BERDASARKAN tinjauan Global Burden of Disease Study 2019, purata jangka sihat bagi rakyat Malaysia adalah 9.3 tahun.
Perkiraan ini berdasarkan purata jangka hayat penduduk kita (75 tahun) berbanding purata jangka sihat yang hanya 65.7 tahun.
Maksudnya, secara purata selepas 65.7 tahun rakyat Malaysia mengalami pelbagai masalah kesihatan sehinggalah akhir hayatnya pada usia 75 tahun.
Cuba lihat perbandingan dengan negara lain. Amerika Syarikat (AS) misalnya, mencatatkan purata jangka sihat 13.5 tahun, yang tertinggi berdasarkan 27 buah negara yang dikaji.
Singapura mencatatkan 10.4 tahun sementara Vietnam dan Pakistan hanya 8.7 tahun, yang terendah dicatatkan.
Pada dasarnya, secara global terlihat peningkatan jangka sihat. Pada tahun 1990 angkanya adalah 8.5 tahun tetapi pada tahun 2019 meningkat pada 9.8 tahun.
Peningkatan global 15 peratus dalam masa hampir tiga dekad itu berpunca dari aspek kemajuan teknologi perubatan, gaya hidup dan pemakanan.
Dalam konteks ini, Malaysia (9.3 tahun) berada di bawah paras purata global (9.8 tahun). Malah, Malaysia mencatatkan sekadar penambahan 4.3 peratus dalam masa 29 tahun itu.
Pada masa sama, Korea Selatan mencacatkan penambahan 21.1 peratus dan Singapura 16.5 peratus. Filipina mencatatkan penambahan paling rendah antara negara-negara Asean, hanya 0.9 peratus.
Dalam tulisan saya dalam akhbar ini pada 11 Mei 2023 yang bertajuk, Mengapa Warga Emas Perlu Bekerja saya menyebut bahawa menjelang 2030 mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan melampaui 15 peratus penduduk. Ini bermakna bagi setiap 10 juta penduduk, 1.5 juta orang dikategorikan sebagai warga emas.
Dengan jumlah 3.5 juta warga emas hari ini pun, kerajaan, masyarakat dan keluarga sudah mulai merasakan beban penjagaan dan kos perubatan yang tinggi.
Lebih buruk lagi jikalau jangka sihat penduduk semakin pendek. Secara mudahnya walaupun usia seseorang semakin panjang tetapi kesihatannya tidak baik.
Pada tahun 2011, Jabatan Statistik Malaysia mendedahkan, purata jangka hayat rakyat Malaysia adalah 74.5 tahun. Jadi, peningkatan angka terbaharu jangka hayat kita yakni 75 tahun sebenarnya amat marginal.
Pada tahun 2011 itu, jangka hayat lelaki adalah 70 tahun dan wanita 71.9 tahun.
Berdasarkan angka tahun 2000 hingga 2011, terdapat peningkatan jangka hayat 5.1 tahun bagi wanita tetapi bagi lelaki hampir tidak ada perubahan.
Lebih menarik, purata jangka hayat tertinggi adalah wanita Cina, (79.8 tahun) diikuti oleh wanita India (76.2 tahun) dan wanita Melayu (75.3 tahun). Bagi lelaki, kaum Cina hidup lebih lama (74.4 tahun) diikuti oleh lelaki Melayu (70.5 tahun) dan India (68 tahun).
Kita harus menerima hakikat tidak semua warga emas tidak sihat. Ada kalanya faktor persekitaran dan tempat tinggal memainkan peranan.
Kaum Abkhasia yang tinggal di Laut Hitam yang bersempadan Rusia dan Georgia punya purata hayat 90 tahun. Di wilayah Vilcabamba di pergunungan Andes di Ecuador begitu juga keadaannya.
Kaum Hunza di kawasan pergunungan di utara Pakistan dan penduduk Pulau Okinawa juga punya jangka hayat yang panjang. Pada waktu yang sama mereka sihat hingga ke akhir hayat.
Ada sebuah buku menarik tulisan John Robbins, Healthy at 100: How You Can – At Any Age – Dramatically Increase your Life Span and Your Heath Span. Buku ini menghuraikan bagaimana pentingnya kesihatan pada usia tua.
Peningkatan jangka hayat sahaja tidak mencukupi tetapi yang lebih penting adalah jangka sihat. Tidak ada gunanya hidup panjang tetapi menderita dengan gangguan pelbagai penyakit pada hujung hayat.
Salah satu kenyataan penting buku ini adalah dalam dunia moden hari ini ialah peningkatan usia tidak selalunya disokong oleh tahap kesihatan yang panjang. Perubatan moden sebenarnya tidak dapat membantu mempromosikan proses penuaan yang sihat.
Penulis buku itu menekankan ada tiga aspek penting dalam memastikan penuaan yang sihat – pemakanan yang baik, gaya hidup yang betul dan riadah secukupnya.
Usia bukan halangan untuk bekerja atau beriadah atau untuk terus aktif dalam masyarakat.
‘Orang besi’ kita, Adnan Osman berusia 68 tahun sewaktu beliau berbasikal ke London untuk menyertai Olimpik 2012. Beliau sebelum itu telah mendaki Gunung Tahan 15 kali, Gunung Kinabalu tiga kali dan terbabit dalam 15 maraton.
Tan Sri Khalid Yunus sudah tentu akan menjadi salah seorang pendaki paling tua menjejak puncak Everest pada tahun 2007 apabila beliau terpaksa berundur pada ketinggian 7,200 meter. Waktu itu usianya 64 tahun.
Apakah pengajaran daripada kisah ini? Tentunya, untuk memastikan bukan sahaja kita menambah jangka hayat rakyat Malaysia tetapi juga menjamin kesihatan warga emas.
Saya percaya ada keperluan bagi semua kementerian untuk memastikan ada pelan masa depan bagi menangani isu penuaan rakyat negara ini.
Kita mahukan warga emas yang sihat dan tidak menjadi beban pada negara, masyarakat dan keluarga. Kos penjagaan orang tua bukan murah.
Beban yang harus ditanggung oleh keluarga misalnya bukan kecil. Maka, warga emas sendiri harus mengambil inisiatif memastikan mereka menjalani hidup sihat dan kekal sihat sampai penghujung hayat. Insya-ALLAH.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau akan mencecah usia 70 tahun bulan November ini. Beliau masih aktif meredah belantara dan mendaki bukit dan gunung di seluruh dunia.
Klik di sini untuk terus membaca