KERAJAAN Malaysia telah mengumumkan bakal memperoleh tiga buah pesawat tanpa pemandu atau Unmanned Aircraft Systems (UAS) dari firma TAI, Turkiye ketika pameran LIMA 2023 yang baharu selesai minggu lalu.
Sistem dikenali sebagai Anka merupakan sistem UAS ketinggian sederhana jarak jauh yang berkemampuan melaksana misi perisikan, pemantauan, peninjauan, perang elektronik serta operasi tempur.
Perolehan ini sejajar dengan pelan pembangunan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dikenali sebagai CAP55 yang mahukan TUDM mempunyai keupayaan untuk beroperasi dalam semua spektrum peperangan generasi baharu.
Hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Turkiye mungkin dianggap masih baharu. Ia bermula sejak penghujung tahun 2000 apabila tentera darat memesan sejumlah 211 kenderaan perisai berunut jenis ACV300 dalam sepuluh versi pelbagai.
Tidak lama kemudian tentera darat terus memperoleh kenderaan berperisai beroda jenis AV8 yang dibangunkan dengan firma FNSS PARS. Sebanyak 257 buah kenderaan versi sama pelbagai jenis telah mula beroperasi bermula tahun 2014.
Sememangnya Turkiye hari ini adalah sebuah negara yang telah berjaya membangunkan industri ketenteraannya dengan begitu pesat dan efektif.
Perkara ini telah menarik perhatian negara-negara tradisional pengeluar kelengkapan pertahanan yang selama ini memonopoli pasaran antarabangsa.
Dari sudut hubungan strategik peringkat global, ia juga membuatkan beberapa kuasa, terutama Amerika Syarikat (AS) dan Barat merasakan kekuatan industri pertahanan ini mampu menggoncang imbangan sokongan diplomatik di peringkat antarabangsa.
Konflik Ukraine, Libya dan Azerbaijan telah membuka mata banyak negara mengenai keperluan mendapatkan aset pertahanan dari sumbar alternatif.
Penggunaan kelengkapan fizikal, persenjataan dan sistem elektronik moden dan terkini adalah pra-syarat untuk menundukkan musuh di medan perang. Firma-firma pertahanan Turkiye dilihat dapat memenuhi keperluan tersebut.
Selain itu sifat pihak pemerintah yang lebih neutral, tidak berkiblatkan sama ada ke kuasa global Barat atau Timur telah meningkatkan martabat Turkiye, khususnya dalam kalangan negara-negara Islam.
Kedua-dua faktor ini sebenarnya amat kritikal kepada negara seperti Malaysia apabila ia menilai negara sumber peralatan dan kelengkapan pertahanan yang mahu diperoleh.
Faktor hubungan diplomatik memainkan peranan utama kerana kesemua industri berkaitan pertahanan global lazimnya akan diselia dan dikawal ketat oleh pihak pemerintah negara pengeluar, tanpa mengira sama ada firma tersebut milik persendirian atau berkaitan kerajaan.
Salah satu sebab timbul isu berkaitan kesukaran mengekalkan peralatan pertahanan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ialah kegagalan mendapatkan alat ganti dari pengeluar asal.
Ini kerap dikaitkan dengan pelbagai syarat ketat serta sekatan dikenakan oleh kerajaan negara pengeluar.
Antara alasan yang mungkin diguna untuk menyekat ATM dari mendapatkan alat ganti adalah dasar hak asasi manusia yang lemah, buruh paksa, aktiviti pemerdagangan manusia, kemusnahan hutan dan pelbagai lagi.
Ia sebenarnya tiada kaitan pun dengan kemahuan dan kemampuan ATM untuk mempertahankan kedaulatan negara di kala konflik bersenjata.
Apa yang dilihat positif berkaitan hubungan dengan Turkiye dalam kedua-dua aspek industri pertahanan dan hubungan diplomatik ialah pada hari ia berada pada tahap terbaik.
Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan terkini Recep Taib Erdogan sebagai Presiden Turkiye telah membuka lembaran baru.
Hubungan akrab kedua pemimpin boleh digunakan sebagai pemangkin kepada pelbagai perolehan, malah lebih penting lagi pemindahan teknologi kritikal pada sistem, aset dan kelengkapan pertahanan yang amat sukar diperoleh dari AS dan negara-negara Barat.
Berbanding hubungan industri pertahanan, hubungan diplomatik Turkiye dan Malaysia bukanlah satu perkara baharu.
Ia telah pun terjalin sejak tahun 1879 lagi, apabila Sultan Johor, Sultan Abu Bakar Al-Khalil yang melawat Turkiye ketika itu telah dianugerahkan pingat tertinggi Nishan-i-Osmani oleh Sultan Abdul Hamid yang merupakan Khalifah Kerajaan Utmaniah.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca