SHAH ALAM - Dasar tambatan ringgit tidak sesuai dilaksanakan kerana kemerosotan nilai ringgit kini berlaku bukan disebabkan kelemahan sistem perbankan seperti tahun 1998.
Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun Ringgit Malaysia mengalami turun naik serta agak agresif, tetapi sistem perbankan masih stabil dan mempunyai modal yang mencukupi serta kecairan tinggi.
"Biarpun aset kualiti dilihat rendah, namun jika kita lihat aktiviti pembiayaan dan pengambilan deposit seperti biasa, tiada apa-apa isu.
"Jadi, tiada keperluan melaksanakan dasar yang pernah kita buat. Bukan tidak boleh tetapi dasar berkenaan tidak sesuai dengan masalah yang negara hadapi ketika ini.
"Dulu perbankan lemah di mana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tinggi hingga mencecah 70 peratus, selain perlu mewujudkan dana harta, modal dan Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) serta sebagainya bagi memperbaiki sistem perbankan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Mohd Afzanizam, tambatan ringgit adalah dasar kawalan terpilih (selective capital control) bertujuan menstabilkan kecairan sistem ekonomi ketika itu.
"Ketika itu, ringgit diserang oleh penyangak mata wang, maka melalui dasar tersebut, dana-dana yang masuk ke dalam Malaysia turut disekat untuk keluar.
"Justeru, dasar tambatan ringgit yang pernah kita laksanakan pada tahun 1998 hingga 2005, adalah berbeza dengan ekonomi sekarang kerana ketika itu, kita menghadapi masalah sistem perbankan yang lemah baik dari sudut kualiti aset, kecairan tinggi dan modal," ujarnya.
Katanya lagi, pelaksanaan dasar itu bertujuan menstabilkan ekonomi untuk mengekalkan nilai mata wang supaya kerajaan boleh membetulkan sistem perbankan pada masa tersebut.
Pastikan pulangan GLIC, GLC dikembalikan segera
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu memastikan pulangan pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di luar negara dibawa pulang segera bagi menguatkan nilai ringgit.
Menurutnya, koordinasi Ringgit Malaysia (RM) perlu dilaksanakan secara teratur agar lebihan dagangan negara bergerak secara berterusan.
"Kerajaan perlu ada pelan yang komprehensif untuk memulihkan nilai ringgit, bukan hanya seperti memadam api apabila berlaku kebakaran.
"Koordinasi ringgit perlu dilakukan secepat mungkin seperti memastikan pembayaran eksport dalam mata wang asing ditukar pantas ke mata wang tempatan.
"Selain itu, kerajaan perlu mengurangkan jumlah import dalam negara dan menaikkan jumlah eksport untuk memastikan lebihan dagangan negara berterusan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji serta Khazanah Nasional Berhad antara GLC dan GLIC yang dinamakan beliau untuk diberi perhatian oleh kerajaan.
Aimi Zulhazmi turut mencadangkan agar Bank Negara Malaysia (BNM) mencontohi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk mempelbagaikan jenis mata wang asing melalui simpanan atau rizabnya.
"Kita boleh mengkaji dan belajar bagaimana MAS berjaya menguruskan mata wang yang terus kukuh, lebih seimbang dengan pengukuhan dolar Amerika Syarikat.
"Selain itu, rizab (BNM) juga boleh dikembangkan dengan penambahan emas dan perak sebagai komoditi logam yang sentiasa bertindak sebagai pelaburan lebih tinggi daripada kadar inflasi," ujar beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan menyekat atau mengawal pengaliran ringgit ke keluar negara, Aimi Zulhazmi menyifatkan langkah tersebut tidak perlu dilaksanakan buat masa ini.
"Pekerja asing akan menangguhkan penghantaran wang ke negara asal mereka kerana kejatuhan nilai ringgit menyebabkan tukaran lebih rendah.
"Sudah pasti mereka akan menunggu sehingga ringgit pulih,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca