JARANG sekali bateri dianggap sebagai satu produk yang berteknologi tinggi. Pada zaman 1980-an, apabila berbicara mengenai bateri, ia biasanya merujuk kepada bateri untuk radio atau lampu suluh.
Zaman sekarang yang serba canggih, apabila berbicara mengenai bateri, rata-rata kita akan periksa berapa peratus lagi tenaga bateri pada peranti pintar kita, siapa ada powerbank atau siapa ada bawa alat pengecas bateri. Itulah definisi dan aplikasi umum bateri.
Namun, di luar sempadan Malaysia, satu ledakan revolusi teknologi bateri sedang berlangsung dengan kadar yang pantas dari aspek kajian dan pembangunan kepada aspek aplikasi serta tujuan.
Baru-baru ini, bagi memenuhi undangan penganjur, saya telah berangkat ke Shenzhen, China untuk menghadiri Pameran Bateri Antarabangsa China (CIBF) ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Dunia Shenzhen.
Ia juga adalah kunjungan pertama ke China sejak tiga tahun yang lalu susulan penutupan sempadan negara berkenaan akibat pandemik Covid-19.
CIBF dianjurkan oleh Persatuan Industri Sumber Tenaga China (CIAPS) dan disokong oleh pelbagai agensi kerajaan yang mempunyai pengkhususan teknologi dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) serta teknologi hijau.
CIAPS yang diasaskan pada 1989 mengumpulkan lebih 500 anggota pertubuhan dan organisasi yang bergiat dalam sektor pembangunan teknologi bateri serta penghasilan pelbagai produk sumber tenaga boleh diperbaharui.
Ia termasuk teknologi simpanan kuasa, bateri berkuasa lithium, penjanaan kuasa solar dan pelbagai perkakasan berkaitan penciptaan, penjanaan, penyimpanan serta aplikasi tenaga.
Sepanjang pameran CIBF, peserta dan pengunjung juga disajikan dengan puluhan panel serta seminar perbincangan mengenai isu-isu tenaga bateri dan teknologi bateri oleh pakar-pakar dari institut kajian teknologi terulung di China termasuk pensyarah dari Universiti Tshighua.
Industri tenaga hidrogen
Dalam perbincangan tersebut, ahli-ahli panel memberi penerangan yang cukup mendalam mengenai tahap pembangunan terbaharu industri tenaga hidrogen di China.
Walaupun teknologi hidrogen dianggap antara teknologi tenaga paling canggih di dunia pada masa kini dan masih belum mencapai satu tahap kematangan teknologi bagi tujuan aplikasi sivil serta komersial secara meluas, namun pada 2022, China telah meluluskan penggunaan lebih 3,000 kenderaan yang dipacu oleh bateri kuasa hidrogen.
Ia sebagai satu fasa kajian dan pemantauan bagi memperoleh lebih banyak data untuk membantu proses penambahbaikan bateri berkuasa hidrogen.
Kekangan mengenai teknologi hijau dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui masih wujud tetapi bagi negara seperti China, Jepun serta Jerman, banyak langkah telah diambil bukan hanya di peringkat organisasi kajian dan universiti, malah agensi kerajaan juga amat prihatin dengan isu penggunaan sumber tenaga yang lebih berkesan.
Pergantungan terhadap sumber konvensional seperti arang batu, minyak dan gas bukan lagi sesuatu yang statik tetapi kini disedari sebagai realiti yang harus berubah atau sekurang-kurangkan diimbangi oleh sumber-sumber tenaga lain.
Malaysia dikurniakan rezeki sebagai negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas. Menerusi rezeki tersebut, rakyat Malaysia telah dimanjakan dengan perbelanjaan kos subsidi minyak dan tenaga yang semakin membebankan kewangan negara.
Negara maju lain yang lebih kaya dari Malaysia sanggup dan sudah melakukan revolusi teknologi tenaga. Mungkin kita boleh menunggu tujuh keturunan lagi untuk mengikuti jejak langkah mereka.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca