KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu kejutan kepada Pas. Kemenangan sebanyak 43 kerusi Parlimen merupakan pencapaian terbaik parti itu, sekali gus menjadi watak utama dalam politik negara. Bersama Bersatu yang memenangi 30... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu kejutan kepada Pas.

Kemenangan sebanyak 43 kerusi Parlimen merupakan pencapaian terbaik parti itu, sekali gus menjadi watak utama dalam politik negara.

Bersama Bersatu yang memenangi 30 kerusi Parlimen, parti tersebut telah membentuk satu pakatan politik yang signifikan kuat dalam politik negara pasca PRU15.

Selain kerusi Parlimen, Pas juga melebarkan pengaruh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Pahang dan Perak.

Buat pertama kali, Pas memenangi sembilan daripada 15 kerusi DUN Perlis.

Bersama Bersatu, mereka menguasai majoriti 14 – 1 di DUN Perlis. Pas juga menang 17 daripada 59 kerusi di DUN Perak dan 16 daripada 42 kerusi DUN Pahang.

Kemenangan besar calon-calon Parlimen parti itu di kawasan majoriti Melayu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang menunjukkan bahawa Pas telah melebarkan sayapnya keluar daripada tempurung Pantai Timur.

Gelombang hijau mengambil sempena warna rasmi Pas dianggap sebagai watak utama menjana kejayaan Perikatan Nasional (PN).

Tanpa disedari label gelombang hijau itu sebenarnya memberi gambaran negatif kepada sebahagian besar masyarakat bukan Islam kerana Pas dilihat sebagai parti terlalu Islamik.

Konotasi Pas sebagai parti lebai dan pemimpin politik lokal masih melekat kuat walaupun mereka kini mempunyai ramai ahli Parlimen muda dalam kalangan profesional serta berpengalaman di sektor swasta.

Realitinya, di sebalik keghairahan pelabelan gelombang hijau, gabungan kekuatan akar umbi Pas dan kepimpinan nasional dalam Bersatu yang memberi keyakinan kepada pengundi memilih mereka kali ini.

Kebimbangan Pas kemungkinan logo PN tidak laku telah meleset sama sekali. Calon-calon yang menggunakan logo PN juga telah menang besar di negeri-negeri Pantai Barat.

Gelombang hijau mungkin satu keghairahan dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dan Islam, namun ia tidak mencakupi keperluan politik nasional bagi melebarkan pengaruh di negeri-negeri Pantai Barat seperti Selangor serta Negeri Sembilan.

Oleh sebab Barisan Nasional (BN) telah menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH), PN boleh menjadi gelombang biru baharu sebagai pilihan kepada rakyat.

IMBANG IMEJ 'KAMPUNG'

Pada masa sama, Pas juga perlu mengimbangi imej ‘kampung’ mereka. Selama ini Pas tidak dilihat mampu menyediakan pemimpin untuk menerajui negara di sebalik kekuatan kerusi Parlimen mereka.

Walaupun telah berada dalam kerajaan selama tiga tahun, Pas masih belum dilihat mampu mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ahli Parlimen Pas dilihat belum cukup keupayaan memegang jawatan-jawatan kanan seperti timbalan perdana menteri atau menteri berportfolio prestij.

Kelompangan itu tidak dapat dielakkan kerana Pas sudah lama tidak berada dalam kerajaan Persekutuan.

Ia berbeza dengan sekutu mereka, Bersatu. Walaupun baru ditubuhkan, namun parti tersebut membariskan bekas-bekas pemimpin UMNO yang berpengalaman dalam pentadbiran negara dan pernah berada di atas pentas antarabangsa.

Justeru, walaupun hanya mempunyai jumlah kerusi lebih kecil daripada Pas tetapi ahli Parlimen daripada UMNO, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak telah diberi portfolio penting serta kanan dalam pentadbiran lalu.

Jika benar bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa akan menyertai Pas minggu ini, maka ia akan menjadi satu lagi nilai tambah kepada Pas di peringkat nasional.

Pengalaman Annuar di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan boleh menjadi aset kepada parti tersebut meningkatkan portfolio mereka sebaris dengan pemimpin politik Bersatu yang bertaraf nasional serta antarabangsa.

Walaupun bukan ahli Parlimen, kehadiran Annuar sedikit sebanyak akan mengubah persepsi negatif masyarakat berbilang kaum kepada Pas.

Jika Pas boleh menarik seorang dua lagi pemimpin bertaraf nasional, ia mungkin akan memberi keyakinan kepada bukan Islam untuk turut mengundi PN pada enam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Namun, sama ada kemasukan Annuar ke dalam Pas akan membantu meyakinkan rakyat mengenai kemampuan parti tersebut bergantung kepada sejauh mana kesediaan parti itu menggabungkan kepimpinan nasionalis dengan kepimpinan ulama.

* AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca