SEJAK akhir-akhir ini kualiti perkhidmatan telekomunikasi semakin teruk, bukan sahaja talian kerap mengalami gangguan malah sering terputus-putus. Jadi alternatif terbaik untuk berkomunikasi ialah dengan menggunakan panggilan WhatsApp untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK akhir-akhir ini kualiti perkhidmatan telekomunikasi semakin teruk, bukan sahaja talian kerap mengalami gangguan malah sering terputus-putus.

Jadi alternatif terbaik untuk berkomunikasi ialah dengan menggunakan panggilan WhatsApp untuk kualiti panggilan yang lebih baik.

Berdasarkan pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut sejak lebih 10 tahun, masalah tersebut bukanlah baru dan lebih malang tiada usaha untuk memperbaikinya.

Pengalaman buruk ini turut dilalui seorang sahabat yang akhirnya terpaksa membeli sebuah lagi telefon bimbit dan menggunakan khidmat syarikat telekomunikasi yang lain.

Katanya, sudah bosan dengan kualiti perkhidmatan yang amat teruk itu.

Jadi kalau beginilah keadaannya, tiada guna kita sentiasa bercakap tentang penyediaan rangkaian 5G sedangkan hendak membuat panggilan biasa pun menjadi suatu hal yang merumitkan dan menyakitkan hati.

Ini adalah masalah yang dihadapi oleh pengguna yang tinggal di jantung utama negara iaitu Kuala Lumpur dan Selangor, bukan di Padang Besar, Perlis; Rantau Panjang, Kelantan; Semporna, Sabah atau di Bario, Sarawak.

Tempat-tempat yang disebutkan ini berada pada kedudukan paling jauh dalam peta Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Apa sudah jadi dengan mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi di negara ini sehingga perkhidmatan paling asas pun tidak mampu diberikan dengan baik.

Syarikat telekomunikasi mencatatkan untung setiap tahun dan mampu bagi bonus kepada kakitangan tetapi kualiti perkhidmatan ibarat langit dengan bumi.

Jadi memang tidak hairanlah dalam laporan pada Mac lalu apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 170 kompaun bernilai RM7.47 juta sepanjang tempoh 2018 hingga 2022 kepada pemegang lesen syarikat telekomunikasi kerana gagal mematuhi standard kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

Sebanyak 49 kompaun bernilai RM2.19 juta dikeluarkan berkaitan kegagalan mematuhi standard mandatori bagi perkhidmatan selular awam, 59 kompaun bernilai RM2.69 juta kerana gagal mematuhi standard perkhidmatan jalur lebar berwayar dan 62 kompaun bernilai RM2.59 juta diberi kerana gagal patuhi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar.

Terdapat kompaun bernilai RM50,000 telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat telekomunikasi kerana gagal mencapai piawaian kualiti perkhidmatan di Sabah iaitu berkenaan perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar.

Pada tahun lepas, SKMM mengeluarkan 29 Arahan Suruhanjaya kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori melibatkan 29 lokasi berbeza di Sabah.

Memperbaiki mutu perkhidmatan telekomunikasi sangat penting kerana ia juga ada kaitan dengan meningkatkan tahap ekonomi negara.

Bagaimana pelabur-pelabur dari negara luar mahu melabur ke negara ini dengan perkhidmatan paling asas ini gagal untuk memberikan kepuasan kepada pengguna? Mujurlah tiada takrifan khusus sebuah negara maju meletakkan telekomunikasi sebagai satu daripada syarat utama.

Dan kalau ada pun ukuran atau rating, markah yang boleh diberikan ialah F.

Sebab itulah Thailand lebih baik berbanding dengan Malaysia dari segi jaringan telekomunikasi.

Tanya sesiapa mereka yang pernah ke negara Gajah Putih itu, mereka bukan sahaja dapat menikmati kelajuan internet yang pantas malah begitu baik di mana sahaja pada harga yang murah.

Inilah sebabnya kita perlu jadi sebuah negara yang ada integriti yang tinggi.

Tanpa integriti, sampai bila pun kita semua akan hidup susah dan mundur berbanding orang lain.

Qatar misalnya, telah mula meneroka minyak di negara mereka sama waktu dengan Malaysia, tetapi lihatlah di mana mereka berada ketika ini dan jauh lebih baik serta maju.

Ketika negara lain sudah bersedia untuk rangkaian 6G tetapi kita masih lagi bergelumang untuk menyediakan fasiliti 5G.

Harap perkara ini dapat perhatian semua pihak termasuk syarikat telekomunikasi dan kalau masih tak berubah pengguna masih ada pilihan lain.

Kalau tak mahu berubah juga, elok berhenti buat bisnes dan tukar saja kepada skim pelaburan haram.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca