KETIKA pandemik Covid-19 membadai tiga tahun lalu, dunia penerbangan seolah-olah kelam dan melalui satu fasa yang cukup gelap, tiada lagi dunia hiruk-pikuk awan biru, ia seolah-olah memberi tamparan terhadap perniagaan berkenaan. Berkongsi... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA pandemik Covid-19 membadai tiga tahun lalu, dunia penerbangan seolah-olah kelam dan melalui satu fasa yang cukup gelap, tiada lagi dunia hiruk-pikuk awan biru, ia seolah-olah memberi tamparan terhadap perniagaan berkenaan.

Berkongsi cabaran dan liku di saat dunia penerbangan 'menjadi kaku' akibat Covid-19, Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air dan Lion Air, Datuk Chandran Rawa Muthy mengakui, pandemik telah memberi dimensi baharu terhadap dunia penerbangan.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Muhammad Shamsul Abd Ghani dan Nazrin Zulkafli bersama Chandran dalam meluahkan detik suka dan duka menempuhi gelora di sebalik awan biru.

SINAR AHAD: Boleh Datuk ceritakan siapa Chandran Rama Muthy di sebalik Batik Air?

CHANDRAN: Saya sudah berada dalam arena penerbangan selama 20 tahun. Pekerjaan pertama saya adalah berkaitan dengan perniagaan syarikat penerbangan sehingga ke hari ini.

Saya ada pengalaman (berkaitan penerbangan) sebelum ini di Timur Tengah, Hong Kong dan Indonesia sebelum mendapat peluang untuk membuka satu penerbangan baharu di Malaysia pada tahun 2012, yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air dan sekarang ini merupakan Batik Air Malaysia.

Sebelum ini, saya belajar dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) dan perniagaan.

Setelah pulang dari Scotland pada tahun 2003, saya mendapat tawaran temu duga di salah sebuah syarikat penerbangan.

Saya bermula sebagai pembantu operasi, kemudian menjadi pengurus, eksekutif kanan dan sekarang ini merupakan pengarah strategi.

SINAR AHAD: Apa yang membuatkan Batik Air berminat dengan pasaran di Malaysia? Boleh kongsikan cabaran terbesar sepanjang 20 tahun dalam arena penerbangan ini?

- Sebagai orang Malaysia, jiwa saya sentiasa di sini. Saya percaya semua syarikat penerbangan bercita-cita untuk meluaskan perniagaan.

Foto Facebook Malindo Air

Antara cabaran sepanjang 20 tahun bekerja dalam bidang ini ialah untuk menguruskan pekerja yang mempunyai pelbagai ragam. Seperti sedia maklum, cara penyampaian kepada setiap orang berbeza-beza.

Oleh itu, kita memerlukan kebijaksanaan dan sifat sabar yang tinggi dalam menguruskan pekerja. Biarpun mencabar, ia juga satu pengalaman serta pengajaran yang tidak akan saya lupakan sehingga kini.

Di samping itu, ketika pandemik Covid-19 membadai bumi, ketika itulah saya merasakan cabaran terbesar dan amat memberi kesan yang dahsyat terhadap perniagaan saya.

Bayangkan, ketika itu saya tidak boleh menjalankan perniagaan kerana syarikat tidak boleh melakukan rutin penerbangan disebabkan halangan pandemik berkenaan.

Bermulalah episod duka, di mana sebelum pandemik kita memiliki 40 pesawat, namun setelah penyakit itu ‘hadir’, pesawat yang berpuluh kita miliki itu hanya tinggal empat sahaja susulan kekangan serta masalah yang berlaku disebabkan wabak tersebut.

Selain itu, saya juga berhadapan dengan masalah lain yang berkaitan dengan pihak bank. Syarikat juga terpaksa memberi cuti yang panjang kepada pekerja selain pelaksanaan pemberhentian kerja.

Syarikat turut menghadapi masalah dengan penumpang susulan permintaan mereka yang mahukan bayaran balik, selain penyusunan semula jadual penerbangan.

Perkara seperti ini yang kita hadapi ketika itu. Jadi, ini merupakan satu pengalaman yang saya rasa sudah boleh tulis buku kerana terlalu banyak pengalaman getir semasa Covid-19.

Sebut tentang cabaran lain, yang paling besar adalah dari segi urusan perniagaan yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kerana 70 peratus urus niaga perniagaan ini menggunakan mata wang berkenaan.

Pembelian pesawat, alat ganti dan sistem teknikal pesawat semuanya menggunakan pembelian secara dolar. Hanya pembelian barang-barang kecil sahaja yang menggunakan Ringgit Malaysia (RM).

Jadi sekiranya nilai dolar itu tinggi, ia akan memberi implikasi kewangan terhadap perniagaan syarikat.

Chandran (tiga dari kiri) bergambar bersama kru Sinar Ahad selepas sesi wawancara di ibu pejabat Batik Air, Petaling Jaya baru-baru ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Chandran (tiga dari kiri) bergambar bersama kru Sinar Ahad selepas sesi wawancara di ibu pejabat Batik Air, Petaling Jaya baru-baru ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Selain itu, kenaikan harga minyak juga akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga tiket penerbangan, sekali gus mempengaruhi pembelian tiket penerbangan kerana sekiranya harga mahal, pembelian tiket akan berkurangan.

SINAR AHAD: Batik Air Malaysia diperkenalkan pada 28 April 2022 selepas 10 tahun dikenali sebagai Malindo Air. Boleh Datuk terangkan mengapa penjenamaan semula ini dilakukan?

- Sebenarnya kita mahu menjenamakan semula Malindo Air kepada Batik Air dari tahun 2017 lagi.

Ini kerana setelah kita mempunyai Batik Air Indonesia, kita juga mahukan jenama yang sama di Malaysia maka tercetuslah Batik Air Malaysia.

Sekiranya kita melihat di Singapura, dahulunya mereka memiliki Silk Air dan Singapore Airlines.

Silk Air ini membawa semua penumpang dari Indonesia di seluruh pelosok Indonesia masuk ke Singapura. Selepas itu, ia feeding (salur penumpang) ke Singapore Airlines.

Itu perancangan kita. Kita mahu membawa penumpang dari Indonesia ke Malaysia menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan oleh Batik Air Malaysia.

Matlamat kita mahu menjadikan KLIA hab laluan penerbangan yang besar selain Singapura dan Bangkok.

Jadi, kalau kita cakap Malindo Air, orang akan keliru. Kita ada produk yang sama dan jenama yang sama, jadi kita tukar ia kepada nama yang sama. Senang untuk kita jual satu tiket iaitu atas nama Batik Air.

Contohnya, dari Makasar, Indonesia menggunakan Batik Air Indonesia terbang ke Kuala Lumpur. Kemudian dari Kuala Lumpur, mereka menggunakan Batik Air Malaysia ke Hong Kong dan sebagainya.

Itu matlamat kita. Dengan ada satu jenama yang sama, ia lebih mudah.

SINAR AHAD: Akronim Malindo ialah gabungan nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan. Bagaimana pula dengan pemilihan nama batik?

- Batik sememangnya sudah ada di Indonesia dan batik adalah satu jenama yang sangat terkenal dan sensitif kerana di Malaysia kita menamakan batik ini milik Malaysia dan kalau di Indonesia, mereka mengatakan bahawa batik milik mereka.

Jadi, dengan ada batik Malaysia dan Indonesia, saya rasa kita boleh dapat satu sinergi yang bagus.

Kita juga dapat mempromosikan batik Malaysia dan Indonesia dan boleh membawa jenama ini sebagai ikon untuk Malaysia dan Indonesia.

SINAR AHAD: Pandemik menyebabkan masalah besar kepada syarikat penerbangan. Jadi, apa kekuatan untuk bangkit semula selepas Covid-19?

- Kalau anda melihat Batik Air sebelum Covid-19, kita memiliki lebih 40 pesawat. Semasa wabak itu pula kita cuma ada empat pesawat sahaja.

Namun, pada hari ini, kita sudah miliki lebih 30 pesawat yang sudah pun beroperasi.

Ini membuktikan bahawa perniagaan kita boleh kembali berkembang dengan baik dan pesat seperti mana sebelum wabak itu membadai.

Dari sudut bilangan pekerja pula, sebelum Covid-19, kita mempunyai sebanyak 5,000 pekerja.

Semasa Covid-19, pekerja menurun sehingga 1,000 sementara 4,000 pekerja diminta mengambil cuti panjang dan ada juga yang kita berhentikan.

Terkini, kita mempunyai 3,000 pekerja.Kita merencanakan untuk mengambil semula sebanyak 2,000 pekerja pada tahun ini atau tahun hadapan. Jadi sasaran kita adalah kembali kepada 5,000 pekerja pada tahun 2024.

SINAR AHAD: Beberapa destinasi baharu telah diperkenalkan seperti ke Tokyo, Narita, Osaka, dan Kansai di Jepun yang dilihat mampu menarik pelancong dari Jepun memasuki Malaysia? Selain itu, adakah Batik Air akan memperluaskan penerbangan ke luar Asia?

- Ya, sememangnya destinasi antarabangsa menjadi fokus syarikat, selain penerbangan domestik.

Untuk fokus penerbangan domestik, kita ada di seluruh destinasi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sementara di peringkat penerbangan antarabangsa, kita sekarang sudah memiliki destinasi penerbangan ke Jepun iaitu Narita, destinasi paling jauh.

Selain itu, kita juga ada destinasi penerbangan ke Osaka dan juga Nagoya.

Kita juga akan terbang ke Okinawa. Seterusnya ke Incheon, Korea Selatan dan juga ada ke Maldives serta Adelaide, Australia.

Untuk makluman semua, banyak destinasi yang menarik akan dimulakan pada bulan Mei dan Jun ini.

SINAR AHAD: Berkenaan insiden penerbangan tertangguh lapan jam sehingga menjejaskan 170 penumpang ke Kuching pada 22 Disember tahun lalu, apa sebenarnya yang berlaku dan apa penambahbaikan yang diambil untuk mengelakkan situasi sama berulang?

- Sebelumnya, kami meminta maaf kepada semua 170 penumpang yang menghadapi penangguhan penerbangan tersebut.

Sebenarnya saya pun tidak suka akan penangguhan. Kita mahu terbang tepat pada masa.

Pada hari tersebut, satu insiden tidak dijangka telah berlaku, yang mana ada empat pesawat kita terganggu disebabkan cuaca yang kurang baik.

Syarikat penerbangan ini sangat tertakluk kepada peraturan penerbangan awam.

Disebabkan cuaca yang teruk pada hari berkenaan menyebabkan penerbangan tersebut ditangguhkan sehingga beberapa jam.

Jadi kami sudah mengambil beberapa langkah ke hadapan iaitu menyediakan pesawat dalam mod bersedia.

Di KLIA, kami juga minta untuk menyediakan fasiliti-fasiliti makanan. Jadi, sekiranya ada penangguhan, kita boleh cepat menyediakan makanan kepada penumpang.

SINAR AHAD: Berikutan kes berkenaan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyatakan Batik Air gagal memberi bukti kukuh bagi mengesahkan syarikat ini telah mengambil kesemua langkah pemakluman berkenaan gangguan penerbangan dari KLIA ke Kuching. Komen Datuk?

- Saya hormat pendapat mereka. Saya sangat tidak bersetuju kalau saya dikatakan tidak mengambil tindakan yang pantas dan menyeluruh. Kita telah mengambil tindakan yang kukuh dengan sedaya upaya dan terbaik.

SINAR AHAD: Bagaimana dengan keadaan pesawat-pesawat Batik Air setakat ini? Apakah ada cadangan untuk menambah jumlah pesawat atau membaik pulih yang sedia ada? Ketiadaan penerbangan pesawat Batik Air dari Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar sejak Julai 2022 masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna. Setakat ini masih belum ada penjelasan daripada pihak Batik Air. Mungkin Datuk boleh berikan sebabnya?

- Tahun ini kita sudah merancang untuk membawa masuk sebanyak 12 hingga 13 pesawat. Ini juga merupakan tahun pertama Batik Air mengambil pesawat berkapasiti besar iaitu airbus A330. Ia memiliki 377 kerusi, 12 kelas bisnes dan 365 kelas ekonomi.

Kita juga ada rancangan mahu membawa masuk banyak lagi pesawat A330 dan juga Boeing MX 737 dan MG.

Laluan Subang-Alor Setar kita hentikan sementara, namun kita akan mulakan semula pada akhir Mei ini kerana sebelum ini permintaan kurang, selain ada permintaan untuk kita ‘terbangkan’ penerbangan ke arah lain.

Jadi kita fokus ke arah laluan-laluan penerbangan yang lain terlebih dahulu.

Tetapi untuk bulan Jun ini juga kita menyediakan perkhidmatan penerbangan Subang ke Kuantan. Itu antara perkembangan baharu di Batik Air.

SINAR AHAD: Syarikat penerbangan butik Sarawak juga akan beroperasi tiga tahun lagi. Adakah akan beri impak terhadap Batik Air?

- Kita ambil positif apa yang berlaku dalam dunia perniagaan penerbangan. Kalau kita boleh bekerjasama dengan mereka, kenapa tidak?

Mungkin kita akan berjumpa dengan Kerajaan Negeri Sarawak untuk melihat bagaimana kita boleh bekerjasama atau bersinergi dengan mereka.

Selain itu, bagi saya suasana ini sangat bagus. Kalau kita lihat semasa Covid-19 tiada perkembangan yang memberangsangkan terhadap dunia penerbangan ketika itu.

Sekarang saya boleh katakan dunia penerbangan sudah ada banyak peningkatan. Dari segi bilangan penumpang, sebelum Covid-19 kita pernah terbang dan membawa penumpang sampai sembilan juta orang.

Ketika musim Covid-19 turun sehingga 400,000 penumpang, sekarang saya lihat sudah bagus dan saya rasa dengan adanya banyak pesawat baharu dan destinasi baharu, saya rasa dunia penerbangan ini akan menjadi lebih baik pada masa mendatang.

SINAR AHAD: Pelbagai syarikat penerbangan yang menawarkan pakej-pakej menarik untuk tarikan penumpang. Apa kekuatan yang Batik Air ada untuk tarik penumpang serta bagaimana hendak kekal relevan dalam industri?

- Produk kita ini bagus. Yang pertama, rata-rata umur pesawat Batik Air adalah di bawah lima tahun. Hanya pesawat jenis 737-800 berusia tujuh hingga lapan tahun.

Kedua, keselesaan. Semua orang yang menaiki pesawat mahukan keselesaan. Jadi, tempat duduk pesawat kita sangat selesa.

Jaraknya adalah 32 inci dan ada yang 33 serta 34 inci. Itu sangat selesa untuk penerbangan berdurasi lima atau enam jam. Anda rasa tidak terlalu kejang berada dalam pesawat.

Ketiga, kalau kita penat, kita selalunya akan tidur. Kadang-kadang tidur itu kepala akan jatuh kepada penumpang yang lain. Jadi, tempat duduk dalam pesawat Batik Air ini membantu untuk penumpang tidur tanpa mengganggu penumpang lain.

Seterusnya, ciri-ciri produk kita iaitu percuma sehingga 25 kilogram untuk membawa bagasi naik ke pesawat (elaun bagasi).

Selain itu, kita juga menawarkan pelbagai pilihan menu makanan. Untuk makanan percuma selalunya hanya akan ada dua pilihan sahaja tetapi Batik Air turut ada pelbagai pilihan seperti nasi goreng, beriani dan lain-lain.

Semua juadah ini boleh dinikmati dengan harga yang rendah.

Untuk kekal relevan, saya rasa persaingan telah membuatkan syarikat lebih kompetitif kerana kita tidak berada dalam zon selesa.

Saya rasa tidak ada masalah dengan pesaing. Kita ada pasaran yang sangat luas dan bagus. Di Asia Tenggara, kita ada 600 juta populasi. Jadi, kita tidak takut akan perkara itu (persaingan).

SINAR AHAD: Bagaimana Datuk melihat persaingan antara Batik Air dengan syarikat penerbangan tambang murah yang lain? Bagaimana Datuk melihat masa hadapan Batik Air?

- Kalau dari awalnya, Batik Air fokus kepada pasaran antarabangsa, balik kepada objektif kita iaitu hendak menjadikan KLIA sebagai salah satu hab antarabangsa.

Ini bukan bermaksud kita tidak fokus untuk pasaran Malaysia, di KLIA kita ada penerbangan ke Pulau Pinang tiga kali sehari, Johor Bahru dua kali sehari, Langkawi tiga kali sehari serta di Sabah dan Sarawak sekali atau dua kali sehari, itu akan membuatkan ‘feeding’ kita untuk jaringan antarabangsa kerana saya rasa pasaran lebih baik ke pasaran antarabangsa.

Atas dua faktor iaitu akan membuatkan KLIA sebagai hab, kedua membawa pelancong ke Malaysia, itu nilai yang kita mahukan.

Melihat kepada masa hadapan Batik Air, saya rasa persekitaran sekarang sangat bagus sekali, kita sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu industri penerbangan dengan polisi-polisi yang sangat baik, juga fokus kerajaan untuk membawa pelancong ke dalam negara sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini faktor-faktor yang baik untuk membawa pelancong ke Malaysia dan juga memberi galakan kepada industri penerbangan.

Saya rasa perniagaan ini mempunyai masa depan yang sangat baik dan cerah.


TRIVIA BATIK AIR
Antara Keistimewaan Batik Air Malaysia:

1) Produk yang sangat bagus, umur pesawat rata-rata berusia lima tahun

2) Menggunakan pesawat yang berteknologi tinggi

3) Tempat duduk penumpang yang selesa

4) Sajian makanan yang pelbagai serta banyak pilihan

5) Keselesaan penumpang menjadi keutamaan Batik Air

6) Pilihan destinasi yang pelbagai dan menarik contoh ke Narita, Osaka, (Jepun), Incheon (Korea Selatan), Australia (Perth, Sydney, Melbourne, Adelaide) dan banyak lagi.

Klik di sini untuk terus membaca