BAGI orang Islam, mereka perlu memperhambakan diri kepada ALLAH SWT pada setiap masa. Ini termasuk ketika mereka bekerja atau pun berniaga. Jika mereka menjadi usahawan, setiap aspek perniagaan bukan sahaja perlu mematuhi syariah tetapi... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI orang Islam, mereka perlu memperhambakan diri kepada ALLAH SWT pada setiap masa. Ini termasuk ketika mereka bekerja atau pun berniaga.

Jika mereka menjadi usahawan, setiap aspek perniagaan bukan sahaja perlu mematuhi syariah tetapi boleh menjadi sumber pahala sekiranya dijalankan selari dengan kehendak syariah.

Ini bermakna perniagaan ada kaitan dengan syurga dan neraka. Setiap perkara yang membawa kebaikan kepada pelanggan dan masyarakat tentunya ada perkiraan pahala manakala amalan yang bertentangan dengan syariah ada risiko boleh mendedahkan orang-orang yang terlibat kepada neraka.

Semua ini bergantung kepada hisab dan ketentuan ALLAH SWT di akhirat nanti.

Dari segi produk, sudah banyak perniagaan yang mendapatkan sijil halal kerana ianya bukan sahaja meyakinkan pelanggan tetapi membuka peluang perniagaan di mana sijil halal menjadi syarat.

Inilah sebabnya banyak perniagaan yang dimiliki oleh orang-orang bukan Islam sekali pun mendapatkan sijil halal.

Namun, syariah tidak terhad kepada produk semata-mata. Ada banyak lagi aspek perniagaan yang perlu diteliti agar selari dengan syariah.

Contohnya jika perniagaan menjual secara kredit, adalah penting untuk memastikan kaedah penangguhan pembayaran berkenaan tidak melibatkan riba.

Produk yang dijual tidak boleh melibatkan unsur-unsur gharar. Kaedah produk dipromosi pun tidak boleh menyebabkan pembeli terkeliru.

Kita semua tentunya sudah berjumpa dengan hadis Rasulullah SAW berkenaan seorang penjual gandum di pasar yang meletakkan gandum yang basah di bawah.

Tindakan itu tidak menzahirkan keadaan sebenar gandum yang dijual. Di zaman yang mana pengiklanan merupakan satu kaedah bagi melariskan produk, usahawan kena berhati-hati agar tidak melanggar prinsip di dalam hadis di atas.

Perniagaan yang berkembang membolehkan lebih ramai orang bekerja dengannya untuk mencari rezeki yang halal. Ini tentunya membawa kebaikan kepada pengusahanya di akhirat kelak.

Namun, apabila menguruskan pekerja, agama kita juga ada kaedahnya dari segi pembayaran upah, layanan dan perkara-perkara lain yang melibatkan hak pekerja.

Sekiranya layanan kepada pekerja tidak mematuhi kehendak agama, sijil halal yang berkaitan dengan produk yang dijual tidak cukup untuk dijadikan sebab bagi melepaskan pengusaha perniagaan berkenaan dari tanggungjawabnya di akhirat kelak.

Perniagaan biasanya memerlukan pembiayaan. Di antara sumber modal ialah dari pemiliknya sendiri. Namun, pembiayaan boleh didapati dari pihak ketiga seperti bank dan institusi kewangan yang lain.

Di zaman yang mana pembiayaan patuh syariah mudah didapati, janganlah pengusaha mengambil mudah akan larangan terhadap riba.

Sayang sekiranya setiap aspek perniagaan sudah mematuhi syariah tetapi pembiayaannya pula melibatkan riba. Kita juga sering mendengar laporan bahawa ada peniaga yang ditangkap kerana terlibat dengan rasuah.

Rasuah bukan sahaja satu jenayah dari segi undang-undang dunia tetapi ia juga satu dosa besar yang berat hukumannya di akhirat kelak.

Bagi menjadikan perniagaan satu ibadah sempurna, kesemua aspek perniagaan perlu memenuhi kehendak syariah. Janganlah berpuas hati sekiranya produk yang dijual sudah mendapat sijil halal. Itu hanya satu aspek sahaja.

Banyak lagi aspek lain yang perlu diselaraskan dengan syariah. Pengusaha yang serius di dalam perkara ini perlu mendapatkan nasihat dari penasihat syariah yang mahir dan jujur.

Pastikan ia menjadi sumber pahala dan mendapat reda dan kasih ALLAH SWT.

* Datuk Nik Mohd Hasyudden Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji

Klik di sini untuk terus membaca