SHAH ALAM - Kebanyakan ibu bapa sedar akan bahaya pendedahan terlalu lama terhadap media sosial dan mengambil pendekatan mengehadkan tempoh penggunaan telefon untuk anak-anak mereka.
Bapa kepada dua anak, Muhammad Syafiq Mohd Sabri, 34, berkata, selain menetapkan tempoh masa, dia dan isteri hanya membenarkan anak-anak melayari internet melalui saluran yang lebih selamat.
Menurutnya, antara cabaran yang harus dilalui adalah memenuhi keinginan anak-anaknya yang kini berusia lima dan tujuh tahun menonton rancangan kegemaran mereka.
"Pada peringkat awal, saya membenarkan mereka menonton rancangan kegemaran di saluran YouTube tapi melihatkan banyak kandungan tidak bertapis, mereka kini hanya dibenarkan melayari YouTube Kids.
"Mungkin selepas ini saya beralih kepada Durioo yang lebih sesuai untuk anak-anak. Bagi memantau penggunaan media sosial, saya pastikan mereka melayari internet menggunakan family link dan mengehadkan dua ke tiga jam sehari sebelum jam 9 malam.
"Saya juga membiasakan anak-anak untuk menyelesaikan kerja sekolah, mandi dan solat terlebih dahulu. Pada mulanya memang agak susah nak kawal sebab ada yang tunjuk ‘protes’ tapi kemudiannya ia menjadi rutin,” katanya yang juga seorang guru.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan rakyat Malaysia didapati ketagih media sosial apabila kira-kira 26.8 juta pengguna internet di negara ini menghabiskan masa selama dua jam 47 minit sehari atau lebih 20 jam seminggu bagi melayari platform media sosial.
Dapatan itu adalah hasil laporan tahunan Digital 2023 yang dikeluarkan oleh Meltwater, peneraju global dalam maklumat media dan sosial serta We Are Social bagi Januari 2023.
Pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan, Dr Mohd Shukri Baba, 51, berkata, sebagai bapa kepada empat anak yang meningkat remaja, dia mengakui ia antara cabaran besar yang terpaksa dihadapi.
Bagaimanapun, beliau mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengongkong dan menyekat anak-anak daripada menggunakan media sosial.
"Bagi saya dan isteri, tidak hanya media sosial, kami juga mengehadkan tempoh anak-anak menonton televisyen. Mereka hanya boleh menonton televisyen dan melayari media sosial apabila selesai menyiapkan kerja sekolah atau tugasan yang diberikan di rumah.
"Tapi setiap kali penggunaan, mereka dihadkan kepada dua jam sahaja. Bagaimanapun, ada masanya mereka dibenarkan untuk menggunakan telefon atau komputer riba apabila menyiapkan tugasan sekolah atau universiti,” jelasnya yang mempunyai anak berusia 13 hingga 23 tahun.
Bagi juruteknik swasta, Abdul Rasyid Yusof, 38, anaknya yang berusia tujuh tahun dibenarkan untuk menggunakan media sosial tetapi tetap dipantau.
"Biasanya saya hadkan satu ke dua jam sahaja untuk dia gunakan telefon tetapi ia terhad selepas anak menyiapkan kerja sekolah, makan dan mandi. Tapi selepas jam 9 malam, dia kena berhenti dan bersiap untuk tidur,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca