SHAH ALAM - Tidak mendabik dada atas kejayaan dua anaknya sebagai pengarah filem, Datuk Yusof Haslam menyifatkan kelebihan dimiliki Syamsul dan Syafiq sebagai kurniaan rezeki daripada ALLAH SWT. Beliau bagaimanapun mengingatkan kedua-dua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak mendabik dada atas kejayaan dua anaknya sebagai pengarah filem, Datuk Yusof Haslam menyifatkan kelebihan dimiliki Syamsul dan Syafiq sebagai kurniaan rezeki daripada ALLAH SWT.

Beliau bagaimanapun mengingatkan kedua-dua anaknya agar meneruskan perjuangan, kuat semangat dan tidak mudah lupa diri.

"Sebagai ayah, saya bersyukur sebab apa yang dikecapi hari ini tidak pernah saya bayang dan rancang.

"Sejak berkecimpung dalam dunia pengarahan, saya tidak pernah termimpi Syamsul dan Syafiq akan mengikuti jejak langkah saya.

"Saya anggap semua ini sebagai rezeki daripada ALLAH dan saya tumpang bangga melihat anak-anak berjaya,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sebagai orang lama dalam industri perfileman, Yusof berkata, kutipan tiket adalah satu hal yang tidak boleh dijangka dari awal tempoh pembikinan sesebuah filem.

Bagaimanapun, katanya, reaksi awal daripada pengkritik filem dan penonton sedikit sebanyak memainkan peranan untuk melihat sama ada filem berkenaan akan mendapat kutipan tinggi atau tidak.

"Tidak ada istilah jika bapa berjaya anak pun boleh berjaya, mahupun jika abang atau adik berjaya, yang lain pun boleh berjaya.

"Namun, saya percaya pengalaman dan latihan yang mereka dapat sejak awal lagi memainkan peranan buat kedua-duanya menghasilkan naskhah berkualiti.

"Kedua-duanya ada visi dan sangat fokus dengan apa yang mereka lakukan serta tahu apa yang dimahukan dalam filem dihasilkan,” jelasnya yang bersyukur kerana Syamsul dan Syafiq dapat meneruskan legasi, sekali gus membuatkan syarikatnya, Skop Productions Sdn Bhd bertahan sehingga hari ini.

Ditanya mampukah filem Polis Evo 3 arahan Syafiq mengulangi kejayaan abangnya Syamsul menerusi Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Yusof berkata, secara peribadi beliau berasakan agak mustahil tuah kutipan filem berulang dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, pada masa sama beliau masih mengharapkan filem hasil kerjasama Astro Shaw, Skop Productions dan TGV Pictures itu mampu mencatat kutipan lebih tinggi.

"Kalau Polis Evo 3 berjaya atasi Munafik 2 yang kini berada di tangga kedua kutipan filem pun sudah berbaloi tetapi seperti saya katakan, semua itu berbalik kepada rezeki daripada ALLAH SWT,” tuturnya.

Meskipun berjaya menghasilkan filem dengan pulangan besar, ada juga bisik-bisik warga maya di belakang berpendapat Syamsul dan Syafiq berjaya menyempurnakan naskhah berkualiti kerana dana disalurkan oleh Yusof sendiri.

Namun, bagi figura berusia 69 tahun itu, dana yang dikeluarkan bukan secara semberono, sebaliknya dikawal sebaik mungkin bagi mengelak salah guna atau ketirisan.

"Saya anggap kedua-duanya (Syamsul dan Syafiq) ialah aset Skop Productions, jadi bila mereka mahu menghasilkan filem, saya adalah goal keeper yang akan memastikan mereka tidak membelanjakan wang sewenang-wenangnya.

"Sekiranya mereka mahukan dana lebih, saya akan pastikan ia berbaloi dan bersesuaian. Pada masa sama, saya berterima kasih juga kepada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) yang sesekali membantu dari segi dana,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca