APA yang berlaku pada Allahyarham Awang Askandar Yaacub di Gunung Everest tentulah menyedihkan. Beliau meninggal dunia akibat terjatuh dari ketinggian 8,000 meter pada 18 Mei lalu. Seorang lagi pendaki Malaysia, Muhammad Hawari Hashim masih... Klik di sini untuk terus membaca

APA yang berlaku pada Allahyarham Awang Askandar Yaacub di Gunung Everest tentulah menyedihkan. Beliau meninggal dunia akibat terjatuh dari ketinggian 8,000 meter pada 18 Mei lalu.

Seorang lagi pendaki Malaysia, Muhammad Hawari Hashim masih belum dijumpai sehingga ini. Awang Askandar merupakan korban pertama rakyat Malaysia di Everest.

Setakat ini seramai 13 orang rakyat Malaysia telah berjaya menakluki gunung tertinggi di dunia itu, termasuk seorang wanita, Marina Ahmad pada tahun 2017.

Dua orang rakyat kita yang pertama mencecah puncak setinggi 8,848 meter (29,029 kaki) itu adalah Magendran Munisamy dan Mohanadas Nagappan pada 23 Mei 1997 (sekarang keduanya bergelar Datuk).

Peristiwa yang membanggakan Malaysia itu berlaku 44 tahun selepas dua pendaki, Edmund Hillary dan Sherpa Tenzing berbuat demikian pada 29 Mei 1953.

Everest adalah salah sebuah daripada 14 buah gunung di dunia yang ketinggiannya melebihi 8,000 meter (26,247 kaki).

Nepal mempunyai tujuh buah gunung pada ketinggian itu, dua lagi ia berkongsi sempadan dengan Tibet, sementara Pakistan mempunyai lima gunung di atas 8,000 meter, termasuk gunung yang kedua tertinggi di dunia, K2.

Bukan calang-calang orang boleh mendaki gunung. Apa lagi pada ketinggian di mana paras oksigen menjunam jatuh. Paras maut atau death zone adalah pada ketinggian di atas 8,000 meter. Ramai pendaki memerlukan bantuan oksigen pada paras itu.

Sejak tahun 1953 ribuan ekspedisi dari hampir seluruh negara di dunia telah cuba untuk mendaki gunung itu. Waktu yang sesuai bagi tujuan itu adalah di antara penghujung April dan awal Jun.

Bagaimanapun Mei dianggap luang atau window yang paling sesuai untuk para pendaki. Inilah bulan yang selalunya memberikan sedikit kestabilan cuaca. Namun gunung yang dianggap pembunuh itu tidak mudah diramal.

Setakat ini lebih 6,000 orang telah berjaya menjejak puncak Everest sejak tahun 1953. Jumlah kematian yang dicatatkan setakat ini adalah 310 orang atau secara purata enam kematian setahun.

Dalam musim pendakian kali ini sahaja, 13 orang dilaporkan terbunuh termasuk Awang Askandar.

Cuaca tidak menentu

Setakat ini lebih 6,000 orang telah berjaya menjejak puncak Everest sejak tahun 1953.


Pada tahun ini kerajaan Nepal telah mengeluarkan 478 permit untuk mendaki Everest, satu rekod baru. Harga permit yang dikenakan bagi seorang pendaki adalah AS$11,000 (RM44,000).

Pada masa ini terdapat banyak syarikat ekspedisi yang mengenakan AS$35,000 (RM140,000) untuk memandu seorang klien mencecah puncak.

Pendaki selalunya berada di Everest selama hampir dua bulan bagi mencari luang untuk sampai ke atas. Banyak masa diperlukan untuk tujuan acclimatization atau menyiapkan diri bagi perubahan altitud atau ketinggian.

Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, bahaya runtuhan salji dan ancaman pelbagai penyakit di altitud tinggi, macam-macam boleh berlaku.

Mereka yang berjaya boleh tumpas dalam perjalanan turun. Tambahan pula dengan jumlah pendaki yang ramai ada kemungkinan berlaku kesesakan di rabung, menyebabkan sebarang pertukaran cuaca membahayakan pendaki.

Tidak mudah sebenarnya untuk mendaki gunung seperti Everest. Bakal pendaki harus menjalani regim latihan yang mencabar. Pendaki harus kental secara fizikal selain mempunyai kekuatan mental dan semangat.

Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin atau lebih dikenal sebagai Qobin (sekarang Datuk) bersama temannya Ahmad Reduan Rozali merupakan rakyat Malaysia ketiga dan keempat yang menjejak puncak Everest pada tahun 2004.

Beliau menjalani latihan keras di Pergunungan Himalaya dan Banjaran Karakoram selain di Pergunungan Alps di Eropah dan di New Zealand sebagai persiapan.

Pada tahun 2010 beliau membuat perancangan untuk mendaki tujuh gunung tertinggi di tujuh benua.

Dunia pendakian mengenal cabaran ini sebagai Bass list atau senarai Bass yang mengambil sempena nama seorang ahli perniagaan bernama Richard Bass yang pertama kali mencuba melakukannya.

Bass berjaya berbuat demikian berakhir dengan penaklukan Everest pada 30 April 1985.

Cipta nama

Tentulah terdapat dalam kalangan pendaki yang mencipta nama dan menjadi legenda. Reinhold Messner, seorang pendaki Itali, menawan kesemua 14 gunung tertinggi di dunia tanpa menggunakan bantuan oksigen.

Beliau mengambil masa 16 tahun untuk melakukannya. Baru-baru ini dunia pendakian dikejutkan dengan kejayaan seorang anak kelahiran Nepal bernama Nirmal (Nims) Purja yang berjaya melakukannya dalam masa enam bulan, enam hari pada tahun 2019.

Seorang pendaki wanita dari Norway bernama Kristin Harila berjaya mendaki enam gunung tertinggi di dunia dalam tempoh 29 hari.

Sehingga penghujung September 2021, beliau sudah menawan 12 dari 14 eight-thousanders itu. Tetapi beliau terhalang dari menamatkan cabaran itu apabila kerajaan China tidak memberikan permit untuk dua buah gunung lagi.

Beliau sudah tentu akan mengalahkan Purja daripada segi kepantasan. Peliknya beliau tidak pernah mendaki sebarang gunung melebihi 8,000 meter sebelum percubaan luar biasanya.

Banyak rekod telah dicipta di Everest. Kami Rita Sherpa telah menjejak puncak Everest sebanyak 28 kali. Seorang lagi warganegara Nepal, Lhakpa Sherpa mencatatkan rekod paling banyak kali bagi wanita, iaitu 10 kali.

Junko Tabei dari Jepun merupakan wanita pertama yang berjaya ke puncak pada 16 Mei 1975. Orang termuda berbuat demikian pula adalah Jordan Romero, berusia 13 tahun 10 bulan dari Amerika Syarikat yang melakukannya pada 22 Mei 2010.

Orang yang paling tua adalah Yuichiro Miura, dari Jepun yang berusia 80 tahun 224 hari sewaktu berdiri di puncak Everest pada 23 Mei 2013.

Tan Sri Khaid Yunus hampir-hampir menjadi salah seorang warga emas Malaysia yang berjaya menawan Everest pada tahun 2007.

Beliau terpaksa berundur pada ketinggian 7,200 meter. Beliau berusia 64 tahun ketika itu.

• Tan Sri Johan Jaaffar merupakan Tokoh Wartawan Negara. Surat khabar yang beliau pimpin adalah salah satu penyokong "Projek Cabaran Everest” tahun 1997 yang berjaya meletakkan dua orang pendaki Malaysia di puncak Everest.

Klik di sini untuk terus membaca