SHAH ALAM - Kerajaan perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi isu kos sara hidup yang semakin membebankan ketika ini.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, secara umumnya pendapatan atau upah yang diterima rakyat dilihat mendatar atau tidak meningkat, sekali gus tidak selari dengan pertumbuhan ekonomi.
"Isu kos sara hidup ini bersangkut dengan dua perkara penting iaitu pendapatan dan harga barang, maksudnya di sini dengan pendapatan yang ada, apa yang mampu dibeli.
"Kalau kita lihat harga barang di Malaysia secara umumnya tidak terlalu mahal tetapi apa yang menjadi punca sekarang ini adalah pendapatan.
"Jadi, apa yang perlu dilaksanakan segera ketika ini adalah tingkatkan pendapatan, yang mana pendapatan diterima terutamanya kumpulan pendapatan rendah agak mendatar dan kalau meningkat sekali pun ia sangat rendah,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta menyatakan langkah-langkah perlu diambil kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan inflasi yang semakin membebankan ketika ini.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Kerajaan Perpaduan disaran untuk mengutamakan usaha mengurangkan inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi.
Berdasarkan kaji selidik oleh Endeavour-MGC, sekitar 22 peratus daripada 1,068 responden melibatkan semua kaum mendapati isu itu harus menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Noor Azlan berkata, masyarakat juga perlu diberi kefahaman bahawa kadar inflasi ketika ini bukan menjadi faktor utama kepada peningkatan kos sara hidup.
"Kadar inflasi di Malaysia yang berada sekitar 3.2 peratus sekarang ini masih dalam keadaan terkawal, jadi kita kena faham di sini, isunya bukan inflasi yang membuatkan kos sara hidup rakyat terbeban,” katanya.
Jelasnya, usaha diambil kerajaan melalui pelaksanaan Menu Rahmah atau bantuan-bantuan lain ketika ini juga hanya bersifat jangka pendek.
Persepsi negatif
Sementara itu, penganalisis ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu membentuk kerjasama yang lebih utuh sebelum membuat sebarang ketetapan bagi mengelak berlakunya ‘kekeliruan’ kepada rakyat.
Sebagai contoh katanya, kenyataan membabitkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang mencetuskan polemik sebelum ini sehingga mencetuskan persepsi negatif kepada kerajaan.
"Jadi, apa yang saya lihat kerajaan dan juga BNM perlu memperkukuhkan lagi usaha untuk meberi pendidikan atau penjelasan kepada rakyat sekiranya ada isu berbangkit seperti OPR sebelum ini.
"Kalau perkara ini tidak ditangani dengan serius, maka rasa tidak puas hati kepada kerajaan dalam menangani kos sara hidup ini juga akan berterusan kerana kedua-dua pihak seharusnya memainkan peranan yang sama.
"Jangan pula satu pihak ingin membela, tapi pihak yang lain pula sebaliknya kerana isu kos sara hidup rakyat ini merupakan perkara penting perlu diselesaikan segera oleh kerajaan,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca