SHAH ALAM - Pakar ekonomi dan kewangan mengesyorkan beberapa langkah drastik yang boleh diambil kerajaan dalam menangani isu kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, langkah paling penting... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi dan kewangan mengesyorkan beberapa langkah drastik yang boleh diambil kerajaan dalam menangani isu kejatuhan nilai ringgit Malaysia.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, langkah paling penting untuk dilakukan ketika ini adalah mengukuhkan kestabilan politik negara.

Menurut beliau, melalui kestabilan politik, pelabur yakin bahawa tiada perubahan dalam polisi kerajaan disebabkan pertukaran kerajaan sekali gus membantu mereka membuat perancangan dan bajet.

"Kemasukan pelabur bukan sahaja membawa masuk teknologi dan perniagaan bahkan membantu meningkatkan nilai mata wang kerana permintaan terhadap ringgit akan terus meningkat serta merangsang peluang pekerjaan.

"Saya berpandangan kestabilan politik mampu menyelamatkan ringgit daripada terus merudum.

"Ini kerana kestabilan politik boleh mempengaruhi faktor-faktor lain yang berkaitan dengan kestabilan mata wang negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jelasnya, dengan cara itu ia berupaya merangsang permintaan ringgit yang akhirnya menguatkan kembali mata wang negara.

"Sebagai contoh, penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) merupakan satu platform terbaik untuk kerajaan menarik pelabur datang ke Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, langkah berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan kadar inflasi supaya berada di paras bawah 3 peratus juga mampu mengembalikan nilai ringgit.

Jelas beliau, ini kerana inflasi yang tinggi menjadikan ringgit lemah disebabkan nilai sebenar telah jatuh melalui peningkatan harga barangan.

Tambah Mohd Faisol, langkah lain adalah kerajaan perlu mengawal ketat pengaliran wang ringgit ke luar negara melalui pekerja asing kerana ia turut mempengaruhi nilai tersebut.

"Pekerja asing seperti dari Bangladesh atau Indonesia yang bekerja di Malaysia akan menghantar wang gaji mereka kepada keluarga di negara masing-masing melalui perbankan.

"Akibatnya wang yang beredar di pasaran Malaysia akan berkurang yang akhirnya jika tidak dikawal, mungkin kerajaan perlu mencetak wang bagi mengekalkan penawaran wang dalam pasaran,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu kuasa membeli dalam kalangan pengguna juga akan semakin mengecil disebabkan harga barangan menjadi mahal kerana kos untuk mengeluarkan sesuatu produk telah meningkat akibat nilai ringgit yang lemah.

Sementara itu, pakar ekonomi, Dr Oh Ei Sun berpendapat, bagi jangka masa pendek kerajaan perlu membeli lebih banyak dolar Amerika Syarikat (AS) di pasaran terbuka.

Bagaimanapun katanya, ia agak sukar dilakukan memandangkan kerajaan tiada hasil yang mencukupi.

"Biasanya, untuk menaikkan nilai mata wang, BNM akan membeli dolar AS dalam pasaran terbuka dengan mata wang tempatan.

"Ini supaya terdapat lebih banyak dolar AS dalam pegangan negara dan mata wang tempatan dalam edaran terbuka berkurang. Dengan cara itu nilai mata wang tempatan boleh ditingkatkan berbanding dolar AS,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi jangka masa panjang pula, persekitaran pelaburan negara harus diperbaiki bagi membolehkan lebih banyak pelabur asing membawa masuk dolar AS.

"Kerajaan boleh belajar daripada Vietnam, iaitu bagaimana mereka kebelakangan ini boleh menarik begitu banyak pelaburan asing yang meningkatkan pegangan dolar AS mereka,” katanya.

‘Kejatuhan nilai ringgit bawa lebih banyak keburukan’

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa kejatuhan nilai ringgit adalah baik untuk negara.Jelas Ahli Parlimen Machang itu, meskipun terdapat kebaikan dari segi eksport, namun keburukannya lebih banyak.

"Tidak dapat dinafikan, ia memang baik untuk pihak yang mengeksport barangan kita ke luar negara. Tetapi secara keseluruhan, kejatuhan nilai ringgit ini adalah tidak bagus.

"Ini kerana, kos meminjam jadi meningkat, hendak bayar kembali hutang jadi tinggi. Ekonomi rakyat sudah pasti terkesan apabila ringgit jatuh.

"Kita pula pada masa yang sama import banyak barangan makanan dan kosnya akan ditanggung oleh kita juga,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Rafizi baru-baru ini menyatakan kejatuhan nilai ringgit membawa kebaikan kepada ekonomi negara seperti peningkatan keuntungan sektor minyak yang mana penetapan harga komoditi itu adalah dalam dolar Amerika Syarikat.

Ujar Rafizi, ia turut membantu meningkatkan sektor eksport negara.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mencabar Rafizi untuk mengemukakan data isi rumah atau syarikat di Malaysia yang menunjukkan perkembangan positif hasil daripada kejatuhan nilai ringgit.

Info

Nilai ringgit terendah mengikut tahun berbanding mata wang asing

Tahun AS$1 S$1 1 pound 1 euro 1 riyal

(AS) (Singapura) (Britain) (EU) (Arab Saudi)

2013 RM3.32 RM2.60 RM5.41 RM4.51 RM0.88

2014 3.49 2.65 5.49 4.55 0.89

2015 4.41 3.10 6.73 4.98 1.18

2016 4.47 3.18 6.42 4.75 1.19

2017 4.45 3.18 5.69 5.10 1.18

2018 4.19 3.05 5.50 4.87 1.11

2019 4.20 3.07 5.51 4.71 1.12

2020 4.43 3.08 5.56 4.99 1.18

2021 4.23 3.12 5.91 5.06 1.13

2022 4.74 3.38 5.72 4.79 1.26

2023 4.62 3.40 5.70 4.93 1.23

Sumber: www.xe.com

Klik di sini untuk terus membaca