LIMA faktor dikenal pasti pemerhati politik yang meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu paling sesuai menjadi Perdana Menteri seperti dilaporkan pusat penyelidikan, Endeavour-MGC. Antara faktor utama yang mendorong peningkatan... Klik di sini untuk terus membaca

LIMA faktor dikenal pasti pemerhati politik yang meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu paling sesuai menjadi Perdana Menteri seperti dilaporkan pusat penyelidikan, Endeavour-MGC.

Antara faktor utama yang mendorong peningkatan populariti Anwar ialah kerana beliau mendapat sokongan padu lebih dua pertiga atau 148 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Felo Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berpandangan, Anwar menjadi pilihan utama kerana majoriti responden percaya beliau mampu menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Satu lagi faktor rakyat memilih Pengerusi PH itu sebagai individu paling layak menjadi Perdana Menteri, kata Jeniri, ialah kesungguhan Anwar menangani isu rasuah, penyelewengan dana awam dan salah guna kuasa dalam kerajaan.

Jeniri berkata, perkara itu baik kerana negara memang memerlukan seorang Perdana Menteri yang mempunyai imej positif di mata dunia khususnya bagi menarik lebih ramai pelabur asing melabur di Malaysia.

"Namun rakyat juga melihat Anwar masih gagal menangani isu kenaikan kadar inflasi, kos sara hidup dan harga barang keperluan harian biarpun kerajaan hari ini memperkenalkan pelbagai langkah seperti program Menu Rahmah.

"Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) satu lagi contoh yang menyebabkan rakyat kurang berpuas hati dengan pentadbiran Anwar kerana mengakibatkan mereka hidup dalam keadaan tertekan akibat terpaksa membayar ansuran pinjaman lebih tinggi berbanding sebelum ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Ujarnya, biarpun kestabilan politik penting, namun perkara paling utama di mata rakyat ialah soal ‘perut’ iaitu sama ada pentadbiran Anwar mampu menangani isu kenaikan inflasi, kos sara hidup dan harga barangan keperluan atau tidak.

"Saya melihat bukan hanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), malah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga perlu memainkan peranan lebih berkesan bagi membantu kerajaan mencari formula terbaik untuk menangani isu kenaikan kadar inflasi, kos sara hidup dan harga barang melanda negara pada ketika ini.

"Ini kerana ketika berada di blok pembangkang, Rafizi bukan sahaja hebat mengkritik dan mengemukakan pelbagai formula bagi menyelesaikan masalah rakyat, namun selepas menjadi Menteri Ekonomi beliau seperti ketandusan idea,” jelasnya.

Ikon perjuangan politik

Anwar (dua dari kiri) meluangkan masa berswafoto bersama anggota tentera sewaktu menghadiri program ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan, Anwar dipilih individu paling layak menjadi Perdana Menteri kerana kejayaan beliau menyatukan majoriti ahli Parlimen di bawah satu pentadbiran baharu dan menggabungkan pelbagai parti yang pernah bermusuhan seperti UMNO dan DAP sebelum ini.

Selain itu, kata Sivamurugan, Anwar sering dijadikan contoh dan ikon perjuangan politik oleh masyarakat di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hasil kajian itu tidak menjadi penanda aras kepada sokongan rakyat terhadap parti membentuk Kerajaan Perpaduan pada PRN, namun ia boleh dijadikan medium dan tekad politik untuk mempertahankan kerajaan Pusat.

"Hasil kajian ini tidak boleh dijadikan tafsiran umum terhadap sokongan rakyat kepada parti membentukan Kerajaan Perpaduan dalam PRN nanti kerana kita tidak tahu tarikh dan isu bakal dimainkan parti politik pada pilihan raya nanti.

"Tiga faktor utama yang kerap dijadikan sandaran untuk menilai gelagat dan pola sokongan pengundi termasuklah kesetiaan kepada parti, calon dan isu dimainkan semasa pilihan raya berlangsung,” ujarnya.

Bukan jaminan

Biarpun meninggalkan pencabar terdekat iaitu Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menduduki tangga ketiga, diikuti bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kajian itu tidak boleh menjadi kayu ukur sebenar sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaysia (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menegaskan, data kajian yang menunjukkan Anwar menerima sokongan daripada pengundi bukan Melayu membuktikan bahawa memang wujud ‘gelombang hijau’ atau peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin pada PRU15 lalu.

Justeru, katanya, Anwar perlu melakukan sesuatu yang luar biasa bagi menarik kembali sokongan pengundi Melayu terhadap dasar dan kepimpinan Pengerusi PH berkenaan.

"Saya juga melihat UMNO kini tidak mampu menjadi fix deposit atau memberikan sokongan padu orang Melayu kepada kerajaan pimpinan Anwar.

"Jika UMNO betul-betul dapat mewakili sokongan majoriti orang Melayu maka kita dapat lihat peratus sokongan orang Melayu akan lebih tinggi dalam kajian dibuat oleh pusat penyelidikan berkenaan,” tambahnya.

Mohammad Tawfik menilai, antara punca orang Melayu kurang menyokong Anwar melalui kajian itu kerana ucapan Perdana Menteri sebelum ini yang mengguris hati seperti ‘kaum Melayu Islam di negara ini diingatkan agar tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain’ selain isu tanah rizab Melayu di negeri Perak.

"Orang Melayu Islam juga masih tertunggu-tunggu apa rasional dan tindak balas bakal diambil Perdana Menteri bagi menangani isu tindakan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan kes kalimah ALLAH di mahkamah baru-baru.

"Semua isu berkenaan amat dekat dengan orang Melayu Islam. Jika ia gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan, mungkin gelombang hijau akan memuncak dalam PRN nanti,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca