KERJASAMA semula antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak akan mampu mengembalikan sokongan pengundi seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Bahkan, Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan, Dr Mahathir tidak akan kekal dalam mana-mana gabungan politik disebabkan pemikiran yang sentiasa berubah-ubah serta tiada kekuatan tunjang dalam parti yang disertainya ketika ini.
"Saya berpendapat cara Dr Mahathir berpolitik dapat difahami secara jelas oleh rakyat Malaysia sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Secara realitinya, beliau tidak begitu konsisten dengan pegangan dan disiplin parti sehingga menjadi perbualan rakyat.
"Kerjasama antara Dr Mahathir dan Muhyiddin juga tidak akan memberi apa-apa kesan kepada Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu telah menunjukkan prestasi yang baik ke arah kepercayaan rakyat dalam pembentukan negara tanpa Dr Mahathir,” katanya kepada Sinar Premium.
Hussain berkata, hasrat Dr Mahathir untuk bekerjasama dengan Pengerusi PN adalah untuk mengukuhkan kedudukan dan keseimbangan politik antara kepelbagaian kaum terutama orang Melayu setelah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu gagal meraih sokongan dalam PRU15.
"Sedia maklum, Dr Mahathir tidak lagi mendapat perhatian rakyat Malaysia dalam arena politik tanah air selepas kalah di Parlimen Langkawi pada PRU15, meskipun beliau merupakan tokoh negarawan yang dihormati.
"Oleh itu, kerjasama yang bakal dibina adalah untuk mengukuhkan keseimbangan politik antara kepelbagaian kaum terutamanya melibatkan orang Melayu,” ujarnya.
Hussain berkata, meskipun Dr Mahathir dan Muhyiddin merupakan tokoh besar dalam negara, legasi politik yang dibawanya masih lemah dan tidak boleh berdiri sendiri.
Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu memerlukan kekuatan mana-mana gabungan yang boleh membentuk sebuah kerajaan mahupun pakatan yang besar.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berpandangan, gabungan yang bakal dibentuk melibatkan Dr Mahathir dan Muhyiddin adalah pakatan yang tidak jelas dan boleh merugikan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.
"Mereka pernah pernah bergaduh, berbaik dan bergaduh semula. Mereka juga pernah membuat perkara yang memecahbelahkan Melayu daripada parti-parti yang ditubuh.
"Rakyat sudah jemu dengan keadaan, perangai dan tindakan mereka yang menubuh dan keluar dari parti sendiri.
"Sekiranya niat mereka adalah untuk menjaga keharmonian rakyat, mereka sepatutnya bersama-sama membantu Kerajaan Perpaduan.
"Realitinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih oleh rakyat untuk memimpin Malaysia. Oleh itu, lebih baik membantu kerajaan sekarang yang telah menyatupadukan bukan sahaja Melayu tetapi semua kaum daripada mencipta onar dan berpakat untuk membuat kerosakan,” katanya.
Othman juga tidak bersetuju dengan pemimpin yang menggunakan alasan memperjuangkan nasib orang Melayu untuk menutupi agenda politik mereka yang akan mengelirukan rakyat.
"Tidak rosak agenda Melayu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan. Saya yakin kerajaan sekarang ini cuba memperjuangkan semua kaum dan parti termasuk DAP, MCA serta gerakan Sabah dan Sarawak yang harus kita sokong.
"Jangan guna alasan memperjuangkan nasib Melayu untuk merosakkan Melayu dan perpaduan rakyat Malaysia,” tegasnya.
Tambah beliau, rakyat perlu menolak apa sahaja kerjasama yang boleh merosakkan perpaduan dan meruntuhkan kerajaan.
"Sepatutnya semua pemimpin-pemimpin yang hebat dan berpengalaman berganding bahu untuk menolong kerajaan pada hari ini. Sudah-sudahlah semua nak berpakat menjadi Perdana Menteri atau meruntuhkan kerajaan.
"Dengan keadaan ekonomi dunia yang kritikal, kita boleh menyelesaikan masalah dengan berbincang bersama.
"Sekarang bukan masa untuk bergaduh kerana kewajipan semua orang adalah menyokong kerajaan untuk masa depan negara yang lebih harmoni,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca