PARIS - Teknologi kecerdasan buatan (AI) berisiko membawa kepada ‘kepupusan manusia’.
Amaran tersebut diberikan sekumpulan pakar dan ketua industri pada Selasa selepas kebimbangan semakin meningkat terhadap kesan teknologi yang semakin berkembang itu pada masa depan setelah masyarakat kini dimomokkan dengan bahaya AI.
Menerusi kenyataan ditandatangani puluhan pakar teknologi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman yang menghasilkan chatbot, ChatGPT, mereka berpendapat usaha menangani risiko AI wajar menjadi keutamaan global di samping isu lain seperti pandemik dan perang nuklear.
ChatGPT meraih tumpuan umum sejak akhir tahun lalu atas keupayaannya untuk melakukan ‘tugasan’ seperti menghasilkan esei hingga ada yang menyalahgunakan teknologi itu yang dikhuatiri akan menyebabkan manusia menjadi semakin malas.
Kejayaan program itu mencetuskan ledakan pelaburan untuk bidang tersebut mencecah berbilion dolar.
Antara perkara paling dikhuatiri adalah kemungkinan chatbot akan membanjiri laman web dengan maklumat tidak tepat atau automasi dikuasakan AI yang berpotensi melenyapkan seluruh industri pekeraan yang selama ini dipelopori manusia.
Kenyataan terbaharu menerusi laman web berpusat di Amerika Syarikat (AS) oleh pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Centre for AI Safety itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut tentang potensi ancaman yang ditimbulkan AI.
"Kenyataan ringkas itu bertujuan untuk membuka perbincangan tentang bahaya teknologi tersebut,” ujarnya.
Beberapa penandatangan termasuk Dr Geoffrey Hinton yang mereka teknologi mendasari sistem AI dan dikenali sebagai godfather industri tersebut juga menyokong gesaan tersebut.
Kebimbangan besar mereka adalah kebangkitan kecerdasan am buatan (AGI) yang mana mesin mampu melaksanakan fungsi lebih meluas dan boleh membangunkan pengaturcaraan termasuk membina kod sendiri.
Situasi itu akan menyebabkan manusia tidak lagi akan mempunyai kawalan ke atas mesin superintteligent yang boleh membawa akibat yang buruk kepada spesies dan seluruh bumi.
Tiada jaminan
Sehingga kini, syarikat menghasilkan AI dikecam kerana enggan menerbitkan sumber data mereka atau mendedahkan cara ia diproses yang digelar sebagai masalah ‘kotak hitam’.
Altman yang melakukan siri penjelajahan untuk memberi penjelasan tentang AI telah beberapa kali menyebut tentang ancaman yang mungkin timbul disebabkan oleh teknologi AI dibangunkan syarikat miliknya.
"Jika wujud masalah dengan AI, tiada topeng gas akan dapat membantu anda,” katanya kepada sekumpulan petugas media di Paris pada minggu lalu.
Beliau juga mempertahankan keputusan syarikatnya yang enggan menerbitkan data sumber kerana pengkritik hanya mahu melihat jika model tersebut adalah berat sebelah dalam beberapa topik sensitif seperti isu perkauman.
Ketika ini, pakar bimbang jika orang ramai terlalu bergantung kepada AI untuk mendapatkan nasihat perubatan, sokongan emosi dan maklumat mentah yang digunakan mereka untuk membuat sebarang keputusan.
"Tiada jaminan sistem ini menyelesaikan sebarang tugasan yang diberikan dengan tepat,” kata Profesor Sains Komputer, Subbarao Kambhampati di Arizona State University.
Sementara itu, penyelidik AI di University of Montreal, Dr Yoshua Bengio berpendapat sistem itu sememangnya berbahaya kerana ia boleh berkomunikasi seperti manusia sebenar.
"Ia boleh bercakap seperti orang biasa dan kita tidak dapat bezakan mana yang palsu,” jelasnya.
Buat masa ini, semua hipotesis tentang bahaya sebenar AI masih diteliti, namun risiko lain terutamanya maklumat yang kurang tepat dan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab bukan lagi menjadi spekulasi kerana ia sudah berlaku secara terang-terangan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca