SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang baharu sebagai usaha memperbanyakkan orang Melayu menjadi hartawan di negara ini.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, dasar sedia ada dilihat gagal mencapai objektif sebenar dan dibuktikan dengan hanya tiga orang Melayu tersenarai sebagai individu terkaya di Malaysia.
"Hanya enam peratus orang Melayu tersenarai dalam 50 yang paling kaya di Malaysia dan ia langsung tidak menggambarkan pola demografi penduduk Malaysia mengikut kaum.
"Ia seolah-olah satu tamparan dan isyarat bahawa DEB dan DPN telah gagal menepati matlamat, malah jauh tersasar.
"Namun ia harus dilihat dari konteks lebih luas, di mana silapnya? Perancangan baik (tetapi) adakah pelaksanaan tidak baik atau tiada pemantauan berkala,” katanya kepada Sinar Harian.
Majalah Forbes 2023 menyenaraikan Pengasas Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia dan kedudukan itu telah dipegangnya selama lebih suku abad dengan jumlah kekayaan AS$11.8 bilion.
Dalam pada itu, Baharom berkata, keberkesanan fungsi beberapa agensi kerajaan juga perlu dilihat semula bagi memastikan peranan dan tanggungjawab mencapai objektif yang ditetapkan.
Antara agensi terlibat adalah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Beliau berkata, perancangan DEB 2.0 bersama pelan pelaksanaan yang baik, pemantauan rapi serta pengukuran dan pelaporan berkala harus diutamakan.
"Semua pihak harus berlapang dada, duduk semeja (berbincang) pihak eksekutif, pakar akademik, malah harus melibatkan Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca