SHAH ALAM - Nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin merosot kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada faktor penurunan harga minyak mentah global dan jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju, bulan hadapan. Ahli Ekonomi Pusat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin merosot kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada faktor penurunan harga minyak mentah global dan jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju, bulan hadapan.

Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, ringgit mengalami tekanan susut nilai apabila pelabur memindahkan dana mereka untuk memanfaatkan perbezaan kadar faedah yang lebih baik.

"Kadar faedah yang lebih tinggi di negara maju boleh menjadikan mata wang mereka lebih menarik kepada pelabur yang mencari pulangan lebih tinggi. Ini boleh membawa kepada aliran keluar modal daripada pasaran di negara membangun seperti Malaysia.

"Selain itu, penurunan harga minyak mentah menyebabkan hasil eksport Malaysia menurun daripada minyak yang dapat menjejaskan imbangan perdagangan negara. Ini dapat mengakibatkan penurunan dalam aliran masuk pertukaran asing yang berpotensi memberi tekanan kepada ringgit,” katanya.

Beliau berkata, penurunan nilai ringgit boleh menyebabkan kos import lebih tinggi dan mungkin menjejaskan perniagaan serta pengguna yang bergantung kepada barang import.

"Perlu diingatkan bahawa Malaysia sering mengimport barangan agromakanan seperti gandum dari luar yang mana penurunan ringgit ini akan mengakibatkan peningkatan kos barang makanan.

"Ini boleh membawa kepada kadar inflasi yang lebih tinggi, menjejaskan kuasa beli individu dan berpotensi menjejaskan taraf hidup rakyat,” jelasnya.

Jika dibandingkan dengan Dolar Singapura (SGD), Muhamad Zharif berkata, nilai mata wang negara jiran itu lebih ‘berdaya tahan’ berbanding ringgit disebabkan republik tersebut mempunyai pendekatan berbeza dalam dasar kadar faedah.

"Singapura menggunakan kaedah kadar dasar faedah yang bergantung kepada pasaran dan amat berhubung kait dengan kadar faedah Amerika Syarikat (AS). Ini mengakibatkan kurangnya tekanan sekiranya dolar AS mengukuh.

"Walau bagaimanapun, ringgit yang lebih lemah boleh memberi manfaat kepada pengeksport barangan dan perkhidmatan. Apabila ringgit susut nilai, ia menjadikan barangan Malaysia agak murah untuk pembeli dari negara asing.

"Ini berpotensi meningkatkan daya saing eksport Malaysia di pasaran antarabangsa dan meningkatkan jumlah eksport,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi negara, Muhamad Zharif berpandangan, ringgit yang lebih lemah boleh memberi kesan kepada inflasi, kos import dan imbangan perdagangan.

"Dalam hal sedemikian, adalah penting bagi kerajaan berpotensi menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi untuk mengambil kira keadaan yang berubah dan menyesuaikan tindak balas dasar dengan sewajarnya.

"Pendekatan yang komprehensif dari pelbagai aspek dengan mengambil kira gabungan langkah monetari, fiskal dan struktur selalunya diperlukan untuk menangani susut nilai mata wang dengan berkesan.

"Kestabilan mata wang negara dipengaruhi oleh pelbagai faktor domestik dan global.

"Keberkesanan langkah-langkah ini mungkin berbeza-beza bergantung pada keadaan khusus dan punca asas kemerosotan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Dr Shankaran Nambiar berpandangan, tekanan mata wang AS yang tidak menentu akan menyumbang kepada pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit.

"Dengan kenaikan kadar faedah dan tekanan berikutan hasil perbincangan siling hutang AS baru-baru ini, terdapat banyak tanda tanya yang telah tercetus. Pelabur ingin mencari mata wang yang selamat dan RM bukan salah satu daripadanya.

"Ini telah membawa kepada pengaliran keluar dana dari Malaysia. Di samping itu, China pula tidak menunjukkan prestasi yang baik dari segi ekonomi sebagai rakan dagang utama negara.

"Nilai Yuan telah jatuh berbanding dolar AS sejak awal Mei lalu dan ia memberi kesan yang tidak baik kepada Malaysia secara tidak langsung,” katanya.

Subsidi

Beliau turut menjangkakan nilai ringgit akan terus jatuh dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

"Masalah siling hutang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan mudah. Kadar faedah mungkin akan meningkat pada bulan September. Oleh demikian, ringgit mungkin melalui fasa naik turun yang tidak menentu dalam suatu jangka masa yang panjang.

"Apabila nilai ringgit semakin lemah, kos bahan api akan meningkat dan kerajaan mungkin perlu membayar lebih untuk mengekalkan subsidi. Kos import juga akan bertambah yang mana kita perlu membayar lebih untuk barangan makanan seperti daging dan sayur-sayuran.

"Jika isu ini berterusan, kadar inflasi akan meningkat. Justeru, kerajaan perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini,” katanya.

Nilai ringgit berbanding mata wang serantau dalam tempoh satu minggu:

22 Mei 2023:

1 dolar Amerika Syarikat (AS$) = RM4.53

1 dolar Singapura (SG$) = RM3.38

3,277.59 Rupiah Indonesia (IDR) = RM1

7.57 Baht Thailand (THB) = RM1

23 Mei 2023:

AS$1 = RM4.57

SG$1 = RM3.39

IDR3256.24 = RM1

THB7.5623 = RM1

24 Mei 2023

AS$1 = RM4.57

SG$1 = RM3.40

IDR3247.98 = RM1

THB7.5479 = RM1

25 Mei 2023

AS$1 = RM4.62

SG$1 = RM3.40

IDR3245.13 = RM1

THB7.5077 = RM1

26 Mei 2023:

AS$1 = RM4.62

SG$1 = RM3.41

IDR3228.40 = RM1

THB7.5579 = RM1

29 Mei 2023

AS$1 = RM4.60

SG$1 = RM3.40

IDR3247.99 = RM1

THB7.5397 = RM1

30 Mei 2023:

AS$1 = RM4.60

SG$1 = RM3.40

IDR3244.53 = RM1

THB7.52142 = RM1

Klik di sini untuk terus membaca