SURABAYA - Musim permulaan padi di daerah Probolinggo, Jawa Barat kembali dimeriahkan dengan perlumbaan lembu tradisional yang dipanggil Karapan Sapi Brujul.
Acara tahunan itu diadakan di Jalan Semeru, Kademangan baru-baru ini dan menjadi keunikan identiti serta keistimewaan tersendiri daerah berkenaan.
Karapan Sapi Brujul telah diiktiraf sebagai warisan tidak ketara oleh Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia pada 18 Oktober 2019.
Pada awalnya, acara tersebut diadakan secara kecil-kecilan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pesawah sebelum dan selepas musim menanam padi.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Karapan Sapi Brujul menjadi antara acara yang ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan termasuk pelancong domestik dan luar negara.
Biasanya, acara tersebut berlangsung selama dua hari. Berbeza dengan perlumbaan lembu tradisional di daerah lain, Karapan Sapi Brujul diadakan di atas ‘litar’ berlumpur sepanjang 150 meter (m) dan hanya menggunakan lembu-lembu daripada baka Ongole.
Lebih istimewa, setiap lembu yang menyertai perlumbaan tersebut diberi makanan tertentu seperti herba tradisional termasuk madu dan halia serta telur ayam kampung bagi memastikannya memecut laju semasa hari pertandingan.
Difahamkan lebih 50 peserta menyertai pertandingan kali ini dengan pemenang membawa pulang wang tunai dan piala pusingan.
Namun, bagi kebanyakan peserta di daerah berkenaan, hadiah wang tunai hanyalah satu bonus kerana sasaran utama mereka ialah kemasyhuran. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca