SHAH ALAM - Tiada istilah Pas mahu menjadi 'abang besar' dan mendominasi kuasa membuat keputusan dalam Perikatan Nasional (PN) susulan pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan kian pudar kerana pemimpinnya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada istilah Pas mahu menjadi 'abang besar' dan mendominasi kuasa membuat keputusan dalam Perikatan Nasional (PN) susulan pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan kian pudar kerana pemimpinnya kini termasuk dalam geng kluster mahkamah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, semua parti komponen sentiasa bergerak bersama dan membuat keputusan secara konsensus.

"Semua parti komponen sama ada Pas, Bersatu mahupun Gerakan sentiasa bergerak di landasan sama dan setiap keputusan dasar PN dibuat secara konsensus dengan persetujuan semua pihak.

"Setiap keputusan dibuat menerusi mesyuarat di peringkat parti masing-masing sebelum dibawa kepada pucuk tertinggi PN dan dimuktamadkan.

"Persepsi dan serangan ini (Pas cuba dominasi PN) berlaku kerana tiga daripada enam negeri terbabit pilihan raya negeri (PRN) kini dikuasai oleh Pas sebagai menteri besar berbanding parti lain dalam PN,” katanya kepada Sinar Premium.

Mantan Menteri Alam Sekitar dan Air serta Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pas kini menjadi 'abang besar' atau king maker dalam PN susulan ramai pemimpin Bersatu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin terpalit kes mahkamah.

Turut senada ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Bertam, Pulau Pinang, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq yang menjelaskan, orang ramai melihat Pas lebih dominan dalam PN kerana parti itu memiliki kerusi Parlimen lebih banyak berbanding Bersatu dan Gerakan.

"Namun, dalam PN tiada parti yang dominan atau parti yang menjadi 'abang besar'. Semua parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan sentiasa bekerjasama rapat, biarpun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak tertentu. Kita akan terus kekal hubungan erat dan kerjasama ini menjelang PRN nanti,” katanya.

Makin renggang? Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula berpandangan, hubungan kedua-dua parti dikatakan semakin renggang kerana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN dilihat jarang menghadiri program atau mengadakan sidang media bersama.

Mazlan berkata, paling ketara adalah apabila mantan Perdana Menteri kelapan itu tidak turut serta ketika Abdul Hadi mengadakan kunjungan hormat dan menandatangani Proklamasi Bangsa Melayu di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut dikatakan tidak menghadiri majlis rumah terbuka dianjurkan Bersatu dan Muhyiddin di ibu negara, baru-baru ini.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa Pas kini bergerak solo dan keputusan polisi PN juga memperlihatkan mereka membuat keputusan berasaskan kepentingan parti sendiri, misalnya usaha menyokong Proklamasi Bangsa Melayu yang memberikan impak besar kepada politik nasional.

Mazlan menambah, bilangan ahli Parlimen Pas lebih ramai daripada Bersatu menyebabkan mereka dilihat sering berada di hadapan berbanding parti sekutu lain PN dalam pelbagai isu semasa.

"Keadaan itu menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa Pas kini lebih terkehadapan, dominan dan membawa haluan sendiri meninggal Bersatu dan Gerakan.

"Abdul Hadi juga sering mengecewakan Gerakan apabila membangkitkan mengenai pelbagai isu kepentingan bukan Melayu. Ini memperlihatkan Pas kini bertindak bersendirian dalam PN,” kata Mazlan.

Klik di sini untuk terus membaca