MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli tidak salah apabila beliau dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit ada kebaikannya. Memang betul, malah ada negara yang sengaja mengekalkan kadar tukaran mata wang pada tahap rendah. Inilah antara punca... Klik di sini untuk terus membaca

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli tidak salah apabila beliau dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit ada kebaikannya.

Memang betul, malah ada negara yang sengaja mengekalkan kadar tukaran mata wang pada tahap rendah.

Inilah antara punca pertikaian ekonomi antara Amerika Syarikat (AS) dan China. AS menuduh China sengaja menekan turun nilai mata wang yuan.

China tentulah tidak mengakuinya tetapi AS amat yakin bahawa China berbuat demikian supaya harga eksport barang-barang keluarannya murah di pasaran dunia.

Apabila harga murah atau kompetitif, lebih banyak negara akan membeli lebih banyak barang keluarannya sehinggakan AS sendiri menjadi rakan niaga terbesar China.

Di pihak lain pula, kejatuhan atau kelemahan sesuatu mata wang akan menyebabkan kemampuan mengimport berkurangan dan harga barang-barang import naik secara automatik.

Apabila harga barang-barang import naik, ia akan menyebabkan inflasi import. Ia antara sebab harga barang import termasuk makanan semakin mahal di negara kita.

Ia juga menambah beban rakyat tempatan yang ada tanggungjawab di luar negara seperti membiayai pengajian anak-anak dan melakukan perjalanan perlu seperti menunaikan haji.

Nasib baiklah kejatuhan ringgit berbanding riyal Saudi tidak terlalu besar.

Yang mahu melancong ke luar negara, itu cerita lainlah. Mereka sama ada tanggung perbelanjaan lebih tinggi atau batalkan rancangan atau pergi ke negara-negara dengan mata wangnya lebih rendah daripada ringgit.

Sementara itu, pelancong asing pula akan mendapati bercuti di Malaysia lebih murah.

Jadi, kalau kita pandai dan tekun, kita boleh menarik lebih ramai pelancong asing. Ia baik kepada ekonomi kita.

Kesan positif nilai mata wang yang rendah bagaimanapun tidak berlaku dengan sendirinya dan tidak kepada semua negara.

Perlu wujud suasana yang ideal sebelum kejatuhan nilai mata wang membawa kebaikan kepada sesebuah negara.

Di sinilah terletaknya cabaran mengurus ekonomi dan mata wang secara makro (umum) serta mikro (terperinci) dengan cekap.

Kadar tukaran mata wang yang rendah atau jatuh merudum tidak akan membantu menambah eksport jika tidak ada barang-barang yang hendak dieksport atau mutunya rendah.

KAWAL TEKANAN INFLASI

Apatah lagi, jika berlaku percanggahan dasar atau reaksi kepadanya.

Misalnya, Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mengukuhkan ringgit dan mengawal tekanan inflasi.

Namun, kadar tukaran ringgit tidak naik, malah sebaliknya jatuh sudah lebih 12 tahun mulai 2011.

Pada 1 April 2011 misalnya, kita hanya perlukan RM2.96 untuk beli satu dolar AS tetapi pada Jumaat lalu, kita perlukan RM4.57 untuk beli satu dolar AS.

Peliknya (atau malangnya), kejatuhan nilai ringgit tidak membantu menambah eksport kita dalam jangka pendek, malah jatuh. Ia bukan cerita rekaan.

Ia adalah butir sahih daripada Jabatan Perangkaan Malaysia serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri sendiri.

Eksport Malaysia merosot pada Mac lalu.

Penghantaran barang-barang ke luar negara jatuh 1.4 peratus kepada RM129.7 bilion berbanding masa sama tahun lalu.

Ia adalah kejatuhan pertama eksport bulanan sejak Ogos 2020.

Nasib baiklah import juga merosot pada kadar 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM103 bilion setelah naik berterusan selama 27 bulan.

Ada banyak lagi kesan buruk dan baik kejatuhan nilai ringgit serta dasar mata wang yang diamalkan sekarang, antaranya pembayaran balik hutang luar serta pengaliran masuk keluar modal.

Kita hanya boleh berharap kerajaan, khususnya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja faham, malah telah bersedia dengan langkah-langkah berkesan bagi menanganinya.

Saya yakin Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Menteri Ekonomi serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya boleh membantu beliau.

Serentak itu, adalah diharapkan pengetahuan dan kepakaran Anwar sendiri telah meningkat berlipat kali ganda daripada ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan lebih 20 tahun lalu.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca