PELBAGAI isu perundangan berkaitan dengan Islam masih belum dapat diselesaikan secara baik dan diterima oleh semua.
Daripada isu penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan orang bukan Islam sehinggalah pemelukan Islam kanak-kanak secara unilateral salah seorang pasangan ibu bapa, semuanya belum dapat dimuktamadkan.
Kes demi kes yang dibawa disensasikan pula oleh media dan netizen. Akhirnya ia mendatangkan kegusaran awam yang boleh menyentuh isu keselamatan negara.
Kesemua kes sensitif itu dibawa ke mahkamah untuk diadili dan mahkamah sebagaimana fungsi diberikan membuat keputusan berdasarkan perundangan yang ada.
Mahkamah mentafsir undang-undang mengikut kefahaman hakim itu sendiri.
Mahkamah adakala membuat keputusan betul mengikut dapatan hakim dan adakala mungkin membuat keputusan yang khilaf dalam melaksanakan fungsi sama.
Dalam erti kata lain, ada pihak menang dan ada pihak lain yang kalah.
Pasti pihak yang menang akan bersorak gembira, sementara yang kalah sedih kedukaan. Inilah hakikat apabila kes dibawa ke mahkamah.
Saya tertarik dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang menyarankan agar proses mediasi dijalankan bagi pertikaian melibatkan agama.
Sebagai seorang mediator, saya menyokong saranan tersebut. Sebelum ini pun sudah ada cadangan seperti itu, namun inilah kali pertama disambut oleh menteri yang berkenaan.
Dengan adanya penyelesaian secara mediasi, suatu keputusan menang-menang boleh dicapai antara kedua-dua pihak dan tiada pihak akan terluka hati dengan keputusan dicapai bersama.
Malah, kadar pematuhan keputusan bersama adalah lebih tinggi berbanding pematuhan perintah dari mahkamah.
Mediasi bukanlah asing dalam budaya tempatan kita. Jika dahulu kita mempunyai penghulu yang berfungsi menyelesaikan pertikaian anak kampungnya bagi orang Melayu, manakala orang Cina lazimnya merujuk kepada individu lebih dihormati dalam masyarakat mereka bagi menyelesaikan pertikaian, begitu juga dengan masyarakat India yang mempunyai cara tersendiri.
Jabatan Perpaduan Negara juga telah lama melatih mediator bagi menyelesaikan pertikaian komuniti dalam kejiranan, komuniti dan masyarakat setempat.
Inisiatif itu sangat baik dan perlu ditingkatkan dari masa ke masa. Sudah sampai masanya kita mengarusperdanakan kembali mediasi dalam kalangan rakyat kita.
Saya masih ingat ketika membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang baru-baru ini.
Beliau juga menekankan kepentingan mediasi komuniti supaya diperjelaskan kepada masyarakat dan dilaksanakan dengan jayanya.
Hal itu penting bagi mengelak masyarakat yang terlalu fokus kepada hak sahaja dan mengetepikan keperluan sebenar dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian.
Penyelesaian pertikaian melalui mediasi juga memberikan keredaan hati dalam kalangan pihak-pihak dan menghilangkan perasaan dendam, iri hati serta marah.
Namun, mungkin kedatangan penjajah telah mengubah minda kita ke arah berlitigasi di mahkamah dan mengetepikan perbincangan secara aman di luar konteks mahkamah.
Kini kita mahu kembali kepada nilai budaya itu yang masih utuh di tanah watan kita.
Tindakan bersepadu bagi memperkenalkan semula mediasi perlu dilakukan supaya rakyat peka dan tahu kewujudan mekanisme tersebut.
Mediasi tidak patut dilihat sebagai alternatif kepada penyelesaian pertikaian sahaja.
Mediasi perlu diarusperdana dan dipromosikan sebagai salah satu daripada cabang penyelesaian pertikaian setara dengan litigasi di mahkamah.
Peranan mediator tidak seharusnya sekadar menjadi salah satu daripada perkhidmatan dalam litigasi mahkamah tetapi perlu berdiri dengan sendiri tanpa naungan cabang penyelesaian pertikaian yang lain.
Mungkin sudah sampai waktunya ditubuhkan Jabatan Mediasi yang menjadi wadah penyelesaian pertikaian secara bebas dan lebih profesional.
Kita tidak kurang mediator bertauliah di Malaysia.
Akta Mediasi 2012 juga sudah ada dan perlu diperkemas dari masa ke masa. Trend di luar negara menunjukkan mediasi menjadi semakin popular untuk menyelesaikan pelbagai pertikaian kerana ia lebih cepat, murah dan penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak dapat dicapai.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Klik di sini untuk terus membaca