumur 16 hingga 64 tahun menghabiskan lapan jam dua minit dalam talian setiap bulan, turun 11 peratus daripada setahun sebelumnya.
Kecenderungan ini menunjukkan kesedaran dan kesungguhan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terhadap masa yang dihabiskan di media sosial.
Sementara itu, kajian dilakukan syarikat pembekal proksi, Proxyrack mendapati Malaysia kini menduduki tempat kedua paling banyak menggunakan platform media sosial di dunia, lapor laman berita Wion News.
Kajian itu menunjukkan Malaysia berkongsi tempat dengan Filipina dengan mencatatkan skor 8.75 daripada 10, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di kedudukan teratas melalui skor 9.55.
Laporan sama turut menunjukkan, penggunaan media sosial untuk rakyat negara ini adalah sekitar tujuh hingga lapan jam sehari menjadikan antara negara paling tinggi dalam skor tempoh masa skrin peranti.
Secara purata rakyat Malaysia menggunakan lapan platform media sosial.
Afrika Selatan pula berada di kedudukan tertinggi dalam penggunaan media sosial dengan menghabiskan hampir 10 jam sehari, diikuti Brazil (sembilan jam 32 minit), Filipina (sembilan jam 14 minit) dan Thailand (sembilan jam enam minit).
Selain itu, Korea Selatan merekodkan akses internet terbaik di dunia dengan keseluruhan skor 8.52 daripada 10, Hong Kong (7.90), Denmark (7.22), manakala Malaysia di kedudukan kelima dengan skor 6.19.
Klik di sini untuk terus membaca