"ADA lagikah orang baca buku zaman sekarang ni, bos?”
"Syarikat-syarikat sedia ada pun tutup lepas satu, satu, awak pula nak mengadu untung? Berniaga oden saja Datuk, dah tentu untung. Kalau tidak pun jual dorayaki atau takoyaki. Orang kita asalkan makanan baka import berbaris tengah hujan pun mereka sanggup.”
Itu hanyalah sebahagian kata-kata yang pernah diucapkan kepada saya. Kalau dihimpunkan cukup untuk dijadikan sebuah buku kecil.
Dan jika setiap kali mendengar kata-kata itu saya menangis, air mata saya yang terhimpun mungkin sudah beberapa baldi.
Saya percaya ramai rakan yang terjun ke dunia penerbitan buku dalam tempoh sedekad kebelakangan ini pernah melalui perkara yang sama.
Mendengar kata sinis atau nasihat-nasihat tidak positif daripada kalangan handai taulan dan/atau kawan rakan yang sebenarnya mempedulikan kita. Yang takut kita terjun ke bidang yang salah pada masa yang salah.
Jangan berkecil hati. Mereka bercakap berdasarkan realiti semasa.
Mohon fahamkan bahawa yang saya maksudkan di sini adalah penerbitan buku-buku fizikal. Buku yang boleh dipegang. Boleh dibelek.
Boleh menyebabkan kita kelihatan macam bijak pandai jika disusun penuh rak di ruang tamu. Boleh berhabuk jika dibiar. Boleh kembang kertasnya jika terkena air. Boleh dimakan oleh anai-anai.
Boleh menyebabkan pembeli surat khabar lama berulang-alik dengan air liur menitik-nitik jika dilonggokkan di depan rumah.
Dunia perbukuan telah melepasi zaman gemilangnya. Ia kini berada pada posisi menuruni bukit. Kayuhan menurunnya juga agak laju.
Sudah jarang kedengaran ini sesebuah judul buku di negara ini dicetak berpuluh ribu naskhah. Yang selalu didengar adalah ‘cetak seribu naskhah pun payah nak habis’.
Banyak faktor yang menjadi penyebab. Paling utama tentulah kehadiran buku elektronik atau buku digital, yang memberi kesan besar bukan sahaja terhadap budaya membaca, tetapi juga dunia penerbitan buku.
Turut menyumbang adalah perubahan gaya hidup. Kepesatan teknologi telah menyebabkan kemunculan pelbagai medium baharu yang menjadikan kehidupan manusia lebih sibuk.
Pada masa dahulu orang yang tidak rajin membaca sekalipun sering mengisi masa dengan membelek-belek buku atau majalah, sekarang ini orang yang rajin membaca pun belum tentu akan berbuat demikian. Mereka sibuk dengan seribu satu urusan lain yang pangkalannya adalah gajet di tangan.
Ekonomi juga satu perkara. Kemajuan hidup menjadikan keperluan semakin bertambah sedangkan pendapatan pula mungkin berkurang; kalau bukan dari segi jumlah, mungkin dari segi nilainya. Maka jangan hairan jika ada orang yang terpaksa membatalkan niat membeli buku yang sedang dibelek-belek kerana tiba-tiba teringat terpaksa membeli ‘top up’ untuk talian pra bayarnya.
Atas semua faktor itulah maka ramai yang hairan apabila ada orang macam saya yang berani mengambil risiko untuk terjun ke dunia penerbitan buku. Bagi kalangan yang memahami industri ini, sikap mereka malah lebih skeptikal.
Daripada masalah di peringkat produksi sehingga ke kerenah pengedar, perangai peruncit, helah pencetak, perlumbaan untuk merebut pasaran, politiking dalam tender-tender kerajaan, semuanya cabaran besar penerbit.
Tetapi kalau semua orang takut bermain ombak, siapakah lagi yang akan berumah di tepi pantai? Pada saya rumah-rumah di tepi pantai itu juga perlu kerana selain mengindahkan lagi pemandangan, ia juga memberi nilai tambah pada pantai tersebut.
Setidak-tidaknya untuk meyakinkan umum bahawa pantai itu selamat dan ombaknya tidaklah seganas yang digembar-gemburkan.
Industri penerbitan buku perlu dibaja supaya kembali subur. Buku-buku pula sebagai sumber ilmu tidak harus diletakkan pada kelas yang sama dengan daun kucai di atas mi, kalau suka dimakan, tak suka dikuis. Martabatnya perlu diangkat sehingga ia mampu menjadi pesaing yang sihat kepada semua peranti dan perisian-perisiannya.
Di sinilah saya berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan. Memang benar, selama ini telah banyak bantuan dan sokongan yang diberi. Tetapi tidak ada ruginya menilai semula bentuk bantuan dan sokongan itu.
Skim-skim yang boleh membantu pemain perlu disemarakkan semula. Contohnya baucar buku RM100 yang pernah ada suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan skim pembelian terus daripada pengarang.
Banyak lagi yang boleh dibuat kalau kita mahu. Dan ketiadaan dana harus menjadi sebab paling akhir untuk mengelak daripada melakukannya. Lagipun duit kalau berbaki jangan disimpan. Kata Keynes, duit hanya bernilai jika dibelanjakan. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca