KIEV - Pasukan tentera Ukraine bersiap sedia melancarkan kempen serangan balas ke atas musuh yang digembar-gemburkan sejak beberapa bulan lalu.
Amaran itu diberikan Ketua Majlis Keselamatan dan Pertahanan Negara, Aleksey Danilov pada akhir minggu lalu setelah khabar angin mula tersebar tentang operasi untuk menggempur tentera Rusia yang melancarkan pencerobohan sejak Februari 2022.
"Kami sedang menunggu masa yang sesuai. Ia boleh berlaku esok, lusa atau dalam tempoh seminggu lagi,” katanya ketika menjawab soalan tentang jangka masa serangan balas tersebut akan bermula berikutan ia terus diperkatakan Kiev sejak akhir-akhir ini.
Pada mulanya, operasi berskala besar itu dijadualkan pada musim bunga atau akhir musim sejuk.
Tetapi, Ukraine berulang kali menangguhkannya atas alasan faktor cuaca selain masih menunggu bekalan senjata yang disumbangkan sekutu Barat.
Menurut Danilov, ia adalah sesuatu yang pelik jika beliau sewenang-wenangnya mendedahkan tarikh sebenar operasi serangan balas itu.
Beliau menyifatkan serangan terancang itu sebagai 'peluang bersejarah' yang tidak boleh diambil mudah oleh Ukraine jika ia mahu menjadi negara besar Eropah.
"Kami faham bahawa kami tidak boleh lakukan apa-apa kesilapan untuk mencapai objektif utama,” ujarnya.
Ketika wawancara bersama BBC, Danilov turut menerima mesej dihantar Presiden Volodymyr Zelenskyy yang meminta beliau hadir untuk membincangkan operasi serangan balas tersebut.
Beliau juga mengesahkan beberapa anggota pasukan tentera upahan Wagner telah mula berundur dari bandar Bakhmut yang menjadi medan pertempuran utama ketika ini.
"Bakhmut adalah wilayah Ukraine dan kami mesti pertahankannya. Bandar itu memainkan peranan yang penting dalam peperangan ini,” jelasnya.
Pada bulan lalu, The New York Times melaporkan negara sekutu Barat mungkin mula memberi tekanan kepada Kiev untuk berunding dengan Moscow jika kempen serangan balas itu gagal meraih sebarang keuntungan yang besar.
Respons berbeza Kiev
Ukraine bagaimanapun memberikan respons berbeza tentang operasi itu.
Pada minggu lalu, pembantu Presiden Ukraine, Mikhail Podoliak mendakwa kempen itu telah bermula selama beberapa hari ketika Rusia semakin memperhebatkan serangan mereka.
Beberapa hari kemudian, seorang lagi pembantu Presiden, Igor Zhovkva pula menafikan perkara itu apabila menyatakan tentera Ukraine sedang membuat persediaan untuk menjayakan operasi penting tersebut.
Danilov juga menafikan kempen itu telah bermula berikutan serangan ke atas pusat kawalan dan peralatan ketenteraan milik tentera Rusia hanyalah operasi rutin.
Ketika khabar angin tentang pelan operasi itu mula tersebar, Rusia dilaporkan turut bersiap siaga untuk mengukuhkan lagi pertahanan mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Galuzin ketika wawancara bersama TASS meletakkan syarat untuk menghentikan konflik yang telah berlarutan selama lebih setahun itu.
"Kiev perlu melupakan hasrat mereka untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), menjamin hak minoriti dan mengisytiharkan bahasa Rusia sebagai bahasa pertuturan negara.
Selain itu, Galuzin juga menggesa Ukraine mengiktiraf empat wilayah yang kini menyertai Moscow setelah referendum pada musim luruh 2022 dan Semenanjung Crimea yang diilhak pada 2014.
Menerusi kenyataan pada awal bulan lalu, Danilov pernah menegaskan rundingan damai tidak akan diadakan jika mengikut syarat Rusia dan pendirian 'keras kepala' kedua-dua belah pihak itu sememangnya menjadi petanda konflik itu tidak akan berkesudahan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca