TERDAPAT sebuah parti yang ajaib di Malaysia. Namanya DAP. Ajaib kerana DAP tidak terlalu banyak berubah, tetapi penilaian terhadapnya berubah mendadak sekali di mata parti lain, bergantung sama ada mereka kawan atau lawan parti ini. Bila... Klik di sini untuk terus membaca

TERDAPAT sebuah parti yang ajaib di Malaysia. Namanya DAP. Ajaib kerana DAP tidak terlalu banyak berubah, tetapi penilaian terhadapnya berubah mendadak sekali di mata parti lain, bergantung sama ada mereka kawan atau lawan parti ini.

Bila Pas berpakat dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, Pas membela DAP daripada serangan UMNO, dan DAP juga membela Pas daripada serangan MCA. Yang membela DAP bukan saja almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, juga Tok Guru Abdul Hadi Awang.

Bila Pas berputus dengan DAP, dan Bersatu menjadi teman karib DAP dalam Pakatan Harapan (PH), maka pemimpin Bersatu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pun membela DAP daripada serangan Pas dan UMNO. Sebagai balasan, pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang yang pernah ditahan oleh Dr Mahathir menyanjung beliau sebagai penyelamat negara.

Terdapat sebuah lagi parti yang ajaib di Malaysia. Namanya UMNO. Ajaib dalam cara yang sama. Sungguhpun UMNO dan pesaing-pesaingnya tidak banyak berubah, tetapi penilaian masing-masing berbeza macam siang dan malam bergantung kepada hubungan mereka.

Daripada tahun 1978 sampai 2014, kebanyakan masanya UMNO dan Pas adalah musuh besar, sampai pernah wujudnya Amanat Hadi yang mengkafirkan ahli UMNO pada tahun 1981. Pada masa sama, UMNO juga banyak dikecam oleh DAP dan PKR sebagai parti yang rasuah dan rasis.

Demi melawan PH yang merangkumi Bersatu, UMNO dan Pas berdamai dari tahun 2018 sampai ke 2020 apabila kedua-dua parti menyertai kerajaan baharu pimpinan Bersatu. Akan tetapi, daripada merealisasikan ‘perpaduan Melayu’, UMNO lawan Bersatu dan juga Pas yang dituduh ‘bermain dalam dua kolam’.

Menuruti tradisi rakan Melayu DAP yang sebelum ini, UMNO juga mula membela DAP di depan pengundi Melayu. Sebagai balasan, DAP juga memuji UMNO di depan pengundi bukan Melayu.

Sebagai pengundi, bagaimana harus kita menilai perubahan tingkahlaku parti-parti ini?

Sang sinis memberitahu kita bahawa parti-parti ini telah membelakangi dan menipu kita (tidak kira yang anda sokong itu UMNO atau DAP), maka harus dihukum dalam PRN nanti.

Mengapa kita dibelakangi bila parti-parti berdamai? Logik sang sinis yang tersembunyi ialah parti-parti seharusnya bermusuhan sampai hari kiamat kerana mereka mewakili kelompok pengundi yang mempunyai kepentingan bertentangan.

Mestikah kita bermusuhan kerana berbeza? Tidakkah kita manusia diajak untuk bermusyuwarah dan berdamai dengan saudara sungguhpun berbeza?

Kita seharusnya melihat pendamaian antara parti – bukan saja antara UMNO dan DAP, tetapi antara Pas dan Bersatu dan sekarang dengan Dr Mahathir – sebagai kemajuan dan kematangan politik kita.

Dalam arena sukan, pesaing-pesaing boleh berpeluk selepas persaingan dan sebelum bertanding semula pada masa depan. Itu kemunafikan atau kematangan?

Kita harus mendorong parti-parti untuk bersaing bersungguh-sungguh dalam pilihan raya dan berdamai selepas pilihan raya, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

Hanya apabila parti-parti yang mewakili kepentingan dan aspirasi yang berlainan boleh berdamai, barulah negara boleh ‘bersih dan stabil (BEST)’.

‘Budimankan’ politik macam sukan.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca