SHAH ALAM - Malaysia perlu berwaspada dengan risiko krisis makanan seperti yang dihadapi rakyat di Eropah sekiranya berlaku perubahan harga petroleum global akibat kemelut berterusan yang melanda Ukraine dan Rusia.
Pensyarah Kanan, Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM), Nur Ameera A Jaz, berkata, sebarang perubahan harga petroleum global boleh memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
Menurutnya, peningkatan kos tersebut berpotensi mengganggu bekalan makanan dalam negara dan meningkatkan risiko keterjaminan makanan di Malaysia.
"Namun begitu, pada masa ini Malaysia tidak perlu berasa bimbang kerana harga komoditi di pasaran adalah masih di tahap terkawal.
"Dengan kemelesetan Ringgit Malaysia yang dihadapi sekarang, harga komoditi import makanan yang tinggi akan mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran makanan. Ini sekali gus akan mengakibatkan inflasi makanan dan akan memberi kesan yang buruk terhadap golongan berpendapatan rendah di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada Malaysia perlu bimbang dengan krisis makanan yang sedang berlaku di Eropah Timur dikatakan sehingga menyebabkan kuasa beli rakyatnya terjejas mendadak.
Nur Ameera menjelaskan, kebergantungan yang tinggi negara Eropah terhadap gas asli Rusia telah memberi kesan yang buruk terhadap sektor pertanian di negara itu akibat ketidakstabilan dalam pasaran tenaga.
Katanya, krisis politik tersebut telah memberi kesan di negara itu dengan peningkatan harga input pertanian termasuk baja dan tenaga, yang pada akhirnya akan meningkatkan kos pengeluaran makanan.
"Pada masa ini, Eropah sedang mengalami kos kenaikan harga makanan sebanyak 15.4 peratus.
"Walaupun harga tenaga telah menurun dan agak stabil, tapi kelihatan prospek ini masih tidak bagus kerana isu Ukraine dan Rusia yang masih belum terlerai dan ini akan menyebabkan ketidaktentuan pasaran di masa hadapan,” jelas beliau.
Ikut panduan Rice Check, perbaiki keadaan tanah bagi tingkatkan hasil padi
Sementara itu, pesawah di Malaysia perlu mengikuti panduan Rice Check dan memperbaiki keadaan tanah jika berhasrat untuk mencapai hasil sehingga 10 tan padi bagi sehektar setiap musim.
Pakar kesuburan dan pengurusan tanah dari Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, garis panduan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian itu dapat membantu pesawah menguruskan tanaman padi mengikut sasaran yang ditetapkan.
Menurutnya, jika amalan pertanian baik itu diikuti, Malaysia mampu meningkatkan hasil sehingga memenuhi 90 peratus keperluan negara, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan import padi.
"Sebenarnya, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai kerana memang ada pesawah yang berjaya melakukannya.
"Ada dua faktor yang perlu diberi perhatian iaitu mengikuti panduan Rice Check dan bagi tanah yang dikenal pasti bermasalah, kita kena tambahkan lagi input pertanian bagi memperbaiki keadaannya.
"Garis panduan ini memang lengkap dan jadual apa yang pesawah kena buat, hari apa perlu tabur benih, baja dan sebagainya. Kalau pesawah ikut betul-betul panduan itu, saya percaya hasil padi boleh ditingkatkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang memberitahu pada masa ini purata pengeluaran padi semasa hanya lima tan sehektar semusim.
Menurut Muhammad Firdaus, walaupun pengeluaran padi masih rendah, pesawah tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ada yang berdepan dengan masalah keadaan tanah yang teruk.
"Ada kawasan yang memerlukan lebih banyak input pertanian, terutama sekali pengapuran untuk memperbaiki keasidan tanah.
"Selain itu, saya melihat amalan kerajaan dalam pemberian subsidi ini adalah secara kadar yang sama, sedangkan kita perlu sesuaikan ikut keadaan setempat. Kalau kawasan itu tanahnya sudah subur, tidak perlu lagi dapat subsidi baja sebanyak itu,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca