SHAH ALAM - Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 33 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor disifatkan tidak akan berkesan dengan sekadar mengambil semangat Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peluang Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 33 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor disifatkan tidak akan berkesan dengan sekadar mengambil semangat Muafakat Nasional (MN) pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, ia kerana semangat MN dianggap sudah tidak wujud dan sekiranya ada, ia dilihat lemah malah tiada hala tuju perjuangan.

Menurutnya, kenyataan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berhubung PN mampu menang 33 kerusi di DUN Selangor hanya memberi keseronokan dan semangat kepada penyokong parti itu bahawa mereka berpeluang cerah pada PRN.

"Kenyataan Noh hanya satu galakan sahaja kepada PN untuk bekerja kuat, sebab mereka rasa boleh menang tapi realitinya gelombang MN ditolak.

"Selangor juga negeri yang susah menang sebab sebelum ini diperintah Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 2008.

"Mereka mentadbir dengan baik dan rakyat suka serta selesa. Jadi apabila keadaan sudah selesa, maka susah nak ubah (tukar kerajaan)," katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Noh menyatakan PN mampu menang 33 kerusi sekiranya formula satu lawan satu dan mengambil semangat MN pada PRN Selangor.Noh berkata, peluang itu tidak mustahil terutama di kubu kuat pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, perkara sama juga berlaku di negeri milik PH kerana ia tidak cenderung terhadap semangat MN terutama Pulau Pinang.

Beliau juga menyatakan tidak nampak sebarang agenda MN yang masih relevan dalam konteks PRN di negeri-negeri berkenaan.

Mohd Azizuddin berkata, kekuatan Kerajaan Perpaduan di Selangor akan bertambah baik dalam memenangi PRN menerusi kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN).

Mengulas keputusan PRU15 di Selangor, membuktikan PN mampu memenangi kerusi di kubu kuat BN, beliau berkata, indikator itu tidak tepat kerana dinamik politik Malaysia sudah berubah.

"Masyarakat lebih cenderung menyokong Kerajaan Perpaduan sebab PN terlalu banyak sangat mainkan sentimen dan isu sensitif.

"Rakyat kini mahu apa yang kerajaan mampu sediakan di peringkat negeri mahupun Persekutuan. Bukannya mainkan isu sentimen dan sebagainya,” ulasnya.

Klik di sini untuk terus membaca