MENJELANG sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Isnin ini, ruangan ini ingin merafak sembah serta menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas khidmat, jasa dan bakti Tuanku sepanjang memerintah negara.
Tuanku tercatat dalam lipatan sejarah menjadi pemerintah dalam tempoh yang paling mencabar. Mengemudi negara ketika pandemik global Covid-19, tugas baginda bertambah hebat diuji dengan krisis politik yang berpanjangan.
Namun jelas wibawa, kebijaksanaan dan keberanian pemerintahan baginda telah berjaya menyelesaikan segalanya dan kembali meletakkan negara di landasan yang betul.
Berhadapan dengan pelbagai situasi unprecedented – peletakan jawatan YDPA, pandemik Covid-19, peletakan jawatan Perdana Menteri, pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan keputusan parlimen tergantung – jelas ujian yang luar biasa.
Menjadi satu-satunya YDPA yang memerintah negara dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri yang berlainan sudah tentu menuntut usaha dan kebijasanaan bagi memastikan sistem demokrasi negara berfungsi dengan baik disamping menjaga keluhuran perlembagaan, sesuatu yang memperlihatkan bagaimana besar dan luasanya peranan serta tanggungjawab yang dipikul oleh YDPA.
Institusi beraja menerusi YDPA dan Majlis Raja-Raja (MRR) jelas adalah tunjang utama politik negara berasaskan Raja Berperlembagaan serta demokrasi berparlimen. Kedua-dua institusi memainkan peranan yang sangat penting dalam mencorakkan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa eksekutif YDPA sebagai pemerintah tertinggi negara meliputi fungsi-fungsi Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman negara sepertimana yang termaktub dalam Perkara 181(1), kedaulatan YDPA dan institusi beraja sebenarnya melangkau jauh daripada fungsi tersebut mengambil kira peranan terbesarnya sebagai institusi berkecuali yang tinggi kedudukannya untuk menegur, menasihat dan memberi buah pandangan kepada pentadbiran negara.
Peranan seorang raja yang berhak untuk menegur dan mengutarakan pendapat sekiranya identiti negara telah tergelincir atau cuba digelincirkan daripada landasan yang betul sehingga menggugat kesejahteraan negara jelas menunjukkan betapa penting dan besarnya peranan YDPA yang bukan sekadar simbolik atau keraian semata-mata.
Paling penting, YDPA sebagai satu institusi semak imbang terakhir kepada kuasa kerajaan dan perdana menteri menjadi mekanisme terbaik mendukung sistem demokrasi berparlimen ketika mana ia berhadapan dengan masalah.
Kebijaksanaan, hikmah dan wibawa YDPA sebagai penjaga negara dan perlembagaan boleh menjadi insurans bagi mengelakkan negara terhumban ke dalam krisis dan ketidaktentuan berpanjangan.
Kerajaan boleh bertukar pada bila-bila masa, kalaupun tidak dalam tempoh lima tahun sekali selepas pilihan raya. Namun, fungsi YDPA dan Institusi Beraja sebagai payung negara, pelindung rakyat jelata, penjaga kemakmuran negara dan penjamin masa depan negara serta pendamai persengketaan tidak pernah berubah.
Seluruh warga Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda bagi tahun 2023.
Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku, Menjunjung kasih Tuanku.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca