SEJARAH kejuruteraan Iraq pernah dikagumi dunia. Iraq ialah sebuah negara purba di Asia Barat yang dianggap memiliki antara tamadun tertua di dunia. Suatu ketika dahulu, Iraq dikenali sebagai pusat penulisan, kesusasteraan, sains,... Klik di sini untuk terus membaca

SEJARAH kejuruteraan Iraq pernah dikagumi dunia. Iraq ialah sebuah negara purba di Asia Barat yang dianggap memiliki antara tamadun tertua di dunia.

Suatu ketika dahulu, Iraq dikenali sebagai pusat penulisan, kesusasteraan, sains, matematik, undang-undang dan falsafah terawal di dunia.

Oleh sebab itu, penulis tidak terkejut membaca laporan Reuters yang disiarkan South China Morning Post (SCMP) pada 27 Mei lalu bahawa Iraq merancang melancar projek mega lebuh raya dan laluan kereta api antarabangsa bernilai AS$17 bilion (RM78.3 bilion).

Ia menghubungkan pelabuhan komoditi utama di pantai selatan negara itu sehingga ke sempadan Turkiye. Projek tersebut bermakna Iraq cuba mendekati Eropah.

Projek lebuh raya dianggar melebihi 1,200 kilometer itu bertujuan menjadikan Pelabuhan Grand Faw di selatan Iraq yang kaya dengan telaga minyak lebih dekat kepada Turkiye, sekali gus mudah dimasuki rakyat negara Teluk khususnya Arab Saudi, Syria dan Jordan.

Laluan kereta api dijangka dibina sehingga Berlin, Jerman. Projek kereta api Baghdad-Berlin dijangka siap pada 2029.

Penulis difahamkan projek mega itu memerlukan lebih 200,000 pakar pelbagai bidang bagi memastikan skop, kerumitan dan garis masa projek dipatuhi sepenuhnya.

Persoalannya, kenapa Iraq mahu mendekati Eropah? Adakah projek mega itu akan memberi impak positif kepada ekonomi Iraq atau mencetuskan cabaran besar kepada Terusan Suez? Bagi sebuah projek mega seumpama itu, penulis percaya Iraq perlukan ramai jurutera daripada disiplin kepakaran kejuruteraan berbeza termasuk awam, struktur, geoteknik, pengangkutan, alam sekitar dan elektrik.

Meneliti aspirasi Baghdad yang mahu mendekati Eropah, penulis percaya laluan lebuh raya dan landasan kereta bermula dari Pelabuhan Grand Faw menuju ke Eropah boleh menghasilkan impak positif, misalnya perdagangan dan logistik Iraq serta negara jiran boleh ditingkatkan.

Peningkatan ketersambungan dan kebolehcapaian laluan lebuh raya serta landasan kereta api akan mendekatkan dua benua iaitu Asia dan Eropah.

Menerusi cara itu juga berlakulah integrasi ekonomi kerana rangkaian bersepadu lebuh raya dan kereta api akan menggalakkan kerjasama serantau. Ia memudahkan aliran keluar barangan, perkhidmatan, pelaburan, peningkatan aktiviti perdagangan dan ekonomi.

Penulis percaya kesalinghubungan antara mod (intermodal connectivity) boleh meningkatkan kecekapan, mengurangkan kesesakan dan menawarkan penyelesaian pengangkutan fleksibel serta pengurangan kos pengangkutan.

Pembinaan dan pengendalian lebuh raya serta landasan kereta api akan menjana peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Sebenarnya, pengangkutan kereta api lebih mesra alam berbanding lebuh raya. Itu bermakna Iraq dan negara berdekatan beralih arah kepada pilihan pengangkutan lebih mampan, kurang pelepasan karbon serta menggalakkan logistik mesra alam.

Projek mega itu juga akan memastikan pertukaran budaya dan pelancongan yang lebih besar antara Iraq, Eropah serta Asia. Ia akan membolehkan perjalanan dan interaksi lebih mudah antara kawasan berbeza.

Paling menarik, ia turut menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau dengan menggalakkan saling kebergantungan ekonomi serta memupuk hubungan serantau lebih kukuh.

Sebenarnya projek mega seumpama itu disebut dalam surah An-Nahl ayat 16:15-17 bermaksud: "Dan Dia (ALLAH) menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk, dan (Dia ciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan).

"Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk. Maka, apakah (ALLAH) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran.” Penulis ingin mencadangkan beberapa pengurangan risiko bagi memastikan pembinaan lebuh raya dan landasan kereta api Iraq ke Eropah berjalan lancar. Ia termasuk perancangan komprehensif dengan menjalankan kajian kemungkinan menyeluruh, penilaian risiko dan analisis kos faedah.

Pengurusan Projek Robust juga boleh dilaksanakan termasuk saluran komunikasi yang jelas, penglibatan pihak berkepentingan dan pemantauan pe-nilaian berterusan. Diharap projek mega oleh Iraq itu boleh memberi pelajaran bermakna kepada jurutera di Malaysia.

Aspek pembiayaan mesti diutamakan bagi memastikan sumber pendanaan mencukupi. Begitu juga penglibatan pakar dan perunding profesional termasuk dalam bidang kejuruteraan, penilaian alam sekitar serta pengurusan risiko.

Perancangan Iraq untuk mendekati Eropah sememangnya satu aspek kejuruteraan mega, namun boleh memberi pulangan besar jika berjaya.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca