SHAH ALAM - Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke luar negara mengakui tidak berhasrat menangguhkan rancangan itu memandangkan mereka sudah berurusan dengan beberapa pihak termasuk agensi pelancongan walaupun ringgit mengalami kemerosotan.
Penjawat swasta, Carmen Chow, 36, berkata, perancangan melawat beberapa buah negara sudah dibuat sejak tahun lalu, bersama keluarga walaupun mengetahui keadaan semasa nilai ringgit.
"Saya sudah lama merancang untuk ke Jepun bersama keluarga dan tidak mungkin menangguhkan lagi hasrat ke sana,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagi eksekutif jualan, Shahidal Izwan Basro, 42, perancangan menunaikan ibadah umrah sebelum ini tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 termasuk beberapa urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
"Niat untuk menunaikan umrah adalah sejak tahun 2020, namun ketika itu kita dalam fasa pandemik dan saya perlu menjaga ahli keluarga yang sakit menyebabkan rancangan tertangguh.
"Tahun ini adalah peluang terbaik untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci,” jelasnya.
Penasihat kredit, Nor Aishah Abu Bakar, 27, berkata, kemerosotan mata wang tidak menghalang hasratnya melawat Thailand setelah beberapa kali mempertimbangkan kos perbelanjaan melancong ke negara itu.
"Saya faham ringgit kita yang merosot tetapi setelah mempertimbangkan pelbagai faktor kerana kos ke Thailand sedikit murah berbanding negara lain dan perbelanjaan di sana juga tidak jauh beza jika bercuti di Malaysia,” ujarnya.
Guru, Nurul Athirah Jaffar, 38, berkata, dia tidak akan menangguhkan hasrat ke luar negara kerana terikat dengan urusan pekerjaan dan komitmen sebagai pelajar pascasiswazah.
"Saya akan ke Indonesia pada September nanti, bagi menghadiri persidangan pendidikan kerana perbelanjaan sudah dibiayai oleh pihak universiti. "
"Sekiranya mahu bercuti di sana dalam tempoh itu, mungkin boleh dipertimbangkan kerana kos untuk ke luar negara bukan murah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca