GIANLUIGI Buffon, legenda penjaga gol Itali selalu diberitakan hanya berperwatakan biasa dengan hanya menaiki kereta kecil ketika pergi latihan.
Akhdiyat Duta Modjo, penyanyi Sheila On 7 sering dilihat makan di warung murah sahaja di Yogjakarta. Mereka orang luar biasa tetapi bersifat biasa.
Tapi, kini kelihatannya ramai orang biasa yang merasa luar biasa. Dalam bahasa lainnya, narsisisme. Ia sifat manusia yang cenderung mempromosi diri, merasa bagus dan suka dipuja.
Membeli tiket Coldplay atau dapat hadiah kereta daripada suami pun dijadikan bahan tular.
Dalam mitos Greek purba, ada satu kisah tentang Narcissus, seorang remaja lelaki yang jatuh cinta dengan diri sendiri tatkala melihat bayangnya di sebuah anak sungai. Akhirnya disumpah dewa yang dia tak boleh dicintai sesiapa.
Cerita Narcissus ini mungkin kisah dongeng dewa zaman purba. Tapi, dunia hari ini tak sedikit orang yang kagum dengan diri sendiri.
Merasa bagus jika tak menyusahkan mungkin tak mengapa.
Banyak kajian tunjukkan yang mereka yang mempunyai sifat narsisisme ini juga cenderung untuk memiliki juga personaliti Machievelli. Mereka suka mengawal dan membuli orang.
Sekiranya menjadi ketua, mereka merasa mereka sahajalah yang betul. Orang lain mungkin semuanya tak sebagus mereka.
Ada pula yang merasa pakar semua perkara. Semua bidang seperti diketahuinya juga. Untuk menjadi visible, mereka menjadi ahli untuk semua perkara.
Ada pula narsisisme ini yang hanya untuk keuntungan diri sahaja. Satu kajian oleh penyelidik daripada University of Southern California, Amerika Syarikat (AS) yang terbit tahun 2006 menunjukkan kelompok selebriti lebih menonjol dengan sifat narsisisme ini.
Tak begitu menghairankan jika artis suka begitu. Itu cara mereka mencari makan. Sekurang-kurangnya ia tak menyusahkan sesiapa.
Banyak kerja lain seperti ahli politik juga begitu. Mereka perlu tonjolkan kekaguman diri kerana itulah yang menjadikan mereka unik.
Walaupun narsisisme bukanlah penyakit, tapi dalam keadaan serius ia boleh tergolong sebagai satu bentuk kecelaruan psikologi.
Ia mengubah hidup menjadi hamba kepada pujian manusia. Ada pula yang hidup dalam resah jika merasa diri teruk.
Untuk itu, ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli barang mahal bagi menunjuk mewah. Ada pula yang perlu menunjuk bijaksana dan tahu semua, sedangkan hakikatnya mungkin berbeza.
Ia tambah teruk dalam dunia ketika media sosial yang membuka ruang untuk promosi diri ini. Tak cukup dengan Facebook, Instagram atau Youtube, kini orang sibuk pula dengan TikTok.
Semua hal indah mengenai diri sendiri hendak diberitahu kepada umum. Lebih teruk, kerana ingin menunjuk baik, buruk orang diheret sama.
Kajian yang agak baharu pada tahun 2017 oleh penyelidik daripada University of Southern Mississippi di AS tunjukkan individu narsisistik ini lebih kerap memuat naik selfie atau melakukan update status yang terkait dengan imej diri, majlis sosial atau tempat yang dilawati. Ia tak salah jika kena pada tempatnya.
Tapi rasa keterlaluan mempromosi diri memberi risiko lain, termasuk kemurungan, rasa sombong, bahkan ada juga kajian tunjukkan cenderung membunuh diri.
Bayangkan jika tidak ada yang memberi like atau memberi reaksi positif terhadap posting tadi. Atau mereka ini dikecam teruk oleh pembaca.
Kini, dengan telefon pintar, semua orang boleh melakukan akses ke media sosial. Semua orang boleh menunjuk kehebatan yang dimuatkan dengan macam-macam cara.
Sebab narsisistik ini sifatnya selalu bersaing, bayangkan betapa ramai pula yang lain ingin menunjuk hebat diri masing-masing. Akhirnya manusia tak lagi hidup dalam realiti. Manusia merasa indah bila dipuja.
Kita semua mungkin perlu kembali kepada realiti. Jika perlu, tak perlu diheboh semua perkara di media sosial. Banyak lagi manusia hebat di luar sana. Takut kita juga disumpah dibenci semua.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca