HARI Wartawan Malaysia (Hawana) berlangsung meriah di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei lalu. Penganjurannya mencatat sejarah tersendiri dari segi pengisian dan penyertaan. Walaupun baru tiga kali dianjurkan, kehadiran Hawana nampaknya... Klik di sini untuk terus membaca

HARI Wartawan Malaysia (Hawana) berlangsung meriah di Ipoh, Perak pada 27 hingga 29 Mei lalu.

Penganjurannya mencatat sejarah tersendiri dari segi pengisian dan penyertaan.

Walaupun baru tiga kali dianjurkan, kehadiran Hawana nampaknya sudah mula menangkap imaginasi meluas.

Kehadiran tiga Perdana Menteri mewakili tiga pentadbiran berbeza antara 2018 hingga 2023 – 1Malaysia, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani – apabila Hawana diadakan membuktikan perayaan tahunan bertujuan mengiktiraf peranan kelompok wartawan dalam pembangunan negara sesungguhnya merentasi politik kepartian.

Kesediaan ketua-ketua negeri sama ada bergelar sultan atau Yang di-Pertua meraikan peserta pada jamuan makan malam sebelum perayaan kemuncak diadakan keesokannya sewaktu Hawana dianjurkan di Melaka tahun lalu dan di Perak minggu lalu turut memaknai Hawana, bukan sahaja diiktiraf oleh kerajaan tetapi pihak istana.

Memanglah ketika Hawana pertama kali dianjurkan pada 11 April 2018, ada pandangan pesimistik bahawa program tersebut berkemungkinan tidak akan dapat bertahan lama.

Hal itu kerana penganjurannya memerlukan belanja besar dan dalam kalangan organisasi serta badan bukan kerajaan (NGO) media, tiada yang tampil menjadi penganjur mutlak.

Mujur Bernama di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia ketika itu bersedia jadi penganjur.

Pandangan bahawa Hawana mungkin berkubur awal seolah-olah benar kerana Hawana 2019 yang sepatutnya diraikan pada 29 Mei tahun berkenaan tidak dapat dianjurkan susulan pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pakatan Harapan (PH), pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pilihan raya umum pada Mei 2018.

Andaian sesetengah pihak ketika itu ialah kerajaan PH tidak berminat menjayakan Hawana kerana ia projek yang diinstitusikan oleh BN.

Hawana 2020 dan 2021 pula secara fizikal tidak dapat diadakan kerana penularan Covid-19 serta di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, kemunculan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada 2021 telah memberi nyawa baharu kepada Hawana. Ia kembali beraksi untuk kali kedua di Melaka pada 29 Mei 2022.

Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim – melalui Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut memberi sokongan padu kepada penganjuran Hawana di Ipoh - sesuatu yang disambut baik oleh wartawan yang mereka anggap Hawana tidak wajar dijadikan korban hanya kerana fahaman politik berbeza.

Malah, penganjuran di Ipoh dan Melaka sebelum itu dilihat sebagai perkembangan positif kerana dengan berbuat demikian, penganjuran melibatkan bukan sahaja kerajaan Persekutuan, malah kerajaan negeri.

Rakan-rakan wartawan Sarawak seramai 13 orang yang menghadiri Hawana berharap selepas Perak, Bumi Kenyalang dipilih penganjur untuk menjadi tuan rumah pada 2024.

Ya, mengapa tidak kerana bagi saya, langkah seterusnya adalah bagaimana untuk merakyatkan Hawana supaya tidak dilihat sebagai majlis bagi golongan elit dan kayangan di ibu negara sahaja.

Upaya itu hanya boleh tercapai sekiranya dari segi penganjuran dan pemasaran, Hawana dijaja ke negeri-negeri sama seperti dilakukan penganjur Hari Pers Nasional (HPN) di Indonesia.

Penganjurannya tidak lagi berpusat di Jakarta tetapi berpindah dari satu wilayah ke satu wilayah. Malah, pemerintah wilayah yang diterajui seorang gabenor berlumba-lumba untuk membida dan membiayai supaya HPN diadakan di wilayah masing-masing.

Tidak dapat dinafikan, model penganjuran HPN yang sudah terbukti berjaya di Indonesia boleh ditiru di negara ini.

Mungkin buat sementara waktu, bantuan kewangan yang diberikan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital untuk tiga Hawana lalu boleh diteruskan tetapi secara berperingkat, penggantungan kewangan kepada dana kerajaan Pusat itu boleh dipindahkan kepada kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah.

Apabila industri media yang kini bermasalah dari segi pendapatan akibat rempuhan digital kembali stabil kedudukan kewangan masing-masing, ia juga boleh menghulurkan sumbangan untuk menjayakan Hawana pada masa-masa akan datang.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca