ANKARA - Recep Tayyip Erdogan menggesa rakyat memperkukuhkan perpaduan negara sejurus beliau diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Turkiye 2023. Kemenangan tersebut menyaksikan Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) itu... Klik di sini untuk terus membaca

ANKARA - Recep Tayyip Erdogan menggesa rakyat memperkukuhkan perpaduan negara sejurus beliau diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden Turkiye 2023.

Kemenangan tersebut menyaksikan Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) itu melanjutkan tempoh dua dekad pemerintahannya sehingga 2028.

Pemimpin berusia 69 tahun itu sebelum ini berjaya mengatasi krisis ekonomi terburuk Turkiye dan berdepan pakatan pembangkang paling kuat dalam usahanya untuk memenangi pilihan raya paling sukar.

Rakyat Turkiye membunyikan hon kereta di sepanjang jalan raya di luar Istana Presiden di Ankara sebagai meraikan kemenangan pemimpin terpenting Turkiye dalam sejarah moden yang turut menerima penghormatan daripada masyarakat antarabangsa.

"Kami menyeru dengan sepenuh hati kami,” kata Erdogan kepada orang ramai yang melaungkan slogan kemenangan dan mengibarkan bendera.

Menurut Majlis Pilihan Raya Tertinggi Turkiye, Erdogan meraih sebanyak 52.16 peratus undi pada pusingan kedua menewaskan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu dengan 47.84 peratus undi.

Ketua lembaga pemilih Turkiye mengesahkan kemenangan tersebut dengan mengatakan bahawa walaupun selepas mengambil kira undian cemerlang, keputusan itu adalah bermakna satu lagi penggal untuk Erdogan.

Penyokong meraikan kemenangan Erdogan di Istanbul.

"Satu-satunya pemenang hari ini ialah Turkiye,” ulas Erdogan mengenai kemenangannya.

Beliau turut berjanji untuk bekerja keras bagi abad kedua Turkiye sambil menambah, tiada sebarang pihak boleh memandang rendah terhadap negara berkenaan.

Dalam pada itu, Kemal yang mengetuai Parti Rakyat Republikan (CHP) yang ditubuhkan oleh pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk menganggap pilihan raya kali ini adalah ‘yang paling tidak adil’ dengan semua sumber negara digerakkan untuk Erdogan.

Pada pengundian pusingan pertama 14 Mei lalu, Erdogan memperoleh kelebihan hampir lima mata ke atas Kemal.

Bagaimanapun, beliau gagal mencapai 50 peratus undian yang diperlukan untuk menang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca