SHAH ALAM - Usahawan Melayu dan bumiputera perlu mempunyai pakej merangkumi ketahanan diri, modal dan komunikasi jika ingin menempatkan diri sebaris dengan jutawan serta taikun terkenal negara.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, banyak senario yang berlaku ketika ini adalah kurangnya ketahanan menyebabkan ramai usahawan mengalah sehingga perniagaan terkubur.
Berkongsi pengalamannya, Azmi mengakui perjalanan yang dilalui penuh berliku dan hanya berjaya ke tahap sekarang apabila mencecah usia 50 tahun.
"Orang kita banyak yang kurang ketahananan berbanding bangsa lain. Maksudnya, sifat keusahawanan mereka itu masih kurang. Tapi apabila sudah berjaya sampai ke satu tahap, belum tentu kita boleh kekalkan kejayaan.
"Kita boleh jatuh dan bangun lagi sampai menjadi usahawan yang matang. Selain itu, ramai daripadanya kekurangan modal.
Sepatutnya mereka ambil alternatif berkolaborasi dengan orang yang ada modal atau mencari dan yakinkan pelabur.
"Kemahiran komunikasi juga sangat penting kerana usahawan perlu datang dalam satu pakej,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hanya tiga orang Melayu tersenarai antara 50 individu terkaya Malaysia dalam senarai Forbes 2023.
Menurut majalah itu, tiga individu berkenaan ialah tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim.
Sementara itu, Pengarah Urusan Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata, setiap usahawan perlu mempunyai impian besar jika ingin terus berkembang.
Noor Arfa sendiri katanya, bermula hanya dengan dua pekerja iaitu ibu dan bapanya pada tahun 1980, sebelum berkembang dan kini mempunyai lebih 200 pekerja.
"Selain itu, saya melihat pentingnya untuk kita banyak membantu orang. Perniagaan Ramly Burger misalnya, banyak membuka peluang perniagaan kepada orang lain. Tan Sri Syed Mokhtar pula ada yayasan dan turut membina masjid,” ujar beliau.
Jelas Wan Mohd Hafiz, usahawan juga perlu bertindak dan tidak sekadar mempunyai impian atau angan-angan.
"Saya sendiri mula ambil alih Noor Arfa pada tahun 2018 dan mewujudkan program reseller. Sekarang ini sudah ada lebih 1,000 orang dan target kita pada masa akan datang adalah menghasilkan lebih 30,000 reseller,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca