DEMAM yang mungkin kerana cuaca panas dan jerebu, diikuti batuk yang menyebabkan (antara kesan lain terhadap produktiviti) rintangan pengarang (writer's block) tetapi nasib baik rakan sekerja saya berkeras untuk saya berjumpa dengan... Klik di sini untuk terus membaca

DEMAM yang mungkin kerana cuaca panas dan jerebu, diikuti batuk yang menyebabkan (antara kesan lain terhadap produktiviti) rintangan pengarang (writer's block) tetapi nasib baik rakan sekerja saya berkeras untuk saya berjumpa dengan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, masih dikenali dengan akronim SGS daripada nama sebelum ini Science Girls School (Sekolah Sains Perempuan).

Saya hadir pada tahun 2017 bersama Tuanku Aishah Rohani apabila mereka menukar nama sekolah tersebut di atas tapak menempatkan sebuah lagi sekolah yang dinamakan sempena Tunku Ampuan Negeri Sembilan - Tunku Kurshiah.

Enam remaja perempuan yang hadir diperkenalkan dengan hasil kerja Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memandangkan minat mereka dalam dasar awam dan berdebat.

Sememangnya setelah menyaksikan budaya debat di banyak sekolah dan universiti di Malaysia, jelaslah bahawa perdebatan adalah aktiviti kokurikulum penting untuk pelajar yang cerdas dan petah bercakap (dan sememangnya ramai pendebat akhirnya bekerja di IDEAS).

Disebabkan mereka ialah pendebat, detik-detik sunyi sepi yang janggal kerana semua orang terlalu malu untuk berkata apa-apa telah dikurangkan.

Menggunakan kedua-dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kami terus masuk ke topik menarik seperti minat akademik, taktik perdebatan, budaya pop, kegemaran muzik dan sukan, pengalaman seksisme mereka (terutama apabila belajar di sekolah yang mempunyai pelajar perempuan sahaja) dan kepentingan pelangi.

Perbualan kami benar-benar menyegarkan. Walaupun rumah terbuka baru-baru ini membenarkan beberapa perbualan merentas generasi, ia berbeza apabila bercakap dengan kumpulan orang muda yang berfikiran sama dan mengejar matlamat sama.

Kesemua mereka mengambil serius pencapaian akademik dan sangat menyedari warisan berprestij sekolah mereka. Saya gembira kerana ‘sains’ kepada mereka termasuk sains sosial, dengan dua orang daripada mereka berhasrat untuk menjadi ahli politik atau diplomat.

Dalam membincangkan perdebatan dan pengucapan awam, kami bersetuju tentang keperluan untuk penyelidikan yang betul, keyakinan serta penghormatan kepada pihak lawan.

Sememangnya mereka berasa ngeri dengan beberapa contoh ucapan terburuk di Dewan Rakyat. Saya terpaksa bertanya siapakah inspirasi mereka – kebanyakannya tokoh asing.

Perubahan penting

Hal itu bersambung kepada perbualan-perbualan tentang perubahan penting dalam proses penggubalan dasar kita, khususnya peranan baharu dan penting – Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – masyarakat sivil dan ahli akademik mempunyai peluang menyumbang kepada dasar serta rang undang-undang khusus, misalnya mengenai pelarian atau pendanaan politik.

Pandangan mereka terhadap politik secara umumnya mempunyai suntikan optimistik anak muda. Walaupun mengakui prestasi buruk kebanyakan ahli politik lebih tua, mereka mempunyai pandangan lebih lunak terhadap ahli politik muda yang lebih segar, merentas semua parti.

Setiap orang mempunyai pendapat tentang Kerajaan Perpaduan dan keutamaan dasar untuk topik tertentu yang tidak dikhususkan kepada mana-mana parti sedia ada.

Sepanjang perbualan, enam gadis Melayu bertudung itu menunjukkan komitmen mereka terhadap Malaysia yang berbilang budaya tetapi penggunaan budaya mereka lebih menarik terdiri daripada K-Pop, Coldplay, Tchaikovsky, filem daripada setiap genre dan bahasa serta pelbagai jenis buku dan pilihan makanan.

Selepas bertukar-tukar pandangan tentang pendidikan yang merangkumi banyak persetujuan tentang kepentingan pemikiran kritis, sukan dan muzik, salah seorang daripada mereka, Iman bertanya kepada saya: "Adakah golongan elit harus menghadiri sekolah yang sama dengan majoriti rakyat?” Sudah tentu ada logik asas untuk sentimen tersebut – pemimpin harus mengalami perkara sama seperti rakyat. Namun, terdapat kepelbagaian yang besar dalam sistem pendidikan.

Dalam beberapa kes, perbezaan antara dua sekolah kerajaan boleh menjadi lebih besar daripada perbezaan antara sekolah kerajaan dan swasta.

Perbezaan itu bukan sahaja mengenai pencapaian akademik dan peluang kokurikulum tetapi juga mengenai komposisi kaum serta agama dan budaya sesebuah sekolah.

Disebabkan saya masih belum menjadi ibu bapa, saya belum mengalami perkara itu secara peribadi. Namun, saya telah melihat cara ibu bapa mengutamakan pendidikan anak-anak menggunakan pelbagai kaedah untuk memasukkan mereka ke sekolah dan kelas terbaik.

Antaranya seperti mengeksploitasi kenalan untuk surat cadangan, mengambil kesempatan daripada alamat rumah saudara-mara, berkhidmat dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta membuat sumbangan kepada pengubahsuaian dan persatuan sekolah.

Beberapa taktik tersebut mungkin boleh dipersoalkan tetapi itulah sebabnya dasar kerajaan harus mengiktiraf dorongan untuk kecemerlangan dan meningkatkan persaingan dalam sistem.

Pelajar-pelajar faham kita bercakap tentang pilihan, ditunjukkan melalui lebih ramai orang Melayu yang bersekolah di sekolah vernakular Cina dan mereka berminat untuk mengetahui bahawa IDEAS Autisme Centre dan Ideas Academy ditubuhkan bagi membantu golongan paling terpinggir dalam masyarakat.

Bagaimanapun, yang paling menarik perhatian saya adalah bagaimana gadis-gadis tersebut sedar bahawa mereka sendiri bersekolah di sekolah yang hebat, dengan semua peluang terhidang kepada mereka.

Melihat kecergasan dan optimisme anak muda adalah benar-benar penawar terbaik untuk sebarang demam!

Sememangnya setelah menyaksikan budaya debat di banyak sekolah dan universiti di Malaysia, jelaslah bahawa perdebatan adalah aktiviti kokurikulum penting untuk pelajar yang cerdas dan petah bercakap."

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca