SHAH ALAM - Pakar kriminologi menjelaskan lima langkah yang boleh dilakukan oleh penguat kuasa untuk mengatasi masalah kartel melibatkan ugutan serta ancaman bunuh kepada pihak berkenaan. Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar kriminologi menjelaskan lima langkah yang boleh dilakukan oleh penguat kuasa untuk mengatasi masalah kartel melibatkan ugutan serta ancaman bunuh kepada pihak berkenaan.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin, cara pertama yang boleh dilakukan adalah melalui penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.

"Kerajaan perlu memastikan undang-undang berkaitan dengan kartel dan kegiatan haram yang lain adalah tegas dan mempunyai hukuman sesuai.

"Penguatkuasaan undang-undang ini harus dilakukan dengan teliti dan secara konsisten untuk menunjukkan bahawa tindakan terhadap kartel tidak ada toleransi,” katanya.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui kerajaan melalui pasukan penguatkuasaan sering berdepan dengan ugutan dan ancaman bunuh daripada pihak-pihak tertentu sepanjang melakukan pemantauan aktiviti-aktiviti penyeludupan minyak masak daripada kartel-kartel di negara ini.

Sementara itu, Zalmizy berkata, sistem keadilan jenayah juga perlu diperkuatkan untuk memastikan bahawa anggota kartel yang memberi ugutan dan ancaman bunuh dikenakan tindakan tegas.

Menurut Zalmizy, ia termasuk penyiasatan menyeluruh, pengumpulan bukti yang kuat dan pengadilan adil untuk memastikan bahawa pihak bersalah dihukum dengan sewajarnya.

Pada masa sama, Zalmizy menegaskan bahawa langkah membanteras isu berkenaan boleh dibuat dengan memberi perlindungan kepada penguat kuasa undang-undang menerusi latihan keselamatan dan keamanan yang lebih baik, pengawalan serta perlindungan identiti.

Katanya, kerjasama antara pihak berkuasa seperti polis, kastam dan badan pengawasan ekonomi juga diperlukan.

"Pertukaran maklumat yang efektif, koordinasi strategi dan kolaborasi dalam penyiasatan akan dapat membantu membongkarkan rangkaian kartel.

"Kaedah yang terakhir adalah kita perlu meningkatkan kesedaran awam mengenai dampak negatif kartel dan kegiatan haram,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca