JERANTUT - Penggemar durian di negara ini boleh menikmati ‘raja buah’ berkenaan untuk tempoh lebih lama lagi kerana musimnya dijangka lebih panjang berbanding tahun-tahun sebelum. Ini berikutan keadaan cuaca panas yang melanda... Klik di sini untuk terus membaca

JERANTUT - Penggemar durian di negara ini boleh menikmati ‘raja buah’ berkenaan untuk tempoh lebih lama lagi kerana musimnya dijangka lebih panjang berbanding tahun-tahun sebelum.

Ini berikutan keadaan cuaca panas yang melanda menyebabkan pokok durian mudah berbunga, selain hasil yang dikeluarkan lebih banyak bagi setiap pokok.

Seorang pengusaha durian di Kampung Baru di sini, Mohd Lokman Mohd Isa, 64, berkata, musim durian yang bermula sejak awal tahun ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Oktober depan.

Dia yang mengusahakan ladang durian premium Musang King dan Black Thorn seluas kira-kira empat hektar bagaimanapun berkata, selain cuaca, pengurusan ladang yang baik turut mempengaruhi faktor musim dan kualiti buah.

Mohd Lokman memberitahu penggemar durian berpeluang menikmati raja buah itu lebih lama berbanding kebiasaan.
Mohd Lokman memberitahu penggemar durian berpeluang menikmati raja buah itu lebih lama berbanding kebiasaan.

"Di ladang saya sendiri, terdapat empat peringkat yang mana sudah mula mengeluarkan hasil bermula April lalu.

"Fasa pertama ialah pada Januari, diikuti fasa kedua dari April hingga Mei. Fasa ketiga pula Jun dan yang terakhir pada September hingga pertengahan Oktober ini.

"Malah, dijangkakan hasil buah akan lebih banyak pada fasa terakhir itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun dan dijangka kembali hujan selepas Ogos.

Cuaca panas itu membabitkan semua negeri, namun paling terkesan ialah di utara dan Pantai Timur.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, musim durian yang panjang diibaratkan seperti ‘durian runtuh’ bagi pekebun-pekebun durian.

Kelly
Kelly

Salah seorang mereka, Kelly Lim, 40, berkata, dia menjangkakan musim durian kali ini berterusan sehingga Ogos ini.

Kelly yang mempunyai kebun durian di Muar bersama seorang rakan kongsinya berkata, keadaan itu pasti memberikan berita gembira kepada penggemar ‘raja buah’ itu.

Malah, katanya, pengeluaran yang bertambah membolehkan peniaga menjual dengan harga lebih murah termasuk durian mahal seperti Musang King.

Tambah wanita itu, jika ketika ini mereka menjual secara timbang kilo, mungkin selepas ini menjualnya ikut bilangan, misalnya RM10 sebiji.

Hasil durian boleh meningkat sehingga 50 peratus

Keadaan cuaca panas dan penjagaan pokok yang sempurna boleh mendorong proses pendebungaan, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluaran durian.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Tanaman Industri Daerah Raub, Nicky Koh Kuan Heng berkata, hasil pengeluaran boleh meningkat sehingga 50 peratus jika pengusaha mengamalkan amalan pertanian baik dan memanfaatkan penggunaan teknologi.

"Sekarang ini pengeluaran durian dua kali setahun, bermaksud musim panjang itu berterusan mengikut fasa sejak awal tahun lagi.

"Pertanian juga sudah maju. Jika baja dan cuaca cukup panas dua ke tiga bulan, bunga sudah keluar.

"Pokok durian ini pula, kalau cukup panas ia mudah untuk berbunga. Bagi pokok yang cukup umur sehingga 15 tahun, ia boleh mengeluarkan hasil antara 100 ke 200 biji,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sementara itu, Nicky menjelaskan, di Raub terdapat kira-kira 30,000 pekebun durian dan lebih 90 peratus ahli persatuannya mengusahakan tanaman durian.

Menurutnya, pokok durian hidup subur di negara ini kerana cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun serta faktor tanah yang bersesuaian.

Durian Thailand berdepan saingan dua negara

Dalam pada itu, penanam durian Thailand digesa mengekalkan kualiti tinggi ‘raja buah’ itu kerana mereka kini berdepan ancaman semakin meningkat daripada pesaing pengeksport di Vietnam dan Filipina untuk pasaran di China.

Gesaan itu dibuat Ketua Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa, Phusit Ratanakul Sereroengrit.

Phusit berkata, laporan daripada pejabat promosi di Nanning, China menunjukkan harga borong durian mengalami penurunan pada awal bulan ini.

Laporan itu turut menyebut harga durian di China semakin menurun disebabkan lonjakan bekalan buah itu selepas pemborong China meningkatkan import dari Vietnam dan Filipina.

Pada awal bulan ini, harga durian Mon Thong merekodkan harga jatuh dari 36 yuan hingga 41 yuan (RM23 hingga RM30) sekilogram.

Durian Mon Thong dari Vietnam pula berharga lingkungan 32 yuan hingga 41 yuan (RM21 hingga RM27) sekilogram, manakala durian Puyat dari Filipina sekitar 37 yuan hingga 45 yuan (RM24 hingga RM29).

Laporan menambah, harga durian Thailand melambung kepada 52 yuan hingga 58 yuan (RM34 hingga RM37) sekilogram pada pertengahan Mei susulan penghujung musim di wilayah timur negara itu.

"Pengeksport Thailand harus mengekalkan kualiti durian mereka sehingga buah itu sampai ke tangan pembeli, sekali gus menjaga imej baik mereka serta meningkatkan daya saing,” kata Phusit.

Klik di sini untuk terus membaca